18
Fri, Oct
30 Artikel Baru

Terengganu tuntut 50% diberi kontraktor tempatan

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menyambut baik langkah Kementerian Pengangkutan, akan melancarkan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 25 Julai ini.

Namun, kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa pihak kerajaan negeri belum dimaklumkan secara rasmi tentang perkara itu.

Katanya, kerajaan negeri hanya mendapat perkhabaran baik itu melalui media massa yang projek ECRL akan dilancarkan semula bulan ini.

Menurutnya, jika benar laporan media bahawa 40 peratus daripada projek mega itu akan diberi kepada kontraktor tempatan masih tidak memadai bagi merancakkan pembangunan ekonomi negeri ini.

“Saya masih menunggu makluman yang lebih jelas daripada pihak (kementerian) berkenaan, apa yang hendak dilancarkan? Tentulah ada perkara-perkara baharu yang hendak dimaklumkan.

“Kami (kerajaan) masih menunggu dan tidak ada maklum balas lagi secara rasmi daripada pihak kementerian iaitu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

“Jika (benar) 40 peratus itu sebenarnya tidak mencukupi bagi menggerakkan ekonomi di negeri Terengganu,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Amal KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independent) di NRCafe, Tok Jembal, Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi.

Kata Dr Samsuri, kerajaan negeri memohon pertimbangan pihak kementerian terbabit agar dapat ditambah peluang 40 peratus kepada sekurangnya 50 peratus.

Ini kerana, beliau yakin dengan kemampuan dan kepakaran kontraktor tempatan dalam pelbagai bidang termasuk kerja-kerja elektrikal dan lain-lain.

“Kita mohon pertimbangan agar dipertingkatkan lagi, supaya kontraktor-kontraktor di negeri Terengganu dari pelbagai bidang boleh terlibat dengan lebih aktif.

“Kita (kerajaan) percaya, kemampuan syarikat-syarikat kontraktor tempatan untuk sektor dalam negeri Terengganu ini mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang binaan, elektrikal dan sebagainya.

“Saya ucap terima kasihlah atas bermulanya 40 peratus itu dan kalau boleh ianya dapat dipertingkat lagi dan sekurang-kurangnya 50 peratus,” tegasnya.

Hadir sama pada majlis makan malam amal itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Mohd Adham Musa dan Pengerusi KAMI Terengganu, Naraza Muda.

Pada 8 Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan projek ECRL yang bernilai RM44 bilion itu akan dilancarkan semula dengan skop baharu, bakal memberi peluang kepada 40 peratus kontraktor tempatan. – HARAKAHDAILY 9/7/2019