19
Mon, Aug
21 Artikel Baru

Group Ngetea selia korban Taman Balok Perdana

Berita
Typography

INDERA MAHKOTA: Di saat para dhuyufurrahman sedang wukuf di Mina untuk melontar jamrah, inisiatif 'Group Ngetea' pula menghidupkan semarak ibadah korban dan akikah dalam komuniti Taman Balok Perdana.

Pengerusi Group Ngetea yang juga Ketua PAS Cawangan Balok Perdana, Mohd Asri Mohd Nor mengetuai program yang pada tahun lalu mengorbankan dua ekor lembu, tetapi tahun ini lima ekor lembu telah disembelih.

Majlis penuh meriah sempena Aidil Adha bersama para penduduk dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Surau Al-Hidayah Balok Perdana ini telah dilangsungkan di padang awam berhampiran surau tersebut, di sini.

Malah, komuniti setempat khususnya para peserta telah memberi komitmen awal apabila mengambil bahagian dalam caruman simpanan RM60 sebulan sejak Oktober tahun lalu yang ternyata satu kemudahan ibadah.

Pada masa ini, usaha untuk merealisasikan pengorbanan sebagaimana ibrah utama ibadah ini dengan melaksanakan program caruman tersebut hanya dikhususkan untuk penduduk di sini dan diuruskan Group Ngetea.

Mohd Asri menyifatkan inisiatif tersebut menggalakkan lebih ramai melaksanakan ibadah ini setiap tahun selain membuka jalan membantu penduduk melakukan ibadah sunnah diwarisi dari Nabi Ibrahim A.S ini.

Harapan beliau, program sama ini dibesarkan lagi skala pelaksanaannya termasuk cadangan bekerjasama dengan Muslimat PAS Cawangan bagi menganjurkan juga acara jamuan tengahari bersama penduduk. -HARAKAHDAILY 12/8/2019

IMG 20190812 WA0058

IMG 20190812 WA0055