18
Fri, Oct
29 Artikel Baru

Peranan Guru PASTI penting sebagai Duta PAS

Berita
Typography
BAYAN  BARU: Sambutan Hari Guru PASTI Negeri Pulau Pinang telah meraikan 300 pendidik institusi ini pada satu majlis di Dewan Komuniti Pagar Buluh Sungai Ara, di sini kelmarin.
 
Menurut Pengarah Program, Ahmad Fahmi Abu Said, majlis ini bertujuan menghargai pengorbanan dan perjuangan guru-guru yang telah berkhidmat, selain mengeratkan ukhuwah. 
 
"Guru-guru PASTI adalah sayap kanan PAS serta berperanan dalam memperkenalkan serta menarik masyarakat luar untuk lebih mendekati PAS dengan pendekatan berhikmah," ujarnya.
 
Turut hadir adalah Pengarah PASTI Pulau Pinang, Zahareen Abdul Kadir yang memberi jaminan bahawa Ahli Lembaga Pengarah PASTI akan lebih memberi penekanan kebajikan guru-guru.
 
"Di peringkat PASTI Malaysia telah mengiktiraf guru PASTI merupakan cabang sayap perjuangan PAS, peranan mereka tidak hanya terbatas di dalam kelas sahaja.
 
"Sebaliknya guru PASTI diterima sebagai golongan yang amat berpengaruh dalam mencorak kesedaran masyarakat," katanya menyifatkan guru PASTI adalah duta kepada PAS di bawah Dewan Pemuda.
 
Majlis dirasmikan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff itu turut dihadiri Yang DiPertua PAS Kawasan Bayan Baru dan Kawasan Bukit Bendera, Iszuree Ibrahim dan Abdul Halim Salleh.
 
Pada majlis yang disaksikan Pengerusi Majlis Guru PASTI Pulau Pinang, Mariayati Ibrahim itu, Ustaz Fauzi telah menyampaikan anugerah kepada 44 penerima mengikut kategori.
 
Tokoh Guru PASTI disandang Noralyn Jamari dari Kawasan Bagan, manakala Anugerah Khidmat 30 Tahun kepada Salasiah Hashim dari Kawasan Nibong Tebal, selain anugerah untuk perkhidmatan 5, 10, 15 dan 20 tahun.
 
Majlis penuh meriah ini turut diserikan juga dengan persembahan qasidah yang disampaikan oleh para pelajar Sekolah Tahfiz Al-Ansar Balik Pulau. - HARAKAHDAILY 9/7/2019
IMG 20190709 WA0031