22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

Nawfal sedia jadi 'juru cakap' demi muafakat

Berita
Typography

JOHOR BAHRU: Ketua Pemuda PAS Johor Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz semasa sesi pertemuan bersama MIC Negeri Johor menyatakan kesediaan beliau menjadi 'juru cakap' demi mewujudkan Malaysia sejahtera.

"Jika ada ruang untuk beri penerangan kepada kaum India yang belum faham, saya sedia menjadi 'juru cakap', " katanya di Pejabat Perhubungan PAS Johor, di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan isu politik di Johor bersama MIC memandangkan kerjasama antara dua parti ini serius untuk turut mendukung agenda Penyatuan Ummah.

Menurut Nawfal, beliau berharap agar para belia di luar sana dapat menyokong penyatuan ini yang jelas menafikan tohmahan 'rasis' PAS terhadap kaum lain.

Sementara itu, MIC Johor juga menyambut baik seruan pimpinan mereka yang mahu memastikan parti ini turut sama menjalankan kerjasama dengan PAS sehingga ke peringkat akar umbi.

Pengerusi MIC Johor, merangkap Adun Kahang, R. Vidyananthan turut mengucapkan tahniah kepada PAS atas kejayaan menandatangani Piagam Muafakat Nasional yang dipujinya sangat relevan dalam mengukuhkan lagi Perlembagaan Malaysia.

Turut menyatakan hasrat yang sama, wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha Raman yang berharap agar rakyat dapat sama-sama mengambil berita baik ini sebagai peluang untuk mengembalikan 'Malaysia yang sebenar'.

Dalam perkembangan lain, Nawfal berkata, pihaknya turut menjalin hubungan baik dengan MCA dan BERJASA.

"Hubungan kami sesama Ketua Pemuda parti bukan kerajaan di Johor sudah terjalin termasuk MCA dan BERJASA, tapi pertemuan secara formal belum lagi. Insya-Allah menyusul selepas peringkat perhubungan dijangka Oktober," ulasnya.

Turut hadir ke perjumpaan tersebut, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin bersama kepimpinan PAS Johor, wakil Muslimat dan 18 orang wakil MIC. - HARAKAHDAILY 19/9/2019

IMG 20190919 WA0010

IMG 20190919 WA0011