19
Thu, Sep
34 Artikel Baru

Sayap PAS-Umno Bangi perkukuh hubungan

Berita
Typography

BANGI: Keyakinan bahawa PAS mampu menang kembali di Bangi sekali gus menyumbang kejayaan untuk menerajui Kerajaan Negeri Selangor pada PRU15 akan datang bukan impian kosong.

Perpaduan ummah yang semakin meneguh terbina darita'awun PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Bangi, kini meluas secara rasmi antara sayap-sayap parti ini.

Hal itu dibuktikan apabila delegasi Dewan Muslimat PAS Bangi bersama Dewan Pemuda PAS Bangi hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bangi di Dewan Sri Warisan, Teras Jernang, di sini hari ini.

Menurut Ketua Muslimat PAS Bangi, Hamsatul Hamzah, kehadiran wakil PAS Bangi itu merupakan salah satu titik tolak untuk kerjasama dua pihak mengatur strategi dan aktiviti seterusnya.

Katanya, selain mengeratkan ukhuwah dan membina kebersamaan untuk agenda ummah dan Islam secara keseluruhan, kedua pihak juga mempersiapkan kerjasama ke arah PRU15 akan datang.

Majlis tersebut dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin yang meluahkan rasa terharu atas kesediaan PAS menyambut Umno atas roh Islam dan penyatuan ummah.

Beliau juga mengakui Umno banyak belajar daripada PAS terhadap kesungguhan dan keikhlasan ditunjukkan sebagaimana PAS mampu membangunkan aset bangunan dan pendidikannya sendiri.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Bangi, Khairul Nadzir Helmi berkata, pihaknya merasakan ini adalah permulaan yang baik bagi kedua-dua parti terus bergerak.

Khususnya ujar beliau, dalam membangunkan aktiviti dan program secara bersama bagi membawa agenda penyatuan ummah khususnya di Parlimen Bangi yang mempunyai hampir 60 peratus bilangan penduduk Melayu-Islam.

Mengulas ucapan perasmi Dato' Sharkar, beliau menyifatkan ia banyak mendorong untuk kedua parti saling memanfaatkan kekuatan jentera masing-masing dalam menghadapi PRU 15. - HARAKAHDAILY 3/8/2019

IMG 20190803 WA0041