Sidebar

24
Sun, Sep
13 Artikel Baru

Kerajaan negeri bantu Pondok terbakar

Berita
Typography

PONDOK Sri Permai, Permatang Sungkai, Seligi, Pasir Puteh yang terbakar malam tadi menerima sumbangan kerajaan negeri.

Sebanyak RM3,000 disumbang kepada pihak pengurusan pondok terbabit.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Md Nawi hari ini.

Pada masa yang sama sebanyak RM100 disumbang kepada sembilan pelajar yang menjadi mangsa kebakaran itu.

Pada kejadian kira-kira jam 9.30 malam tadi sembilan rumah pondok yang dibuat daripada kayu musnah terbakar. Pondok tersebut mempunyai 30 pondok kediaman pelajar.

Pondok tersebut didiami pelajar tempatan, Terengganu, Kedah dan Selangor.

Mumtaz menyifatkan kejadian kebakaran pondok sebagai ‘isyarat’ tertentu daripada Allah yang perlu difahami.

Katanya, sebelum ini empat kejadian kebakaran pusat pengajian pondok berlaku di Kelantan iaitu di Gelang Mas, Pasir Tumboh, Tumpat dan Tanah Merah.

“Ada sesuatu mesej yang ingin disampaikan yang perlu kita fahami sebaik mungkin,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, apa yang lebih penting rasa syukur perlu dipanjatkan kerana semua pelajar terselamat.

Pengetua Pondok Sri Permai, Ustaz Irfan Abdul Hamid, 47 memberitahu punca kebakaran diketahui selepas seorang pelajar meminta izin untuk ke pondok kerana dahaga.

Katanya, ketika itu jam 9.30 malam dan sesi kuliah agama baru selesai.

“Hanya menunggu untuk solat Isyak, tiba-tiba seorang pelajar minta izin untuk ke pondok minum air.

“Ketika itu baru kami tahu pondok sedang terbakar, alhamdulillah hanya sembilan pondok terbakar daripada 30 pondok yang ada,” ujarnya.

Kata beliau seramai 150 pelajar berusaha memadamkan kebakaran sementara menunggu kedatangan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Menurutnya, dianggar lebih RM61,000 kerugian akibat kejadian itu.

Seorang pelajar Muhammad Azizi Hashim, 19, melahirkan rasa syukur kerana semua pelajar pondok itu terselamat.

Beliau yang berasal dari Langkawi memberitahu, kejadian kebakaran tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar di situ.

“Alhamdulillah saya tetap akan belajar di sini, apa yang berlaku ada hikmahnya,” katanya. Beliau belajar di situ awal tahun ini.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalur sumbangan melalui Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) akaun 03090020091516 atas nama Madrasah Dakwah Islamiah.

Maklumat lanjut juga boleh hubungi Ustaz Mat di talian 013 6393 678. – HARAKAHDAILY 18/4/2017

Pondok Seligi 2