16
Tue, Jul
30 Artikel Baru

Chef Wan mesti minta maaf, pulangkan anugerah

Berita
Typography
KUALA  LUMPUR: Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) mendesak selebriti terkenal Dato' Redzuawan Ismail atau Chef Wan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada para peneroka  FELDA.
 
Presiden GENERASI, Ustaz Roslan Md Esa menyifatkan Chef Wan bukan hanya keterlaluan mengaibkan warga peneroka, tetapi juga biadab dan gagal memahami isu yang berlaku dalam FELDA secara matang.
 
"Sepatutnya dia (Chef Wan) melafazkan kalimah bersyukur dan berterima kasih kerana dianugerah ikon anak peneroka FELDA malah harus ingat ramai lagi anak-anak peneroka FELDA yang lebih berjaya dan layak ditabal sebagai ikon FELDA.
 
"Satu kenyataan yang amat memalukan dan melukakan hati peneroka dan disifatkan sebagai mulut biadab!" katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
 
Malah gesanya, Chef Wan perlu memulangkan semula anugerah yang baru diterimanya pada sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2019 disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
 
Ustaz Roslan yang juga Bendahari Pemuda PAS Malaysia menyangkal sama sekali lontaran pedas Chef Wan bahawa golongan peneroka FELDA pemalas dan beranak pinak seperti kucing.
 
"Apa yang dilontarkan dia tidak menggambarkan peneroka keseluruhannya," tambahnya. - HARAKAHDAILY 12/7/2019