01
Mon, May
17 Artikel Baru

PRU14: Kalau PH serang, PAS sedia lawan

Berita
Typography

PAS akan mengekalkan 73 kerusi parlimen yang ditandingi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi menghadapi PRU14 tidak lama lagi.

Bahkan parti itu juga meninjau beberapa kawasan yang berpotensi untuk dimenangi.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS mengetuai blok ketiga dalam suasana politik tanah air sekarang, selain Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Katanya, semua jentera PAS di peringkat akar umbi sudah bersedia bagi menghadapi pertembungan lebih besar berbanding PRU sebelum ini.

"Kita melihat beberapa kerusi berpotensi sebab kita tidak bersama PH, oleh itu kita akan bekerja untuk kerusi lebih besar daripada biasa.

"Mengenai angka sebenar kita akan maklumkan kemudian tetapi untuk makluman, PAS tidak akan tandingi kurang daripada jumlah sebelum ini 73 kerusi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan kali ke 58 di Pulai Chondong, Machang hari ini.

Tambahnya lagi, PH perlu menumpukan perhatian untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang merupakan musuh tradisi PAS.

Jelasnya, PAS akan terus mempertahankan semua yang kerusinya walaupun ia pernah diserahkan kepada parti kompenan dalam Pakatan Rakyat dahulu.

"Tetapi kalau mereka (PH) serang PAS, kita bersedia untuk lawan, PAS jangan diganggu tetapi bila mereka ganggu, kita ada hak untuk ganggu mereka.

"Saya fikir pembangkang mesti fokus untuk menumbangkan BN. Jadi mereka tidak perlu melihat PAS bersama BN, bahkan kita akan lawan BN di hampir 90 kerusi," katanya. -  HARAKAHDAILY 15/4/2017