18
Wed, Sep
50 Artikel Baru

Gah Jemaah Menteri yang hilang

Berita
Typography

SELARAS dengan kedudukannya selaku pembuat dasar tertinggi negara, keputusan Jemaah Menteri jarang-jarang sekali dipersoalkan atau diminta untuk dikaji semula, terutama oleh ahlinya sendiri.

Sebab itulah, bila berbangkit apa-apa persoalan berkenaan dengan apa-apa dasar kerajaan, seringkali akan disebut bahawa tunggulah keputusan muktamad yang akan dibuat oleh Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini keputusan Jemaah Menteri sudah tidak lagi berada pada tahap gah seperti sebelumnya di mana ia sudah beberapa kali dipersoalkan atau diminta untuk dikaji semula.

Ia bermula dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang mengumumkan tekad beliau untuk meminta Jemaah Menteri mengkaji semula keputusannya mengenai pengajaran tulisan khat di sekolah.

Kini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula dilaporkan mendesak Jemaah Menteri supaya mengkaji semula keputusannya mengenai pembaharuan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).

Lebih menimbulkan persoalan dalam kes Lynas bila yang mendesak Jemaah Menteri mengubah keputusannya ialah pemimpin yang sebelum ini berjanji tidak akan mengganggu urusan Perdana Menteri Ke-7.

Bila urusan Perdana Menteri Ke-7 kelihatan telah mula diganggu oleh pemimpin yang dinobatkan sebagai Perdana Menteri Ke-8, tidak dapat tidak pastilah akan timbul spekulasi tidak sihat mengenainya.

Tidak wajar keputusan Jemaah Menteri diperkotak-katikkan setelah semua ahlinya diberi peluang bersuara dan mengundi selaras dengan prinsip bahawa ia adalah bertanggungjawab secara bersama.

Akan adakah lagi penghormatan dan keyakinan ke atas Jemaah Menteri selaku pembuat dasar tertinggi negara jika keputusannya dengan mudah boleh dipersoalkan atau diminta untuk dikaji semula? - HARAKAHDAILY 21/8/2019