Sidebar

21
Thu, Sep
32 Artikel Baru

PRU14 ambil kira faktor persempadanan

Berita
Typography

PAS menjangka pilihan raya umum(PRU) ke-14 hanya akan diadakan selepas kajian semula persempadanan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Semenanjung dan Sabah dibawa ke parlimen.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali berkata cadangan pindaan persempadanan itu perlu dibawa ke persidangan Dewan Rakyat untuk mendapat kelulusan.

Katanya, persidangan parlimen terdekat hanya akan diadakan bermula pada 24 Julai hadapan.

“Saya berpandangan PRU ke-14 tidak akan diadakan sebelum cadangan persempadanan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat kelulusan.

“Lagi pula cadangan itu perlu mendapat kelulusan dua pertiga anggota parlimen,” katanya pada Konvensyen PAS Kelantan di Putik Pengkalan Chepa malam tadi.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Negeri Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Timbalan Pesuruhjaya Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Selain itu Setiausaha PAS negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Zulkifli Mamat dan pimpinan peringkat negeri dan kawasan.

Kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di Semenanjung hanya melibatkan pindaan dan perubahan nama bagi kerusi Parlimen dan Dun.

Manakala di Sabah pula SPR mengesyorkan jumlah kerusi Dun ditambah sebanyak 13 bahagian daripada 60 sekarang.

Sejarah persempadanan kawasan pilihan raya sebelum ini banyak membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi meraih kemenangan besar termasuk pada 2004.

Pada konvensyen tersebut turut diadakan pembentangan termasuk mewakili Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulama, Dewan Himpunan Penyokong PAS, PAS kawasan, Majlis Tindakan Dun dan jawatankuasa pengundi luar.

Wakil-wakil setiap kluster tersebut juga menerima panji (bendera PAS) daripada Menteri Besar.

Ikrar  bagi mempertahankan kerajaan negeri pula diketuai anggota parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin. - HARAKAHDAILY 17/4/2017