30
Tue, May
25 Artikel Baru

Ahli Majlis PBT PKR masih kekal di Kelantan

Berita
Typography

KETIKA ada pihak menyifatkan PAS dayus kerana tiga anggota Exco masih kekal di Selangor, sebaliknya di Kelantan wakil daripada PKR masih dilantik sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) sesi 2017.

Pelantikan bagi sesi baru yang bermula bulan ini dimulakan seminar dan majlis angkat sumpah ahli PBT pada 7 Mei lepas, dirasmi Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Manakala pada Khamis lalu majlis angkat sumpah diadakan di Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam. Difahamkan tiga ahli majlis daripada PKR dilantik pada majlis berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, wakil daripada PKR masih dilantik di semua PBT di Kelantan bagi sesi 2017.

Katanya, sehingga saat ini kita tidak tarik balik lagi watikah pelantikan wakil daripada PKR.                       

“Semoga mereka yang dilantik akan menghargai keikhlasan PAS dalam berkawan,” katanya di Kota Bharu.

Baru-baru ini Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar menyifatkan PAS Selangor dayus masih mengekalkan anggota Exco dalam kerajaan tersebut.

Khamis lepas Majlis Syura Ulama PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR ekoran beberapa perlanggaran dilakukan parti tersebut.

Malah usul mengenainya dilulus pada muktamar di Alor Setar awal bulan ini. – HARAKAHDAILY 14/5/2017

ahli majlis PBT