Sidebar

24
Sun, Sep
13 Artikel Baru

Jambatan rosak dibaiki dalam tempoh 15 jam

Berita
Typography

JAMBATAN Bandar Baru Kundang yang rosak teruk akibat banjir kilat pada 16 April lalu boleh digunakan sepenuhnya selepas kerja-kerja membaik pulih berjaya disiapkan dalam tempoh 15 jam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Kerajaan Selangor Zaidy Talib tidak menjangka kerosakkan dapat dibaik pulih dalam tempoh yang agak singkat memandangkan kerosakan yang dilihat teruk akibat banjir di Kuang-Kundang.

"Jalan B149 Jalan Kundang yang telah dibuka pada jam 4.00 am hari ini setelah kerja-kerja baik pulih telah berjaya dilakukan oleh JKR Daerah Gombak dalam masa 15 jam. Baik pulih jambatan di Jalan B149 dijangka ditutup lebih lama memandangkan kerosakan yang dilihat teruk akibat banjir kilat di Kuang-Kundang," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, setelah diperiksa dan mendapati strukturnya masih kukuh dan tidak terjejas cuma penyambung 'approach'nya terjejas teruk maka ia mampu dibaik pulih dan dibuka kepada laluan jauh lebih awal.

Punca kerosakan akibat hujan lebat di lembangan Sungai Kuang menyebabkan air anak Sungai Kuang melimpah dan juga tidak dapat mengalir ke Sungai Kuang.

Kawasan terjejas akibat banjir kilat di sekitar Kuang-Kundang antaranya, Kampung Melayu Sri Kundang / Bandar Baru Kundang, Kampung Damai, Kampung Cempedak /Ladang Baru, Taman Rahmat Jaya Fasa 4, Kampung Melayu Sungai Buloh, Kampung Gombak, Kampung Setia, dan Kampung Bunga Raya. Anggaran rumah terjejas sebanyak 400 buah rumah. – HARAKAHDAILY 18/4/2017

Jambatan 2