Pendekatan politik PAS seiring keperluan semasa

Berita
Typography

PERKEMBANGAN teknologi maklumat dan dunia ilmu yang begitu pantas dan mendadak turut mempengaruhi situasi politik dalam negara.

Situasi dalam dunia ilmu atau sains ini juga tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku dalam dunia politik. Dunia ilmu atau sains yang dikenali sebagai organisasi masyarakat yang virtual, manakala dunia politik pula selalu disebut sebagai organisasi masyarakat yang realiti.

Semua perkembangan politik semasa boleh diperolehi di hujung jari sahaja maka PAS tidak seharusnya ketinggalan dalam arus perdana siber terkini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama "Inilah Penyelesaian Kita' sempena Konvensyen PAS Perak ke-20 di Markaz Tarbiyyah PAS Perak di Air Kuning, dekat sini.

"Dalam kita berpolitik, situasi terkini memerlukan lonjakan paradigma yang menyeluruh dalam mengurus strategi dan pendekatan parti, supaya pengurusan politik bukan sekadar memenuhi tuntutan politik demokrasi semata-mata tetapi lebih terjurus ke arah mencapai matlamat sebuah parti itu ditubuhkan secara terancang mengikut tertib dan adabnya.

"Kematangan berpolitik bukan semata-mata dinilai lamanya kita berjuang, bukan juga dinilai banyaknya kita menempuh mehnah dan fitnah.

"Terbukti, ramai yang lama berjuang akhirnya kecundang, ramai yang menempuh tribulasi dalam perjuangan  akhirnya, hilang jati diri.

"Ahli-ahli PAS di semua peringkat hendaklah matang dalam politik, keghairahan untuk meraih kemenangan tanpa perancangan strategik yang bersistem, pengorbanan yang tinggi dan gerak kerja yang berterusan hanya akan menghilangkan kebijaksanaan dan kematangan," ujarnya.

Menurut Razman, keghairahan untuk menang perlu ada pada setiap ahli parti, tetapi kewujudannya tidak lebih sekadar faktor motivasi sahaja.

Tambahnya, dalam apa jua kemenangan yang pernah dicapai oleh baginda Rasulullah saw, asasnya mestilah takwa dan istiqamah yang tinggi serta berterusan.

Beliau menyatakan bahawa kekuatan PAS bukan sekadar pada dasar perjuangan yang ampuh, tetapi didokongi juga dengan kekuatan akar umbi yang sekian lama tertanam dalam masyarakat.

"Kita semakin mendapat sokongan dari pengundi teras yang sebenar iaitu Islam dan Melayu, undi akar umbi ini sangat penting untuk melakar kemenangan masa depan Islam.

"Kekuatan akar umbi hendaklah terus diperkukuh, agar menjadi akar yang lebih teras dan kekal menunjangi tanah air kita.

"Gerak kerja pilihan raya seharusnya telah bermula dan dilaksanakan dengan berkesan. Kita usah diulit dengan mimpi kemenangan yang berasaskan andaian-andaian yang tidak konkrit. Impian yang dirasuk oleh emosi untuk menang kadangkala banyak menimbulkan kekeliruan daripada membina persefahaman.

"Dalam keghairahan untuk menang, kita seharusnya telah mengatur kemenangan itu dengan gerak kerja yang konsisten, bermula dengan  pengarahan kerja di bilik gerakan, mengatur program turun padang, menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa batasan agama, bangsa, dan politik," tegasnya.

Jelas Razman, dalam pilihan raya semua undi dari sesiapapun diperlukan untuk meraih kemenangan. Semua undi mempunyai nilai kemenangan yang sama walaupun undi itu datangnya dari sang perampok,  si pelacur yang hina @ dari para ulama yang mulia.

Justeru, PAS di semua peringkat di Perak mestilah berani meneroka pendekatan baru dengan penuh yakin dan konsisten.

Katanya, pendekatan politik baru kadang-kadang dilihat oleh segelintir orang seperti kita kembali ke belakang, hakikatnya tidak begitu. Kalaupun dilihat begitu, anggaplah gerakan ini adalah islah dan tajdid.

Pengislahan dan tajdid tidak bermakma kita kembali ke belakang, ia bertujuan memperkemas, memperkukuh, menambah baik gerak kerja, memuhasabah dan mempertingkatkan semua aspek pengurusan. – HARAKAHDAILY 16/4/2017