22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

Chauvinis DAP diresapi fahaman pelampau Kristian

Berita
Typography

KETIKA PAS mula bertahaluf dengan DAP pada tahun 1999, saya adalah Exco Dewan Pemuda PAS Pusat. Dalam pertemuan-pertemuan dengan Pemuda DAP yang diketuai oleh Teng Chang Kim, mereka menyatakan bahawa DAP adalah sebuah parti yang memperjuangkan Social Democracy, justeru mereka tidaklah sebuah parti ekstrem perkauman (Cina) atau Chauvinis. Bagaimanapun selepas DAP ditolak oleh pengundi-pengundi Cina dalam PRU ke-10 tahun 1999, DAP dilihat semakin kuat bermain isu-isu perkauman sehingga menarik diri keluar dari Barisan Alternatif (BA) pada tahun 2001.

Sebelum DAP keluar daripada BA, mereka telah menggariskan lima formula supaya keanggotaan mereka dalam BA terus kekal. Salah satu formula yang digariskan ialah, "sebarang usaha oleh mana-mana parti komponen untuk mengejar pengwujudan sebuah negara Islam, negara Buddhist atau negara Kristian adalah bertentangan dengan Manifesto BA". Formula tersebut telah ditolak dengan tegas oleh PAS yang ketika itu dipimpin oleh Ustaz Fadzil Noor sehingga menyebabkan DAP menarik diri. DAP tidak mahu mengaitkan politik Malaysia dengan mana-mana agama kerana termaktub dalam Perlembagaan DAP memperjuangkan sekularisme.

Selepas parti-parti pembangkang berjaya mencapai kemenangan di beberapa negeri, DAP kembali untuk menyertai gabungan pembangkang yang kemudiannya dinamakan Pakatan Rakyat (PR). Semasa PAS bertahaluf dengan DAP dalam PR, saya terlibat hampir dalam semua jawatankuasa-jawatankuasa bersama untuk menyiapkan dokumen rasmi PR seperti Buku Jingga, Manifesto Pilihan Raya dan lain-lain. Dalam kebanyakan dokumen-dokumen tersebut, DAP secara zahir memperakui mempertahankan keempat-empat tonggak Perlembagaan Persekutuan termasuk memperakui Islam adalah agama negara (the Religion of the Federation).

Bagaimanapun, saya memerhatikan perakuan zahir DAP itu hanyalah untuk mengaburi PAS. Mereka terus menyokong tuntutan-tuntutan pelbagai pihak yang sebenarnya akan menghakis kontrak sosial dan meruntuhkan tonggak-tonggak Perlembagaan Persekutuan. Malah lebih dahsyat daripada itu DAP mula diresapi oleh fahaman Pelampau Kristian yang dikenali sebagai Evangelical Christian atau Dominionism. Ramai pemimpin-pemimpin muda DAP mula menzahirkan fahaman ini. Kemuncaknya pasca PRN Sarawak 2011, didedahkan oleh bekas ahli DAP, Razali Abdul Rahman, fahaman ini mahu merombak Islam sebagai agama negara.

Fahaman Pelampau Kristian ini tidak seiring dengan aliran-aliran Kristian yang sedia ada di negara Malaysia, yang tidak mahu terlibat dengan kancah Politik Malaysia. Penyebaran fahaman Pelampau Kristian ini telah didedahkan antaranya oleh Iain Buchanan dan Haji Abdul Karim Omar. Buku yang diterbitkan oleh Buchanan bertajuk “Sang Nila Utama and the Lion of Judah” pada tahun 2015 mendedahkan tentang kaitan DAP dengan fahaman ini. Lim Kit Siang dalam blognya pada 19 Februari 2016 menuduh buku tulisan Buchanan itu satu penipuan sepertimana berikut:

There are allegations that a meeting was held in Penang to formulate the objective of a Christian Malaysia, there are people who put up a picture of the DAP as an evangelical party, there is a new book entitled “Sang Nila Utama and the Lion of Judah” which is very serious and wicked attack that there is a conspiracy in the country to evangelise Malaysia, and the DAP is somehow part of it.

Tuduhan buku itu diakui sangat serius oleh Lim Kit Siang, tetapi DAP sendiri dilihat tidak berani untuk menjawab tuduhan tersebut. Beberapa hari lepas, seorang pemimpin muda DAP, Steven Sim Chee Kiong, mengaku secara terbuka dalam forum bahawa dia berjuang untuk menegakkan The Kingdom of God dan merealisasikan Jesus Manifesto di negara ini. Di dalam buku “A New Christian Manifesto” tulisan Bob Ekblad serta “Jesus Manifesto” tulisan Leonard Sweet dan Frank Viola, kedua-dua kata kunci tersebut begitu rapat dengan fahaman aliran Kristian yang mahu menguasai dunia seperti yang diperjuangkan oleh Evangelical Christian dan Dominionism.

Sehubungan dengan itu, saya mencabar Lim Kit Siang supaya memecat pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli DAP yang jelas mempromosikan fahaman Kristian seperti ini. Fahaman Kristian seperti ini jelas bercanggah dengan ideologi DAP iaitu Social Democracy, malah Steven Sim sendiri menyebut dalam forum tersebut menentang ideologi Liberalisme, Sosialisme dan seumpamanya. Selain daripada itu, fahaman Kristian ini juga sangat bertentangan dengan ideologi Sekularisme yang dipertahankan oleh DAP, malah DAP seperti pada tahun 2001 tidak akan sesekali memperjuangkan negara Kristian. Lebih baiklah Kit Siang jaga kain sendiri. - HARAKAHDAILY 19/9/2019