30
Tue, May
25 Artikel Baru

PRU14: Tugas khas Naib Presiden PAS ikut zon

Berita
Typography

TIGA Naib Presiden yang dipilih di dalam Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kedah baru-baru ini diberi tugas khas mengikut zon sebagai persiapan menjelang PRU14 nanti.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan tiga zon itu adalah zon utara, tengah selatan dan timur.

Ustaz Idris Ahmad diberi tugas bagi menjaga zon utara iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Manakala Datuk Iskandar Abdul Samad pula akan memantau negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Takiyuddin berkata pengguguran Iskandar dari jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor tidak perlu dijadikan isu kerana beliau sebenarnya dinaikkan pangkat pada sesi kali ini.

"Iskandar adalah Naib Presiden, agak susah untuk dia pantau zonnya jika dia dilantik semula jadi Pesuruhjaya. Jadi tidak ada isu," katanya pada sidang media hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah diberi tugas untuk menyelia zon timur iaitu meliputi negeri Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Takiyuddin turut memberitahu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan ditugaskan menjaga hubungan luar negara  yang melibatkan pengundi-pengundi dan ahli-ahli akademik di sana. - HARAKAHDAILY 6/5/2017