22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

11 September 2001 bermula Islamophobia

Berita
Typography

HARI INI genap 18 tahun tragedi 11 September 2001 menghantui sejarah dunia. Peristiwa World Trade Centre di New York dilanggar oleh pesawat sehingga runtuh menyembah bumi. Turut dijadikan sasaran serangan adalah Pentagon dan juga Rumah Putih.

Selepas tragedi itu, US dibawah Presiden George Bush terus menuding jari terhadap umat Islam serta menamakan jutawan Saudi, Osama Ben Laden yang juga pemimpin kumpulan radikal al-Qaeda sebagai dalang. Panik seluruh dunia tercetus dan umat Islam mula dipandang serong.

Susulan itu juga, US telah berjaya menarik simpati awam terhadap mereka. Suasana ini telah mempengaruhi kongres supaya melancarkan serangan balas terhadap 'pengganas' yang dikatakan berpengkalan di Afghanistan. Masyarakat antarabangsa bersetuju dengan tindakan US. Tema War On Terror diangkat bagi menjustifikasikan tindakan tersebut.

Fakta kejadian tersebut sangat meragukan. Bagaimana negara pemenang perang dunia dan perang dingin begitu lemah sistem pertahanannya sehingga pesawat komersial yang digunakan tidak mampu dikesan masuk ke ruang udara mereka? Sedangkan mereka mempunyai fasiliti pertahanan bukan sahaja di negara sendiri, malah di negara-negara Eropah, Afrika hingga ke Korea Selatan?

Kejadian tersebut tidak lain merupakan satu konspirasi bagi menghalalkan serangan ke atas umat Islam. Sejak hari itu, wacana Islamophobia terus dimainkan serata dunia dengan memotretkan Islam sebagai agama keganasan. Dunia melihat Islam laksana raksasa jahat yang perlu dihapuskan.

Rentetan peristiwa itu juga, negara umat Islam terus dijadikan sasaran. Iraq (2003), Lubnan (2006), Syria (2011) dan banyak negara-negara lain pasca Arab Spring. Presiden US silih berganti, namun dasar luar US terhadap Islam masih sama, menganggap sebagai musuh keamanan sejagat yang perlu dihapuskan!

Rentetan Islamophobia juga menyaksikan reformasi dalam wacana Islam bagi menafikan tuduhan Islam sebagai ekstremis. Ada yang menerangkan secara mu'tadil dan sederhana, tetapi kebanyakannya terlalu apolegetik sehingga menimbulkan ideologi baru yang disebut sebagai Post-Islamism. Islam versi ini lebih cenderung kepada ideologi Liberalisme yang bersikap terbuka dan Rahmatan Lil Alamin, sehingga memesongkan kesederhanaan (wasatiyyah) Islam menjadi agama yang lemah, terlalu toleran sehingga mengenepikan syariat-syariat Islam yang berunsur tegas. Hudud dipertikaikan, hijab dianggap kolot, dan berbagai sistem Islam dituduh sebagai tidak kondusif dan bersesuaian dengan realiti semasa.

Abad ke 21 menyaksikan Ideologi Islam-Liberal mula merosakkan jatidiri gerakan Islam. Sudah banyak gerakan yang mula menerima sekular sebagai platform atas alasan realisme. Keaslian perjuangan Islam luntur satu demi satu kerana terlalu meraikan demokrasi yang sebenarnya merupakan salah satu diantara medium Orde Liberalisme Antarabangsa.

Hari ini, Osama telah diisytiharkan mati. Saddam juga telah dihukum gantung. Namun US, NATO dan sekutu masih kekal melakukan kekacauan di negara umat Islam. Membuktikan segala tragedi hanyalah false-flagbagi mengelabui mata dunia dengan agenda tersembunyi.

Sebagai umat Islam, kita seharusnya sedar segala makar musuh yang tidak mahu melihat Islam bangkit kembali. Mereka telah menghidu kebangkitan umat ini di awal abad ke 15 hijrah. Revolusi Khomenei 1979 di Iran menjadi penggera kepada US bahawa mereka perlu melakukan sesuatu kepada umat supaya khilafah Uthmaniah yang berjaya dihapuskan 1924 lalu tidak lagi tertegak kembali.

Namun yakinlah janji tuhan bahawa khilafah akhir zaman akan tetap tertegak jua. Tiada kuasa yang mampu melawan kuasa tuhan. Apa yang perlu bagi umat ini adalah terus berjuang di mana bumi dipijak dan mengikut kemampuan masing-masing, dengan perancangan yang rapi dan strategik, tanpa melanggar prinsip-prinsip yang menjadi syarat kemenangan. Jangan ditunggu al-Mahdi, kerana beliau tidak turun dari langit. al-Mahdi sendiri akan bangkit dikalangan mereka-mereka yang sedang berjuang, melalui proses-proses tarbiah sebagai pejuang Islam sehingga kental dan benar-benar bersedia memimpin kebangkitan Islam.

ALANG IBN SHUKRIMUN
11 Muharram 1441 | 11 September 2019 - HARAKAHDAILY 11/9/2019