15
Tue, Oct
20 Artikel Baru

Kelantan hormati takrifan semula usia belia

Berita
Typography
KOTA  BHARU: Kelantan menghormati keputusan kerajaan membuat pindaan pentakrifan umur belia daripada 40 kepada 30 tahun melalui RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia. 
 
Namun, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri melihat kesan serius terhadap penjenamaan semula umur belia.
 
Menurutnya, takrifan tersebut termaktub dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) bagi mengantikan Dasar Pembangunan Belia Negara yang digubal pada 1997.
 
"Kita menghormati pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru bagi membuat keputusan pelaksanaan pindaan RUU terbabit.
 
"Tetapi kita amat memandang serius impak perubahan akibat pentakrifan semula umur belia sebagaimana termaktub dalam Dasar Belia Malaysia," katanya pada sidang media di pejabat Majlis Sukan Negeri Kelantan di sini hari ini.
 
Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Muhammad Imran Mansoor dan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (UBES), Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin.
 
Pada 3 Julai lepas Dewan Rakyat meluluskan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) antaranya melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun.
 
Selain itu pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikan.
 
Oleh itu, Wan Roslan mencadangkan kerajaan perlu memastikan proses peralihan kepimpinan dalam pertubuhan belia diberikan tempoh sewajarnya iaitu empat tahun selepas tahun akta itu dipinda. - HARAKAHDAILY 11/7/2019