18
Wed, Sep
50 Artikel Baru

Tiada keperluan pertimbang semula ECRL

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berpandangan tidak ada keperluan bagi kerajaan untuk melakukan pertimbangan semula terhadap projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disebabkan kenyataan salah seorang saksi ketika perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa bekas Perdana Menteri baru-baru ini.

Katanya, kenyataan saksi terbabit yang juga bekas pegawai khas Dato’ Seri Najib Razak bahawa projek ECRL adalah salah satu daripada projek bagi membantu penyelamatan (bail-out) skandal 1MDB tidak seharusnya digunakan sebagai justifikasi untuk projek ini dipertimbangkan semula.

Menurutnya, hal yang demikian kerana ECRL telah melalui suatu proses rundingan semula yang memakan masa dan kos yang banyak serta telah dimuktamadkan sendiri oleh kerajaan pada April yang lalu.

“Tambahan lagi, kenyataan-kenyataan daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya projek ECRL ini dipertimbangkan semula dibimbangi akan menggugat hubungan dua hala Malaysia-China, apatah lagi memulakan rundingan semula untuk kesekian kali hanya yang lebih merumitkan keadaan untuk mencapai kata sepakat kelak.

“Tambahan pula, projek ECRL turut memberi keuntungan kepada rakyat serta 'leverage' pembangunan yang akan memberikan pulangan jangka panjang kepada rakyat dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Maka, katanya kewajaran untuk meneruskan projek ECRL perlu dilihat dari pelbagai aspek khususnya melihat kepada kepentingan yang akan dinikmati oleh rakyat kelak.

Beliau bekata, pemimpin PH juga dinasihatkan agar tidak cepat melatah dalam isu-isu sebegini kerana kelak ia akan memberi implikasi yang buruk terhadap negara sementalah lagi Pelancaran Semula Projek ECRL baru disempurnakan pada 25 Julai 2019 yang lalu dengan dihadiri oleh wakil kerajaan negara China. – HARAKAHDAILY 9/9/2019