Perarakan 400 pendekar di Kota Bharu

Berita
Typography

SERAMAI 400 pendekar akan menyertai perarakan gimik dan promosi festival silat sekitar Kota Bharu sejauh 1.5 kilometer diiringi paluan muzik silat.

Program itu diadakan sempena Festival Silat Kebangsaan Kelantan 2017 yang bermula pada 21 dan 22 April depan di Dewan Gelanggang Seni di Kota Bharu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, perarakan tersebut pertama kali diadakan.

Menurutnya, perarakan yang diserikan pakaian busana tradisional silat itu bermula pada jam 9 hingga 10 pagi dengan kemasukan percuma.

"Ia bakal menampilkan pesilat dari Kelantan, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor dengan kerjasama pihak polis trafik.

"Mereka akan bermula di Dewan Gelanggang Seni dan berakhir juga di situ, akan melalui depan Stadium, Mahkamah, MPKB-BRI dan Bazar Tok Guru," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di  Pusat Penerangan Pelancong (TIC) Kelantan petang tadi.

Turut hadir Pengurus TIC, Mohd Sabilly Mohd Ramli; Pengerusi Waris, Mohd Fauzi Abdul Rahman dan lima lagi guru utama silat di Kelantan.

Ia dianjurkan kerajaan negeri menerusi Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan dan Pertubuhan Gabungan Seni Silat Warisan Nusantara (Waris).

Festival berkenaan merupakan kali keempat dan tema Pelancongan Kelantan 2017 ialah 'Kelantan Di hati' dengan pelbagai acara yang menarik.

Antara pengisian pameran sejarah perkembangan seni silat, persenjataan serta aktiviti pertubuhan silat di negara ini.

Antara tujuannya bagi mencungkil bakat baru seni silat selain mengekalkan identiti orang Melayu daripada terus ditelan kecanggihan zaman.

Md Anizam mengalu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat bagi menyaksikan pertandingan juara antara juara serta persembahan seni bela diri itu. - HARAKAHDAILY 16/4/2017