15
Tue, Oct
20 Artikel Baru

Kuala Langat tuan rumah program korban PAS S'gor

Berita
Typography

KUALA LANGAT: Lajnah Kebajikan PAS Negeri Selangor telah menyempurnakan penganjuran Majlis Korban Perdana PAS Selangor yang dilangsungkan dengan jayanya di PASTI Al-Quds, Jenjarom, di sini hari ini.

Program yang diadakan dengan kerjasama PAS Kawasan Kuala Langat ini merupakan usaha PAS Selangor menyebarluaskan agenda kebajikan dengan menyantuni dan memberi perhatian kepada hal ehwal penduduk.

Sebanyak lima ekor lembu telah disembelih sebagai melaksanakan ibadah sempena Aidil Adha ini dengan penglibatan bersama masyarakat Muslim Melayu dan Orang Asli yang mendiami sekitar Jenjarom dan Seri Cheeding.

Turut diadakan sempena majlis ini adalah pemeriksaan kesihatan dan bantuan perubatan percuma, ziarah kebajikan kepada golongan memerlukan serta jamuan rakyat bersama masyarakat penduduk setempat.

Hadir sama adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Ahmad Yunus Khairi dan Pengerusi Umno Selangor, Dato' Mat Nadzari Amat Dahlan, selain Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor, Mohamad Jan Sulong dan Ketua Umno Bahagian Kuala Langat, Zurihan Yusop.

Dr Yunus dalam ucapannya menyentuh hubungan PAS dan Umno di Selangor yang semakin erat, selain menyuarakan kekesalan terhadap 'layanan' di Dun Selangor mengenai Islam apabila beberapa isu berkaitan ditolak untuk dibahas.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa optimis kepada kebangkitan Islam di negeri ini menerusi kerjasama dan perpaduan ummah yang terbina dari hubungan dua parti Melayu-Islam terbesar tanah air itu. - HARAKAHDAILY 12/8/2019

IMG 20190812 WA0085

IMG 20190812 WA0081

IMG 20190812 WA0080