18
Fri, Oct
30 Artikel Baru

NGO mulai ziarah Orang Asli di Kuala Koh

AKSB bekal air bersih di penempatan Orang Asli Kuala Koh.

Berita
Typography

GUA MUSANG: Selepas penempatan Orang Asli di Kuala Koh tidak lagi dianggap sebagai zon merah beberapa NGO mulai memasuki penempatan itu bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk.

Hari ini Jabatan Amal Kelantan menghantar bantuan makanan dan minuman kepada penduduk.

Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Nazman Che Iberahim berkata, mereka bertolak pagi tadi bagi menghantar bekalan makanan kepada penduduk.

Selain itu katanya NGO Misi Kembara Dakwah (MKD) juga akan meneruskan perancangan yang sudah lama dibuat bagi menghantar sumbangan kepada penduduk Orang Asli suku kaum bateq di Kuala Koh.

“Sebaik sahaja larangan zon merah ditarik balik, sukarelawan MKD masuk untuk meneruskan projek memasang panel solar di Kuala Koh.

“Dalam siri lawatan dan ziarah sebelum ini, kami dapati telaga tiub sudah ada di situ namun ia tidak digunapakai kerana tiada bekalan elektrik untuk menghidupkan pam air,” katanya di sini.

Kelmarin Ketua Polis Gua Musang Superintenden Mohd Taufik Maidin dilapor mengumumkan penempatan Orang Asli di Kuala Koh bebas daripada zon merah selepas Kementerian Kesihatan mengisytiharkan kawasan itu selamat daripada jangkitan demam campak.

Difahamkan juga Jabatan Mineral dan Geosains turut menggali telaga tiub bagi mendapat sumber air bagi kegunaan penduduk di Kuala Koh. – HARAKAHDAILY 10/7/2019