18
Sun, Aug
21 Artikel Baru

Adun rai perantau nikmati bubur lambuk

Berita
Typography

KOTA BHARU: Kepenatan memandu dari jauh sedikit terubat apabila anak-anak perantau mendapat bubur lambuk percuma diedarkan Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit, Pasir Tumboh.

Sebanyak 700 pek bubur lambuk diedar kepada orang ramai di laluan Pasir Tumboh ke Wakaf Che Yeh, kelmarin.

Adun Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus berkata, usaha dilakukan Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit wajar dicontohi NGO lain bagi meraikan masyarakat sempena Ramadan.

Katanya, walaupun agihan bubur lambuk nampak mudah, namun proses bagi menyediakannya memerlukan kesepakatan ahli kerana ia mengambil masa yang lama.

“Diucapkan terima kasih dan syabas kepada NGO tersebut kerana berjaya menjadikan agihan bubur lambuk sebagai acara tahunan sempena Ramadan,” katanya selepas mengagihkan bubur lambuk tersebut.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit Tuan Mohd Nor Tuan Yahya berkata, penyediaan bubur lambuk diketuai bekas chef terkenal yang mempunyai 30 tahun pengalaman penyediaan masakan Melayu.

Katanya agihan bubur lambuk diadakan selepas solat Asar di pekarangan pejabat NGO terbabit kepada penduduk tempatan dan pengguna jalan raya termasuk perantau yang dalam perjalanan pulang ke kampung.

Pertubuhan Kebajikan Penduduk Mukim Parit ditubuh tiga tahun lepas, mempunyai 200 ahli melaksanakan pelbagai aktiviti berkebajikan.

Tuan Mohd Nor juga berkata, pada minggu kedua Ramadan NGO itu mengagih barangan dapur kepada 50 keluarga penduduk miskin di Mukim Parit.

Maklumat lanjut mengenai NGO itu boleh hubungi talian 017 7653421. - HARAKAHDAILY 4/6/2019