19
Thu, Sep
34 Artikel Baru

Islam-Melayu akan kembali berkuasa selamatkan umat

Berita
Typography

KUALA KANGSAR: Kuasa umat Islam dan Melayu akan kembali semula dari ta'awun PAS-Umno, sekali gus menyelamatkan ummah dari segala ganggu gugat sebagaimana terjadi ketika ini.

Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim bahkan berkata, agenda penyatuan ummah dari dua parti terbesar itu bukan sahaja untuk orang Islam-Melayu, tetapi semua bangsa di Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kehadirannya bersama delegasi PAS Kuala Kangsar ke Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Umno dan Sayap-sayap Bahagian Kuala Kangsar.

Majlis yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Naib Presiden Umno, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob itu telah berlangsung di Kompleks Umno Kuala Kangsar, di sini semalam.

Drs Khalil membawakan contoh mengenai masyarakat bukan Islam di Kelantan yang hidup aman damai terhadap agama dan budaya mereka tanpa sedikitpun dinafikan hak mereka.

Beliau juga menegaskan bahawa kehadiran rombongannya itu membuktikan penyatuan ummah benar-benar wujud dalam Parlimen Kuala Kangsar dan bersedia memberi keyakinan kepada umat.

Dato' Ismail dalam ucapannya mengemukakan permasalah Kerajaan PH hari ini yang saling bercakaran sesama sendiri, selain desakan untuk menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada orang lain.

Begitu juga katanya, pergelutan antara pemimpin dalam PKR yang terpalit skandal mengaibkan menyebabkan usaha membela rakyat tidak serius dilaksanakan PH pada masa ini. - HARAKAHDAILY 4/8/2019

IMG 20190804 WA0031