19
Thu, Sep
34 Artikel Baru

APSA Pahang mula sesi baru Naqibat Pelatih DEN

Berita
Typography

KUANTAN: Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) Negeri Pahang telah menerima pelajar bagi Diploma Eksekutif Naqibat (DEN) yang mendaftar bagi kemasukan baru di Markas PAS Cawangan Taman Guru, di sini hari ini.

Turut hadir memberi suntikan semangat kepada para Naqibat Pelatih adalah Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor yang juga Ketua Muslimat PAS Pahang dan Pengarah APSA Pahang, Ustazah Norzilah Hussain.

Majlis perasmian bagi pendaftaran kemasukan dan sesi taujihat khas bersama para pelatih telah disempurna dan disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pentadbiran APSA, Ustazah Nurhasdillah Mohd Hashim.

Sesi pendaftaran tersebut turut diisi dengan Solat Dhuha dan Solat Tasbih berjamaah bimbingan Ustazah Norhayati Ibrahim, diikuti sesi ta'aruf para pelatih di mana paling berusia adalah berumur 67 tahun, manakala paling muda 18 tahun.

Istimewanya, Batch Kedua ini mendapat pendaftaran dari tiga isteri Adun dan pimpinan PAS Kawasan Indera Mahkota, Paya Besar dan Chenor yang menambahkan lagi semangat para pelatih untuk mengikuti pengajian di sini.

Ustazah Salamiah dalam taujihatnya berharap para pelatih berjaya memperolehi segenggam diploma sebagai bukti lahirnya naqibat yang mempunyai dan menerajui ciri-ciri 'Alimat, Haraki dan Sufi atau ringkasnya AKIFI.

Beliau turut mengingatkan mengenai cabaran dan ujian ukhuwah, masa, keluarga, kewangan dan sebagainya, namun menyeru pelatih agar mengamalkan solat sunat sebanyaknya pada setiap hari disamping amalan fardu.

APSA berorientasikan pentarbiyahan semi-akademik yang asalnya ditubuhkan di bawah Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Malaysia, tetapi kini sebagai satu jabatan khusus untuk ahli Muslimat PAS mengikuti tempoh pengajian selama 6 semester.

Pengajian Jarak Jauh (PJJ) ini bermatlamat melahirkan muslimat berilmu, berjihad, berkorban dan bersama memimpin perubahan dari APSA yang bervisi menjadi institusi pembangun keupayaan kepimpinan muslimah berteras pembudayaan ilmu menurut Islam. - HARAKAHDAILY 3/8/2019