30
Tue, May
25 Artikel Baru

Keputusan kerjasama dengan PKR diputus esok

Berita
Typography

MAJLIS Syura Ulamak akan bermesyuarat esok dan dijangka akan membincangkan kerjasama antara PAS dan PKR.

Timbalan Mursyidul Am, Ustaz Datuk Bentara Kanan, Ahmad Yakob berkata tidak menjadi halangan untuk PKR kembali bekerjasama dengan PAS untuk ke arah kebaikan.

Bagaimanapun, jelasnya ia perlu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Azmin Ali yang mengajak PAS bersama kembali dengan mereka bagi menghadapi PRU 14.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan wakaf Raudhatul Barakah, di Beta Hilir, dekat sini hari ini.

“Majlis syura ulama akan bermesyuarat esok dan mungkin perkara itu akan turut dibincangkan,” ujarnya.

Azmin dalam kenyataannya semalam memberitahu, semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak semalam.

Menurut Azmin lagi, apa yang jelas rakyat di negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

Mengulas kerajaan Selangor mengekalkan jawatan anggota exco dari PAS sehingga PRU 14 akan datang Ahmad seterusnya memberitahu ia wajar dilakukan.

Ini kerana, katanya mereka dipilih oleh rakyat dan diperkenankan oleh Sultan Selangor sendiri. – HARAKAHDAILY 10/5/2017