18
Sun, Aug
20 Artikel Baru

Parti WARISAN perlu hormati kerja Polis

Berita
Typography
DEWAN Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyelar tindakan Parti Warisan Sabah yang dilihat agak keterlaluan dalam menghalang tugasan Unit Cawangan Khas yang merupakan penjawat awam di negeri ini.
 
Sebagai parti kerajaan, Warisan sepatutnya bertindak profesional dalam mengurus perkara ini secara lebih baik dan memberi suatu kemudahan kepada penjawat awam untuk melakukan tugasan yang diamanahkan oleh pihak berkuasa.
 
Pemuda PAS yakin dan percaya bahawa setiap anggota Unit Cawangan Khas yang berada di bawah seliaan PDRM bertindak atas SOP yang telah ditetapkan dengan tujuan tertentu untuk kepentingan negara dan ia perlu diberi kerjasama secara bijak.
 
Pemuda PAS mahu mengingatkan bahawa sekalipun mana-mana parti sudah berkuasa, maka semua pihak perlu akur atas kedaulatan undang-undang yang menjadi teras kepada Rukun Negara dan tidak memacu negeri mengikut undang-undang rimba dan mengikut selera sendiri.
 
Justeru, kita menyeru kepada semua pihak terutama Parti Warisan Sabah agar tidak mengheret penjawat awam ke kancah politik murahan dan perlu bertindak adil agar pihak PDRM dapat menjalankan tugas dalam menjaga keamanan negeri dan membanteras jenayah.
 
"Sabah Sejahtera"
 
ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah