18
Fri, Oct
30 Artikel Baru

Dewan Ulamak lulus usul taawun siyasi

Berita
Typography

KUANTAN: Para perwakilan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-58 bersetuju sebulat suara menyokong usul taawun siyasi dengan Umno yang sudah bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Usul tersebut dibawa oleh Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Daud kerana taawun siyasi dilihat menepati syariah Islam sekali gus mengukuhkan melebarkan ruang dakwah.

Menurutnya, Dewan Ulamak PAS Pusat turut menyedari terdapat keperluan mendesak untuk melebarkan pendekatan kerjasama itu dalam situasi politik semasa sebagai asas penyatuan ummah dalam masyarakat dan negara.

“Kita sangat memahami keperluan untuk menyeragamkan dalam fikrah dan amalan dalam kalangan ahli pada segenap lapisan peringkat, maka usul ini dibawa kepada muktamar.

“Taawun siyasi menjadi rujukan penting dalam strategi dan pendekatan semasa PAS terutamanya dalam usaha untuk meluaskan dakwah dan menyatupadukan ummah,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan menambah, usaha itu bagi mewujudkan garis panduan secara jelas mengenai taawun siyasi untuk dilaksanakan dalam PAS. – HARAKAHDAILY 20/6/2019