23
Fri, Jun
17 Artikel Baru

Politik PAS bukan sahaja lawan Umno

Berita
Typography

PAS bergerak di atas ‘politik sebenar’ sebagai parti dakwah yang menyeru manusia berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan menjadikan kaedah aman dan perundingan, tanpa menggadaikan prinsip Islam.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, prinsip PAS untuk menegakkan Islam tidak berubah, mengajak manusia supaya mengikuti agama Allah.

“Prinsip Islam itu mesti menjadi tunjang. Prinsip ini tidak berubah. Politik PAS bukan sahaja untuk melawan Umno tetapi PAS mengajak manusia kepada Islam supaya mengikuti segala suruhan Allah.

“Politik PAS bukan sahaja mahu menjatuhkan (Umno) tetapi memberi penyelesaian kepada semua permasalahan menurut cara Islam,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian kepada komuniti Islam dan masyarakat Malaysia Doha, disiarkan secara langsung melalui Harap TV semalam, sempena lawatan kerja ke negara Qatar.

Turut bersama beliau dalam dialog itu ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Selain itu, tegas beliau, amalan politik damai dan diplomasi PAS untuk Islam, membolekan PAS berunding dengan sesiapa sahaja termasuk kerajaan Barisan Nasional dalam usaha untuk melaksanakan Islam di Malaysia.

Namun begitu, katanya usaha itu dicemburui oleh musuh-musuh PAS sehingga mereka ‘melencongkan’ pemikiran orang ramai dengan fitnah yang mengatakan bahawa PAS mahu bergabung dengan parti tersebut.

“Politik damai dan diplomasi serta perundingan PAS sehingga membuka pemikiran masyarakat, kita berunding dengan kerajaan BN membolehkan RUU355 dibentangkan di parlimen oleh Presiden PAS baru-baru ini.

“Tetapi dipusing kerana cemburu, sehingga membentuk persepsi yang ditanam bahawa PAS mahu bergabung dengan BN telah menjadi musuh PAS sekian lama,” kata beliau yang juga Adun Bukit Payong.

Justeru itu, kata beliau, PAS tidak menggunakan kaedah fitnah tetapi membawa sesuatu dengah hujah untuk menonjolkan dirinya.