19
Thu, Sep
34 Artikel Baru

Tulisan Jawi warisan Melayu Islam

Berita
Typography

LANGKAH Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenal tulisan Jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4 telah mendapat tentangan daripada bukan Islam kerana dilihat mewujudkan proses Islamisasi di sekolah vernakular. Kerajaan Malaysia akhirnya terpaksa tunduk kepada tentangan dan tekanan tersebut dengan memutuskan pengajarannya hanya akan dilaksanakan jika ia dipersetujui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid.

Langkah ini tidak sepatutnya menimbulkan polemik. Ini kerana Malaysia sebagai sebuah negara yang didominasi oleh Melayu Islam tidak boleh dipisahkan dengan tulisan Jawi. Menurut Mohd Alwee bin Yusoff (2005), tulisan Melayu huruf Arab atau lebih dikenali sebagai 'Tulisan Jawi' telah lama wujud dan digunakan sebagai tulisan rasmi Melayu, iaitu sejak abad ke-14 Masihi atau sebelumnya. Bahkan boleh dikatakan sejarah Melayu bermula dengan tulisan Jawi, iaitu serentak dengan kelahiran Kerajaan-kerajaan Islam yang silam. Makam-makam Diraja Melayu-Islam yang terdapat di Pasai, Acheh, Daya dan Geresik (Jaya) yang diperbuat daripada batu pualam yang bertulisan huruf-huruf Aram jelas membuktikan hakikat ini. Batu bersurat yang bertarikh tahun 702H/1303M yang menggunakan tulisan Jawi sepenuhnya itu menunjukkan bahawa tulisan Jawi berusia hampir 700 tahun lamanya.

Walaubagaimanapun, penggunaan tulisan Jawi mula terhakis apabila Barat datang dan menjajah Tanah Melayu dengan memperkenalkan tulisan rumi dan digunakan secara beriringan dengan tulisan Jawi. Selepas merdeka, tulisan Rumi digunakan dengan meluas sehingga meminggirkan tulisan Jawi.

Ahmad Faisal bin Abdul Hamid dan Faizuri bin Abdul Latif (2014) menyatakan bahawa kemerosotan tulisan Jawi mula terjadi selepas Akta Bahasa Kebangsaan diwartakan pada tahun 1963 dengan memutuskan bahawa tulisan rasmi negara Malaysia ialah tulisan Rumi. Keputusan ini memberi impak negatif yang besar terhadap penggunaan tulisan Jawi sama ada dalam institusi pendidikan, urusan pentadbiran kerajaan, media penerbitan dan sebagainya.

Situasi yang berlaku ini adalah kesan daripada sekularisasi yang berlaku di dalam negara kita. Fahaman Sekularisme yang dianuti oleh pemerintah negara membawa kepada usaha-usaha untuk mengasingkan Islam daripada kehidupan. Sekularisme adalah fahaman yang menolak nilai-nilai ke¬agamaan dlm kehidupan sosial manusia. Mengikut Dr Yusuf al-Qaradhawi, Sekularisme ialah tiada agama (اللادينية). Tiada agama di sini menurut beliau bukan bermaksud lawan kepada akhirat, tetapi ia bermakna lebih khusus iaitu perkara yang tidak ada hubungan dengan agama.

Tulisan Jawi adalah tulisan Melayu yang menggunakan huruf Arab dan huruf al-Quran. Ia mempunyai hubungan langsung dengan syiar Islam. Penggunaan tulisan Jawi dalam kehidupan dengan sendirinya akan menarik minat seseorang untuk mendekati al-Quran dan seterusnya mempraktikkannya dalam kehidupan. Perkara ini tidak boleh diterima oleh golongan sekular. Oleh kerana itu mereka berusaha untuk menghapuskannya atau sekurang-kurangnya meminggirkannya.

Perkara ini juga berlaku di Turki apabila Mustafa Kemal Ataturk menjadikan Sekularisme sebagai dasar negara. Menurut M Arfan Mu’ammar (2016), Ataturk telah menggubal undang-undang untuk menghapuskan penggunaan tulisan Arab di dalam penulisan bahasa Turki. Sebaliknya tulisan Rumi pula yang dipakai.

Justeru, langkah KPM memperkenal tulisan Jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4 adalah sangat tepat. Ia satu usaha yang baik untuk mengembalikan semula tulisan itu daripada ditelan zaman kesan daripada fahaman Sekularisme. Golongan bukan Islam tidak seharusnya bimbang terhadap usaha ini. Walaupun ia juga akan diperkenalkan di sekolah vernakular, ia umpama syiar azan yang dikumandangkan yang turut didengari oleh bukan Islam.

Malaysia sebagai negara yang termaktub Islam sebagai agama Persekutuan perlu untuk memperkenalkan syiarnya hatta kepada bukan Islam tanpa memaksa mereka untuk menganutnya. Ini kerana untuk mengenali bangsa Melayu, mereka perlu untuk mengenali syiar Islam kerana bangsa Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan sebagaimana takrifan Melayu dalam Perlembagaan ialah mesti seorang Islam. Kenal mengenal inilah yang akan membawa kepada keamanan dan kesejahteraan kepada negara kita yang mempunyai pelbagai etnik dan bangsa.

DR AHMAD MOUHYIDEEN HASIN
Pengarah Institut Kajian Islam dan Strategik (iKIS)
Dewan Ulamak PAS Pusat - HARAKAHDAILY 17/8/2019