16
Tue, Jul
30 Artikel Baru

Buka ruang diskusi untuk kebebasan akademik

Berita
Typography
PEMUDA PAS Selangor melahirkan rasa kesal terhadap isu kontroversi berkaitan sekatan yang dikenakan ke atas seorang pensyarah UKM, Abdul Muein Abadi untuk tidak lagi menulis perkara berkaitan isu politik sensitif. 
 
Sekatan tersebut disebabkan tekanan campur tangan politik terhadap dirinya dan kepimpinan pengurusan universiti apabila Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin menegur tulisan beliau dengan dakwaan maklumat palsu, tidak lengkap dan membuat kesimpulan songsang terhadap Kerajaan PH.
 
Pemuda PAS Selangor berpendirian bahawa tulisan kontroversi Abdul Muein yang berjudul “Eksklusif: 400 hari PH jual lebih RM20 bilion aset negara”  dibuka ruang diskusi bersama wakil dari pihak Kerajaan PH sendiri atau ahli akademik lain yang mempunyai hujah untuk menjawab semula sekiranya penulisan tersebut tidak lengkap dan salah.
 
Sepatutnya medan universiti yang melibatkan kalangan ahli akademik dan mahasiswa menjadi sebuah persekitaran terbuka dan bebas sangat diperlukan. Ia perlu berlangsung bukan saja dalam konteks penyampaian ilmu, kajian atau pembacaan, tetapi juga perdebatan idea dan pemikiran.
 
Sekatan yang berlaku menunjukkan satu lagi kepincangan dalam Kerajaan PH hari ini kerana ia jelas bercanggah dengan inspirasi dan tindakan yang telah diambil oleh Menteri Pendidikan Malaysia dalam mempengerusi mesyuarat pada Jumaat lalu, 21 Jun 2019 yang membincangkan kerangka dasar dalam memastikan kebebasan akademik dan autonomi di universiti.
 
Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor bersedia menjadi pengantara dalam isu ini untuk menganjurkan diskusi berkaitan tulisan kontroversi tersebut jika kesemua pihak yang terlibat bersetuju agar mewujudkan suasana ilmiah dan perbincangan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. 
 
Pemuda PAS Selangor sekali lagi melahirkan rasa kesal atas insiden campur tangan politik sehingga menyekat suara ahli akademik, Saudara Abdul Muein. Semoga beliau terus diberikan kekuatan dengan kemahiran yang dimiliki untuk mendedahkan kebenaran menerusi pelbagai medium yang ada. 
 
"Demi Islam"
"Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah"
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
6 ZuKaedah 1440H / 9 Julai 2019 - HARAKAHDAILY 9/7/2019