18
Sun, Aug
20 Artikel Baru

Penerima BSH dilayan umpama peminta sedekah?

Berita
Typography
PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah hari ini melahirkan rasa amat dukacita terhadap kaedah pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diberikan oleh kerajaan.
 
PAS Sabah menerima banyak aduan di setiap Pusat Aduan Rakyat (PAR) mengenai kesukaran rakyat untuk beratur dan berurusan bagi mendapatkan bantuan tersebut.
 
Hasil tinjauan di beberapa kawasan khususnya Sandakan dan Kota Kinabalu, kami melihat semua cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) penuh sesak dengan penerima bantuan tersebut. Ada yang datang seawal jam 5.00 pagi bagi memastikan urusan mereka selesai.
 
PAS Sabah amat sayu melihat keadaan seumpama ini. Sebahagian mereka adalah golongan warga emas yang pastinya agak sukar untuk datang ke cawangan-cawangan BSN tersebut. Sebahagiannya pula membawa anak-anak kecil, di samping kemudahan tempat duduk yang sangat terhad di premis tersebut.
 
Saya tidak pasti di mana silapnya kaedah yang digunakan kerajaan ini. Rakyat dilihat seumpama peminta sedekah. Sepatutnya pembahagian sumbangan ini memudahkan rakyat miskin, bukan sebaliknya.
 
Kerajaan mesti menyediakan satu mekanisme yang lebih baik dan sistematik bagi memastikan perkara ini tidak berulang.
 
MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya
PAS Negeri Sabah
13 Jun 2019 - HARAKAHDAILY 13/6/2019