19
Mon, Aug
21 Artikel Baru

MCM korbankan 36 ekor lembu di Kemboja

Berita
Typography

KG CHAMP: Sejumlah 36 ekor lembu telah dikorbankan sejak hari raya pertama Aidiladha pada 11 Ogos hingga yang terakhir hari ini (13 Ogos) bagi menyempurnakan misi Muslim Care Malaysia (MCM) di bumi Kemboja.

Bertempat di Kampung Champ, Exco Muslim Care Malaysia, Dr Riduan Mohamad Nor bertindak mengetuai Misi Korban di Kemboja kali ini.

Menurut beliau, misi ini dijayakan bersama sumbangan peserta di Malaysia yang memberikan amanah mereka kepada Muslim Care Malaysia untuk melaksanakannya di beberapa negara.

"Kami adakan juga di Yaman, Poland, Nigeria, Sudan, Tanzania, India, juga kepada umat Islam Rohingya di Arakan, di dalam Malaysia juga diadakan di beberapa kawasan," katanya kepada Harakahdaily pagi ini.

Tiga buah kampung terpilih di sekitar Kampong Champ  untuk misi kali ini dengan warga Islam tempatan turut memeriahkan majlis korban kali ini.

Misi turut di bantu oleh penyelia yang dilantik khas di sini, Ustaz Abdul Malik Abu Bakar yang sejak awal menguruskan pembelian dan penjagaan lembu korban.

Menurut Dr Riduan lagi, MCM memilih Kemboja sebagai lokasi memandangkan etnik Islam di sini hanya dapat menikmati daging lembu sekali setahun.

Suatu masa lalu, Islam pernah menjadi agama majoriti di Kemboja hingga tahun 1975. Ketika itu terdapat 150,000 hingga 200,000 umat Islam keturunan Champ yang berasal dari Kerajaan Champa dan mereka antara etnik terpenting di sini.

Kebanyakan mereka memdiami Kampong Champ, yang berada antara 4 jam perjalanan dari Bandaraya Phnom Penh.

Namun pembantaian rejim Khmer  terhadap umat Islam membuat mereka semakin tersisih.

Sejak tahun 1980, kekuatan Islam makin menipis dan paling menyedihkan rejim Khmer  secara berterusan konsisten membunuh orang-orang Champ.

Pertama,  melalui pembunuhan pemimpin komuniti Muslim Champ, seperti mufti, imam, dan orang berpengaruh lainnya.

Kedua, pembongkaran identiti Champ dan identiti Muslim melalui sekatan kegiatan Champ dan Khmer yang berbeza.

Ketiga, melakukan penyeksaan ke atas umat Islam Champ, seperti paksaan kerja di ladang atau menangkap mereka kerana tuduhan memberontak.

Tidak hanya kepada umat Islam, semua penganut agama, termasuk Buddha, dianiaya sepanjang pemerintahan Khmer.

Ketika  itu juga, sebanyak 132 masjid dihancurkan dan umat Islam tidak diizinkan beribadah. Mereka juga dipaksa makan daging babi lalu dibunuh jika menolak.

Pada 1979, pemerintahan Khmer Rouge mengatakan negara Champ tidak lagi ada di tanah milik Khmer.

Oleh kerana itu, kewarganegaraan Champ, bahasa, adat istiadat, dan kepercayaan agamanya telah dihapuskan.

Setelah pemerintahan Khmer berakhir, sedikit demi sedikit urusan berkaitan agama dipulihkan.

Sebanyak 185,000 warga Champ kembali tinggal di Kemboja pada pertengahan 1980, malah ada masjid yang sudah mula beroperasi semula, dan kini etniknya mencecah hampir 1 juta orang, yang mana Kampung Champ antara paling ramai mendiaminya.

Pada 1988 terdapat enam masjid yang masih beroperasi di daerah Phnom Penh dan beberapa masjid di daerah lain.

Uniknya masjid-masjid di sini hingga kini masih berdiri kukuh. - HARAKAHDAILY 13/8/2019

(ikuti Trevelog Perjalanan Misi Korban Muslim Care Malaysia di tanah Kemboja dalam keluaran Harakah Cetak akan datang.)

k6

k2

k3k4

k5