22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

Lebih 1,200 Assabiqun berhimpun di Kelantan

Berita
Typography

KOTA BHARU: Lebih 1,200 Assabiqun PAS dan veteran Umno dijangka akan berhimpun di Kelantan pada Sabtu ini sebagai memperingati jasawan yang pernah terbabit dengan perjuangan.

Setiausaha Assabiqun Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, setiap negeri diminta menghantar sekurang-kurangnya 100 Assabiqun menghadiri pelancaran Hari Asabiqun Malaysia.

Katanya program julung kali diadakan itu bertempat di Dewan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI).

“Seramai 20 veteran Umno Kelantan yang diketuai Dato' Kamarudin Abdullah turut diundang sebagi tetamu khas pada jamuan tengahari,” katanya di sini.

Menurutnya program itu diadakan bagi mengumpul Assabiqun untuk merapatkan lagi silaturahim dan membincangkan sebarang sumbangan untuk jemaah.

Pelancaran Hari Assabiqun Malaysia itu akan disempurnakan Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Selain itu slot bicara tokoh Assabiqun mengundang bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Pengerusi Assabiqun Malaysia, Subky Abdul Latif.

Subky pula berkata, Hari Assabiqun merupakan himpunan santai veteran PAS yang mana suatu masa dahulu mereka mengorban tenaga, masa dan harta untuk melangsungkan perjuangan demi mendaulat Islam.

“Tiada mereka tiadalah PAS yang meraikan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai 14 September lalu,” katanya.

Menurutnya juga aktivis PAS yang berusia 55 tahun ke atas dijemput menghadiri program terbabit. - HARAKAHDAILY 2/10/2019