23
Fri, Jun
17 Artikel Baru

PKR usah terperangkap agenda PAN

Berita
Typography

PAS Machang memberi ingatan kepada pemimpin PKR yang datang Kelantan supaya tidak terjebak dengan agenda PAN yang mahu merampas Kelantan.

Yang Dipertuanya Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata rakyat Machang amat berkecil hati dengan tindak tanduk sesetengah pemimpin PKR yang datang Kelantan terpengaruh dengan agenda PAN.

Katanya ketika mereka datang ke sini tiba tiba bercakap mahu merampas Kelantan senada dengan PAN.

"Inilah yang menguris hati dan perasaan rakyat Machang, ketika bekerja keras mahu mempertahan kepimpinan ulama, ada pula rakan tahaluf bercakap mahu merampas Kelantan.

"Kita mahu memberi pesanan kepada Naib Presiden PKR Saudara YB Tian Chua supaya dapat memastikan pemimpin PKR yang datang ke sini tidak bercakap mahu merampas Kelantan," katanya ceramah di bandar Machang malam tadi.

Ceramah itu turut dihadiri Tian Chua, Ketua AMK Kelantan Dr Hafiz Rizal Amran dan pimpinan PKR Cabang Machang.

Pada 17 April ini Pakatan Harapan difahamkan akan menganjur ceramah di Machang bakal menampilkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail dan Ketua PBBM Machang Datuk Sazmi Miah.

Dr Fadzli yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata amat malang apabila bekas anggota parlimen Machang datang ke sini bercakap mahu merampas Kelantan.

Sedangkan katanya kemenangan pemimpin itu pada PRU lepas kerana pengorbanan ahli dan penyokong PAS di peringkat akar umbi. - HARAKAHDAILY 15/4/2017