24
Mon, Jun
33 Artikel Baru

PELANTIKAN jawatan yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Pertama Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

JAWATANKUASA HARIAN

PRESIDEN
YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

TIMBALAN PRESIDEN
YB Dato’ Ustaz Haji Tuan Ibrahim Bin Tuan Man

NAIB PRESIDEN
Ustaz Haji Idris Ahmad
YB Dato’ Haji Mohd Amar Nik Abdullah
YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KETUA DEWAN ULAMA’ PAS PUSAT
YB DR Ustaz Haji Nik Mohd Zawawi Salleh

KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
YB Senator Ustazah Hajjah Nuridah Mohd Salleh

KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
IR. Haji Khairil Nizam Khirudin

SETIAUSAHA AGUNG
YB Dato’ Takiyuddin Hassan

BENDAHARI
DATO’ Ar. Haji Iskandar Abdul Samad

KETUA PENERANGAN
Haji Kamaruzaman Mohamad

PENGARAH PILIHANRAYA
YB Haji Muhammad Sanusi Md Nor

AHLI JAWATANKUASA KERJA

1. YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
2. YB Dr. Azman Ibrahim
3. Dr. Halimah Ali
4. YB Dato’ Dr. Mohamad Fadhli Hassan
5. Dr. Riduan Mohamad Noor
6. Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
7. Dr. Mohd Zuhdi Marzuki
8. YB Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz
9. YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
10. Dr. Najihatussolehah Ahmad
11. Dr. Ustaz Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi
12. Ustaz Nasruddin Hassan
13. YB Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff
14. Ustaz Mokhtar Senik
15. Ustaz Misbahul Munir Masduki
16. Ustaz Sallehen Mukhyi
17. Dato’ Dr. Haji Mahfodz Mohamad (Lantikan)
18. Muhtar Suhaili (Lantikan)
19. DR. ROSNI ADAM (LANTIKAN)
20. YB Awang Solahudin Hashim (Lantikan)
21. Dr. Mohd Mazri Yahya (Lantikan)
22. Haji Wan Rohimi Wan Daud (Lantikan)
23. YB Ustaz Yusni Mat Piah (Lantikan)
24. Haji Mohamad Husain (Lantikan)

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Syawal 1440 / 23 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 23/6/2019

HARI ini adalah hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Kali ke-65 yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA Pahang.

Sebentar tadi telahpun diumumkan kepimpinan PAS yang baharu bagi meneruskan langkah perjuangan Islam ini mendepani cabaran mendatang.

Pengalaman semalam, merentas dua sesi (4 tahun) saya diamanahkan sebagai Ketua Penerangan PAS, tentu sahaja banyak perkara yang saya pelajari berbanding apa yang mampu saya lakukan bagi menyumbang kepada perjuangan Islam ini.

Apa yang paling mengganggu saya dan tentunya saya sangat sedih serta kesal mengenangnya, ialah apabila memikirkan segala ketidakupayaan diri ini menggalas amanah parti.

Ya Allah, Kau ampunkanlah diri yang lemah ini. Janganlah Kau azab diri yang kerdil ini atas kegagalann menunaikan tanggungjawab perjuangan.

Saya berdoa agar parti yang akan meneruskan cabaran perjuangan Islam bagi sessi-sessi mendatang ini, akan terus ditambah kuat dan mantap oleh saf kepimpinan yang saya yakin jauh lebih baik dan hebat.

Perjuangan Islam ini akan terus dipacu maju oleh tokoh-tokoh baru yang memiliki ilmu, karisma dan syakhsiyah yang tinggi.

Mewakili seluruh warga kerja penerangan PAS sesi 2017-2019, kami memohon maaf kepada semua, khasnya pucuk pimpinan parti atas kelemahan kami sewaktu mengendali Lajnah Penerangan PAS di semua peringkat sepanjang 2 sesi yang lalu.

Terima kasih sebanyak-banyaknya buat rakan-rakan media yang tidak jemu memberi liputan dan mengangkat berita PAS kepada awam meskipun sesekali dilaporkan secara negatif oleh segelintir media.

Kami tetap menghargainya. Terima kasih jua buat pejuang-pejuang di alam siber yang sangat banyak membantu penerangan PAS.

Semoga Allah SWT. mengampunkan kesalahan kita semua dan mengurniakan kekuatan kepada kita, guna meneruskan perjuangan suci ini.

Islam Memimpin Perpaduan

NASRUDIN HASSAN
Sekali Serban Dililit. 115
19 Syawal 1440 | 23 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 23/6/2019

PAGI yang cerah. Senyuman yang melimpah, berdesakan para tetamu, perwakilan, pemerhati, pencandu politik bahkan kelompok manusia yang sentiasa ingin meramaikan majlis yang baik. Pahang negeri di koridor Pantai Timur yang tidak pernah diperintah oleh PAS, bahkan dekad 1980-an adalah tempat buangan kepada aktivis PAS terutama di perdesaan pedalaman Jerantut, Raub dan Lipis.

Pahang kali ini menjadi tuan rumah muktamar harakatul ummah yang telah berusia 68 tahun ini untuk pertama kalinya. Pada awalnya diunjurkan Kompleks PAS Pahang di Kerdau akan menjadi lokasi muktamar, namun takdir telah terpahat, muktamar berlangsung di tengah mood penyatuan ummah. Lokasi Muktamar PAS ke-65 ditukarkan ke Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota. Berpindah lokasi ini bukan sekadar memudahkan usaha ke arah pemuafakatan strategik parti-parti pembangkang dan jaringan sivil di negara ini namun memudahkan untuk berhimpun seluruh aktivis dan penyokong usaha perpaduan ummah.

Sejak jam 7.00 pagi, lokasi SUKPA yang strategik telah dikerumuni oleh perwakilan dan pemerhati, bukan sekadar berjubah, bersampin dengan sut baju Melayu berwarna hijau, juga sut baju Melayu bewarna merah. SUKPA dipadati ribuan manusia dengan belasan wakil pelbagai negara sebagai tetamu khas muktamar. Pihak media begitu obses memburu berita, menyorot lensa ke arah pelbagai sudut, kelihatan anak-anak muda berbusana Melayu seperti pahlawan Melayu silam menyambut kedatangan tetamu. Unik dan luar biasa!

Tuan Guru Presiden melangkah masuk ke dewan utama dengan langkah gagah sebagai lambang harakatul ummah ini telah matang berpencak di medan siasah dan dakwah. Sang murabbi itu membuka ucapan dasar dengan dua rangkap pantun yang indah:

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau kita bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.

Mari mengukur apa yang berlalu,
Jangan menjadi orang yang latah,
Mari kita membujur lalu,
Semua yang melintang wajib dipatah.

Ucapan dasar Presiden dengan tema "Islam Memimpin Perpaduan" dirangka sebagai garis panduan dan pentarjihan selama setahun mendatang arah tuju bahtera perjuangan Islam ini. PAS diletakkan harapan untuk memimpin perubahan dan alternatif kepada perubahan dengan kondisi kehiruk-pikukan pasca 9 Mei 2018. Menurut Presiden PAS, Islam menegaskan wujudnya kepelbagaian, perbedaan, perselisihan dan pertembungan adalah fitrah kejadian manusia. Tidak mungkin manusia hidup secara individualistik, semuanya memerlukan kerjasama dan perkongsian kemahiran untuk menyempurnakan kehidupan.

PAS melihat pasca 9 Mei 2018 adanya ancaman terhadap Islam dan pribumi, kontrak sosial yang dicabar dan cuba dirombak. PAS terbuka untuk menjaring rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk dengan bukan Islam. Islam bersikap adil kepada semua, menjaga kepentingan semua ras dan etnik. Dalam sejarahnya, Islam melindungi penganut agama lain dan tidak menindas. PAS tidak bercakap kosong, sejarah negara ini menyaksikan darah tumpah 13 Mei 1969 di Lembah Klang, namun negeri Kelantan di bawah pemerintahan PAS, tidak ada satu titik pun darah yang tumpah!

PAS dengan penuh keseriusan untuk mentadbir negara dalam PRU15 merangka jalan dan peta kemenangan. Usaha berstrategik untuk melebarkan pengaruh dengan penambahan ahli-ahli baru, usaha mendaftarkan pengundi-pengundi baru untuk PRU15, penguasaan media dengan berkesan. PAS dengan kekuatan ahli yang paling berdisiplin di kalangan seluruh parpol di negara ini, mempunyai jaringan sivil yang lengkap, beroperasi di seluruh sektor dan medan masyarakat. Jabatan Amal, ARC, DACS, Nisa', Ameerah, PASTI, SRITI, SMITI dan puluhan entiti dan proksi PAS untuk merengkuh sokongan dan dokongan rakyat.

Menurut Presiden PAS, perhatian mesti diberikan kepada saiko politik yang metentasi kaum, menumpukan juga elemen pendidikan politik kepada genetasi muda, berusaha mematangkan anak muda kepada geopolitik negara ini. PAS dalam memburu sokongan domestik juga memandang dengan prihatin nasib masyarakat antarabangsa umat Islam. Darah yang tumpah di Palestin, Syria, Rohingya dan pelbagai peta luka umat Islam yang lain. PAS akan terus menjadi jurubicara ummah yang tegas dan prihatin.

PAS harus meningkatkan kompetensi kepimpinan untuk mengambil alih kepimpinan negara. Pengundi dan rakyat sedang memerhatikan keupayaan dan kemampuan PAS. Dengan aroma kebobrokan dan kebejatan yang menikam kalbu di bawah rejim PH pasca PRU14, tidak pelik untuk rakyat melakukan perubahan politik dalam pilihanraya akan datang. Tak pelik jika PH menjadi kerajaan sepenggal paling singkat seperti BJP di India. Teruskan menumpah keringat, meratakan kefahaman dan menaufan ombak perubahan kepada rakyat terutama anak-anak muda yang merupakan agen transformasi sosial yang paling berkesan. - HARAKAHDAILY 21/6/2019

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

KEPIMPINAN Dewan Pemuda PAS Malaysia silih berganti, tetapi dasar dan prinsip perjuangan tetap utuh serta diteruskan dalam memastikan Pemuda PAS terus mara menuju cita. Inilah kehebatan dan kemampuan PAS yang terus berjaya mengenengahkan saf kepimpinan yang bersedia memainkan peranan penting buat generasi masa hadapan.
 
Memetik ucapan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Hafez Sabri, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khiruddin yang telah dipilih meneruskan kesinambungan gerak kerja dipimpin oleh Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi pada sesi lepas. 
 
Ir Khairil merupakan anak kelahiran Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi, Ipoh, Perak. Beliau adalah seorang jurutera profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan berkelulusan Sarjana dan Sarjana Muda Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh, Perak.
 
Sementara itu, Ustaz Hafez Sabri yang juga mantan Calon PAS Dun Manjoi pada PRU14 lalu turut telah dipilih sekali lagi sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia Sesi 2019-2021.
 
Ayuh seluruh pemuda yang cintakan Islam menyatakan sokongan kepada Pemuda PAS melalui penyertaan dalam setiap aktiviti berteraskan tiga penumpuan utama iaitu Tarbiyah, Dakwah dan Siasah. Pemuda PAS Tambun juga sentiasa mempelawa mana-mana anak muda khususnya dalam Parlimen Tambun untuk melontarkan idea dan cadangan pelaksanaan aktiviti yang menarik untuk anak muda khususnya. 
 
InsyaAllah sama-samalah kita jayakan "Demi Islam" yang menjadi tema Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 dengan menjadikan Islam Memimpin hidup kita menuju ke syurga Allah. Yakin dan percayalah bahawa setiap daripada punya tanggungjawab dan peranan dalam memastikan Islam ditegakkan dan diamalkan secara menyeluruh, Insya-Allah. - HARAKAHDAILY 21/6/2019
IMG 20190621 WA0019

APABILA menghadiri Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-60, syukur, gembira dan bangga melihat adik-adik pemuda PAS yang hebat-hebat dari segi kebolehan dan kelulusan. Gembira apabila adik-adik pemuda berjaya meneruskan kepimpinan pemuda lebih gemilang daripada zaman saya bersama pemuda. Banyak produk baru yang evergreen dan sesuai dengan anak muda.

Apabila pemuda berjaya membariskan kepimpinan yang mempunyai latar belakang akademik yang baik dan berketerampilan ini penanda aras, PAS berjaya melahirkan pemuda yang mempunyai akidah yang sahih dan ilmu yang mantap.

Terjawablah tohmahan yang mengatakan PAS tidak ada kepimpinan dan kering idea yang segar untuk anak muda. Mereka yang sudah tepu otak sahaja yang tidak nampak perkara ini, akibat dengki dan hasad yang bersarang di dalam perut.

Terjawab juga tuduhan seorang pensyarah sains politik yang mengatakan PAS hanya dianggotai oleh puak walaun sahaja. Biarlah beliau dengan teori hanya hendak berpaut di pohon yang boleh mencari makan, sehingga menggadai status akademik yang staraf dengan cybertrooper yang kais pagi makan pagi.

Ayuh adik-adik pemuda teruskan kerja, pertingkatkan ilmu, jaga akhlak pemuda. Dekati anak muda melalui pendekatan ‘versatile’, sesuai dengan anak muda. Pertahankan parti melalui media sosial, jadi panglima perang di alam maya untuk mengangkat maruah parti dan menjawab tuduhan jahat pihak musuh.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS - HARAKAHDAILY 22/6/2019

"ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN"

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau kita bersatu hati,

Kerja yang susah menjadi senang.

Kita bermuktamar pada tahun ini dengan penuh kemeriahan setelah berpenat menghadapi perkembangan dan cabaran pasca PRU dan PRK, di samping kegiatan biasa amal gerakan Islam, khususnya yang bersifat politik, yang dialpakan betapa penting dan wajibnya oleh umat Islam.

Dialpakan sehingga menggugat kedaulatan umat yang wajib memimpin bersama Islam. Namun kita tidak rebah tersungkur, kerana masih ada lagi kekuatan yang wajib dibina bagi melangsungkan perjuangan seterusnya.

Alhamdulillah kita bukan sahaja tidak kehilangan suara Islam, bahkan pencapaian yang memungkinkan kita bertapak lebih kukuh bagi melangsungkan perjuangan.

Kuatkan saf angkatan kita dengan kerjasama menyatukan umat dan tambahkan kekuatan meramaikan sahabat perjuangan, bukannya memperbanyakkan lawan, bagi menegakkan tema baru Muktamar ini.

Mari mengukur apa yang berlalu,
Jangan menjadi orang yang latah,

Mari kita membujur lalu,

Semua yang melintang wajib dipatah.


Mengangkat Tema Muktamar

Tema ini adalah kesinambungan tema "Islam Memimpin", kerana keyakinan kita hanya Islam yang boleh memimpin, sebabnya Islam paling sempurna. Ini adalah hidayah Rabbu Al-‘Aalamin (petunjuk Pencipta Alam) yang dipohon setiap rakaat solat kepada yang Maha Berkuasa menyatukan umat Islam dan umat manusia bermasyarakat majmuk yang madani, kerana Islam ini sahaja yang memenuhi ciri-ciri fitrah kemanusiaan yang berada di alam sejagat yang besar, ciptaan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Apa yang tidak mampu oleh agama lain dan ideologi ciptaan manusia yang tetap ada banyak kelemahannya.

Tidakkah Allah berjanji bahawa Dia menolong kita? Dan Dia sahaja yang dapat menyatukan hati manusia.

Firman Allah:

“Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau (wahai Muhammad S.A.W.), belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

(al-Anfaal: 62-63)

Rasulullah S.A.W. yang menjadi teladan kita, memulakannya dengan perpaduan dalam kalangan umat Islam sendiri terlebih dahulu, berpandukan Islam yang ditegakkan di dalam diri dan jamaah, sehingga berkuasa memimpin negara masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama, melibatkan dari kalangan bukan Islam menyertainya, tidak dipaksa masuk Islam, namun bergaul dengan mereka.

Ini menunjukkan akhlak Baginda S.A.W. yang mulia dan memperkenalkan Islam yang murni daripada sifat jahiliah sebelum hijrah, ketika dalam perjalanannya melakukan hijrah, seterusnya menyertai negara dan masyarakat yang menunjukkan Islam yang boleh memimpin adil terhadap semua.

Pendekatan yang tidak mampu dilakukan oleh pihak berkuasa bukan Islam terhadap kaum yang tidak seagama, sebangsa, bahkan tidak semazhab dengan mereka dalam satu agama dan satu bangsa. Maka Allah menegaskan petunjukNya betapa wajibnya ada pertembungan yang mewajibkan perjuangan menegakkan Islam ini dengan berfirman:

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia (kebenaran) menentang setengahnya yang lain (yang salah), nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat gereja-gereja, dan tempat-tempat sembahyang orang-orang Yahudi, dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolongNya (menegakkan Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”.

(al-Hajj: 40)

Rasulullah S.A.W. melaksanakan ayat ini dengan perjuangan sebelum kemenangan dan selepasnya. Bermula dengan mengumpulkan umat Islam yang bersaudara dengan ikatan akidah dan melibatkan bukan Islam yang berperikemanusiaan menerima pendekatannya ketika Marhalah Makiyyah walaupun tidak menganut Islam, mengambil khidmat pemandu jalan daripada seorang bukan Islam ketika Hijrah, sehingga terbukti pelaksanaan Marhalah Madaniyyah yang adil kepada semua, dibuktikan apabila berkuasa memerintah negara. Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, menyebabkan tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

(al-Maa’idah: 8)

Rasulullah S.A.W. memeteraikan Sahifah Madinah, memperkenalkan pelaksanaannya secara praktikal yang bersejarah, sehingga berjaya mencipta para pemimpin yang mewarisi Islam yang sebenar, paling berilmu dan berintegriti dalam sejarah dunia, dan mencipta tamadun yang dimanfaatkan oleh seluruh dunia sehingga kini.

Adapun kejatuhan pemerintahan Islam disebabkan meninggalkan petunjuk tersebut pada zaman kelemahan berpegang kepada Islam. Kita menyaksikan pula kejatuhan tamadun Barat yang sedang merudum kerana menciplaknya secara tidak sempurna, kerana mengambil jasad tanpa roh, berakal tanpa moral yang beriman. Namun, cahaya Islam tidak boleh dipadamkan, mewajibkan umat Islam kembali kepadanya semula.


Islam Memimpin Penyatuan Ummah

PAS yang berpaksikan petunjuk Islam yang ditegaskan dalam Perlembagaannya, berjaya melangsungkan perjalanan yang penuh mencabar berteraskan Kepimpinan Ulama’ yang kuat berpegang kepada nas dan syura, diurus oleh saf kepimpinan yang dipilih dengan ikhlas dalam Muktamar dan dipantau sepenuhnya oleh Majlis Syura Ulama’ daripada kalangan ilmuwan

Islam dan gabungan ahli pakar terkini, yang mampu berijtihad secara jamaie (kolektif), untuk menghadapi cabaran terkini dengan hukum Islam menghuraikan isu semasa yang tiada pada masa yang lalu, dan memilih ijtihad sebelumnya oleh para ulama’ terdahulu yang tetap menjadi panduan.

PAS telah berjaya memperkenalkan konsep politik Islam Memimpin Perpaduan, dengan menghayati semula perkataan yang menjadi istilah yang ditunjukkan oleh Islam seperti Wahdatul Ummah, Tahaluf dan Taawun mengikut nas yang sedia ada, berpandukan Maqasid Syariah dan Siyasah Syar’iyyah dalam perkara yang tetap dan menangani perkembangan yang berubah dengan tetap beristiqamah, tidak bercanggah sehingga tergelincir daripada akidah dan tidak terpesong daripada matlamat perjuangan, di samping terus membuat pembaharuan, perubahan dan islah mengikut situasi dan realiti, tanpa luntur semangatnya dan tidak pernah rugi.

Marilah kita bergerak dengan keimanan dan keyakinan kepada hidayah Allah ini dan percaya kepada janjinya, walaupun terlalu banyak cabaran yang menyekat dan mengepung perjalanan kita bersama Islam, sehingga menjadikannya paling mencabar dan banyak dari kalangan yang melihat dan meramalkan bahawa cita-cita mengekalkan tema ini adalah sesuatu yang mustahil, kerana tiada kelihatan kerajaan kuasa besar menaunginya.

Marilah kita yakin kepada firman Allah yang berjanji dalam urusan dunia dan Akhirat:

“Dan Kami hendak memberi kurnia kepada kaum yang dianggap lemah tertindas di bumi (mana-mana negeri), bahawa Kami hendak menjadikan mereka itu pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh yang berkuasa sebelumnya)”.

(al-Qasas: 5)

Walaupun ayat ini berkait dengan kisah Rasul terdahulu, namun sebenarnya Al-Quran adalah petunjuk kepada kesinambungan perjuangan Islam yang memimpin manusia sehingga akhir zaman. Tidakkah Al-Quran ini adalah mukjizat ilmu yang berkekalan, bukannya buku cerita atau laporan berita semata-mata?

Hanya mereka yang beriman kepada janji tersebut akan melangsungkan perjuangan Islam sehingga akhir hayat. Adapun mereka yang tidak layak, sama ada tidak menyertainya daripada awal, atau melarikan diri kerana memilih jalan pintas berwawasan dunia yang dilihat secara mata kasar. Benarlah firman Allah:

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad S.A.W.) sesuatu yang berfaedah yang dekat didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh menyusahkan), nescaya mereka akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu kelihatan jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)”.

(at-Taubah: 42)

Kita adalah parti yang berpengalaman pernah menyertai Kerajaan Pusat dan memerintah negeri serta menjadi pembangkang yang banyak kerusi, paling sedikit sehingga satu kerusi sahaja di Parlimen dan pembangkang yang kosong tiada kerusi di negeri, namun tetap mempunyai ahli, cawangan dan kawasan yang hidup di seluruh pelosok negara.

Pilihan Raya Umum Ke-14 mutakhir, kita berjaya bertahan di Kelantan setelah hampir tiga puluh tahun dan berjaya menawan Terengganu kali ketiga, bertambah kuat di Kedah dan Pahang, di samping ada kerusi di negeri-negeri dan tetap bersuara di Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Seterusnya menambah kawasan, cawangan dan ahli yang meningkat tidak pernah surut. Satu yang patah, tumbuh tunas pula yang makin banyak. Menggambarkan firman Allah:

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad S.A.W.). bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”.

(Ibrahim: 24-25)

Alhamdulillah kita sedang menjalani langkah yang proaktif menegakkan konsep perpaduan ummah dengan konsep bertaawun dengan saudara kita seagama dan sebangsa, mendahulukan parti Melayu Islam dan NGO, ke arah perpaduan umat Islam secara khusus didahulukan, yang tidak sepatutnya dipandang negatif oleh pihak lain, kerana kewajipan kita mendahulukan masalah dalaman umat Islam sendiri.

Sepatutnya semua pihak yang lain itu hendaklah melihat kepada konsep Islam secara menyeluruh terhadap mereka, bukannya mengintai dengan niat yang jahat. Malah mereka perlu menghargai dan berterima kasih kepada umat Islam di sini, yang telah memberi tempat kepada mereka berkonsepkan akhlak Islam dan toleransi yang tinggi. Bandingkan kedudukan layanan kaum seperti mereka di negara lain.

Janganlah juga memandang rendah terhadap umat Islam ini, yang terlalu lama dibuli oleh penjajah dan umat Islam di sini yang memulakan perjuangan menentang penjajah dan paling ke hadapan menuntut kemerdekaan sebelum ketibaan kaum lain.

Tegasnya kita tetap mempertahankan kewujudan masyarakat majmuk ini kerana petunjuk Islam, bukannya bermain politik. Kita buktikan adanya sayap bukan Islam dalam PAS dan adanya pada Parti UMNO yang bersifat Melayu Islam tidak berpisah dan Bumiputera tegar, namun tetap menjalin rantaian yang tidak putus dengan semua kaum yang lain. Maka kita menentang sesiapa sahaja yang mahu membakar api perkauman dan fanatik agama yang merosakkan masyarakat majmuk ini, dan tidak berganjak mempertahankan Islam memimpin dengan semangat tema yang diteruskan.

Terpenting kita wajib membina syakhsiah dengan petunjuk Islam, menunjukkan model integriti yang tinggi, walaupun setiap manusia ada sifat kelemahan makhluk, melakukan kesalahan dan dosa, tetapi syarat Islam yang memimpin diwajibkan itu hendaklah dipertahankan, kerana Islam menjadi syarat wajib semua amalan itu diterima Allah.

Integriti tanpa Islam tidak diterima Allah dan seorang beriman yang tidak berintegriti tetap lebih baik daripada yang hanya berintegriti tetapi tidak beriman, kerana bertaubat yang beriman itu sahaja yang diterima Allah:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”.

(an-Nisa’: 48)

Allah juga menolak segala amal soleh oleh orang yang melakukan syirik dengan firmanNya:

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”.

(az-Zumar: 65)


Maka utamakan iman sebelum budiman, kerana integriti tanpa iman adalah sia-sia di sisi Allah pada Hari Kiamat nanti. Maka pilih Islam dahulu sebelum integriti yang tetap diwajibkan. Inilah rahsianya mengapa kita mulakan bertaawun itu dengan kalangan umat Islam dahulu, tanpa membelakangi kaum lain dalam masyarakat majmuk yang menjadi realiti yang kita iktiraf dan pertahankan.

Piagam Muafakat Politik

Berpandukan ijtihad politik semasa dalam hal ini, PAS konsisten untuk memilih pendekatan damai dalam berpolitik (muwajahah silmiyyah) dan terbuka untuk berdialog dan menjalin hubungan politik dengan semua pihak di atas prinsip kerjasama berikut

(“Piagam Muafakat Politik”):

i) Kerjasama yang menguntungkan Islam, negara dan bangsa;

ii) Kerjasama yang mendahulukan perpaduan di kalangan umat Islam;

iii) Kerjasama yang mempertahankan perpaduan dalam masyarakat majmuk;

iv) Kerjasama yang menunjukkan nilai akhlak dan integriti yang tinggi;

v) Kerjasama yang saling menghormati, saling membantu dan tidak memusuhi.

Justeru jangan putuskan hubungan Islam dan hubungan kemanusiaan. Kalau renggang rapat-rapatkan, kalau jauh dekat-dekatkan, kalau putus hubungkan, teruskan perjalanan perpaduan ummah, laksana biduk lalu kiambang bertaut, air ditetak tidak putus.

Sila pungut buah salak,

Dikupas kulit isi ditelan,
Biar anjing terus menyalak,
Langkah kita terus berjalan.


Maka kita mengharapkan rakan-rakan bukan Islam supaya menolak parti fanatik perkauman (cauvanis), khusus yang bersikap negatif terhadap umat Islam, tanpa mengenang budi, demi kepentingan kaumnya sahaja tanpa peduli hubungan kaum yang mesti dipelihara dengan saksama. Mari bermuafakat tegakkan keadilan untuk semua, bersama hak yang setimpal dengan keperluan masing-masing, bukannya persamaan tanpa peduli kepada yang lemah dan miskin.


Islam Memimpin Perpaduan Nasional

Islam menegaskan wujudnya kepelbagaian, perselisihan dan pertembungan adalah fitrah kejadian manusia. Tidak mungkin manusia hidup secara individualistik, semuanya memerlukan kerjasama dan perkongsian kemahiran untuk menyempunakan kehidupan kerana tidak ada manusia atau kaum yang pandai dalam semua perkara dan tidak ada negara yang ada semua hasil keperluan.

Bagi melaksanakan perbezaan yang wajib di atas, perlu diselaraskan secara saksama dengan melaksanakan konsep perpaduan yang unggul supaya bersama dalam titik persamaan dan menjaga sempadan apabila adanya perbezaan.

Islam menegaskan bahawa perpecahan dan pertembungan juga adalah sifat kejadian manusia secara naluri kerana ada di kalangan mereka yang mengikut hawa nafsu dan memaksa pihak lain menerimanya secara paksaan. Sifat itu wajib dihalang dan ditentang bagi menyelamatkan semua. Keharmonian hanya dapat diwujudkan apabila kepimpinan negara di bawah pemerintahan

Islam yang berdaulat:

“Kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja dan tempat-tempat sembahyang, dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

(al-Hajj: 40-41)

Dalam aspek perkauman, Islam tetap menegaskan bahawa fitrah manusia ada perasaan kecintaan kepada keluarga dan kaumnya. Namun, kecintaan itu ada sempadan, iaitu haram dijadikan sebagai akidah perjuangan apabila sampai ke tahap fanatik (asabiyyah) yang mencetuskan kezaliman di antara satu sama lain. Tegasnya, Islam mewajibkan hubungan silaturrahim di kalangan keluarga dan bangsa. Pada masa yang sama, Islam juga mewajibkan menjaga hubungan persaudaraan kemanusiaan berkonsepkan masyarakat madani yang bertaaruf, adil untuk semua dan tiada paksaan untuk menganut Islam atau hidup aman di bawah pemerintahan Islam.

Para ulama Islam berpegang kepada konsep dominan kaum dalam kepimpinan negara dengan sifat anjal kerana perubahan dunia, di mana sejarah pelantikan ketua dalam pemerintahan Islam mengalami perubahan mengikut dominan kaum yang menganut Islam.

Dalam politik Malaysia, hendaklah diambil kira Bumiputera Melayu berbagai rumpun yang kuat berpegang dengan Islam menjadi kaum dominan dilantik sebagai teras kepimpinan negara dengan peneguhan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan Raja Berperlembagaan. Kuatnya Melayu berpegang pada Islam sehingga ditarifkan Melayu itu sebagai beragama Islam di sisi Perlembagaan.

Kaum lain yang beragama bukan Islam sepatutnya tidak merasa khuatir dengan adanya jaminan keadilan dan hak mengikut Al-Quran dan Perlembagaan Negara yang sentiasa diislahkan. Sebaliknya kalau aspek ini diganggu boleh mengancam kedudukan semuanya.

Apa yang dibimbangkan hari ini adalah keberanian melulu di kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, Raja dan hak istimewa yang boleh mencetuskan ketegangan yang merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik.

Begitu juga ada kalangan orang Islam yang kehilangan jati diri Islam dan kebangsaan turut berperanan merosakkan konsep dan peranan dominasi ini. Rakyat pelbagai kaum dan agama hendaklah menolak kalangan ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang demi kebaikan semua pihak dan mengatur hari muka yang bahagia dan tiada kecelakaannya kerana wujud berbagai bangsa dan bahasa adalah fitrah yang tidak boleh dipisahkan.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui."

(ar-Rum: 22)

PAS menegaskan bahawa Melayu Islam yang wajib diperkasakan politiknya bersama Islam, adalah teras kepada negara Malaysia bermasyarakat majmuk dan menjadi tonggak kepimpinan negara, kerana Melayu adalah dominan dan Islam itu adil terhadap semua dengan kewajipan berakidah Islam dan berakhlak mulia. Jika Melayu bersama Islam semuanya selamat, Melayu tanpa Islam semuanya tidak selamat.

Justeru itu, adalah tidak beradab atau berakhlak, apabila adanya kenyataan di kalangan bukan Islam mempertikaikan hak istimewa Islam, Melayu dan Peribumi. Paling tidak berakhlak apabila mengeluarkan kenyataan yang biadab terhadap Islam dan mengancam terhadap usaha menyatukan umat Islam dan Bumiputera, dengan cara melampau sehingga perpaduan orang Melayu Islam dan Bumiputera ini dianggap sebagai musuh yang ditentang kerana menjadi ancaman kepada kaum lain. Ketahuilah bahawa kesabaran umat Islam ada sempadannya, maka jangan dicerobohi sempadan ini.

Islam juga mewajibkan pemimpin supaya bersikap adil dalam semua keadaan dengan mewajibkan kerajaan memantau secara menyeluruh perlaksanaan keadilan dalam negara yang merangkumi pelbagai kelompok seperti keluarga, masyarakat, negara dan bangsa, penganut Islam dan bukan Islam, kawan dan musuh, pada masa aman dan peperangan, manusia, binatang, alam sekitar dan lain-lain, bertepatan dengan konsep Rahmatan Lil 'Alamin yang sebenarnya:

"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."

(al-Anbia: 107)

PAS melalui pemerintahan di Kelantan dan Terengganu sudah berjaya membuktikan bahawa keadilan kepada semua kaum dan bangsa bukanlah ucapan kosong yang sudah dibuktikan melalui hak kebajikan dan beragama yang dijaga oleh kerajaan di bawah kepimpinan PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan.

Hubungan dalam masyarakat majmuk wajib dipelihara dengan mengutamakan mesej Islam itu disampaikan. Jangan sekali-kali bertindak dengan cara melulu sehingga menutup pintu bermasyarakat dan menghalang dakwah dengan tindakan kononnya beragama tetapi melakukan kejahilan dengan menghalang Islam disampaikan melalui pergaulan masyarakat yang telah ditetapkan sempadannya oleh hukum Islam.

PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menerima konsep politik Islam yang adil dan rahmat untuk semua adalah jambatan PAS kepada penganut bukan Islam hendaklah diperkasakan dengan penglibatan pelbagai kaum dan bangsa untuk mengubah persepsi negatif dan fobia terhadap Islam.

PAS terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan parti atau NGO bukan Islam, terbarunya dengan MIC menunjukkan hasil yang sangat positif apabila memahami titik persamaan yang boleh bekerjasama dan memahami perbezaan yang boleh dibincangkan secara terbuka tanpa perkelahian, apabila masing-masing menjaga adab dan sempadannya.

Program penerangan melalui media sosial dan media cetak khusus kepada penganut bukan Islam adalah agenda utama bagi memberi kefahaman dan penjelasan kepada mereka tentang Islam dan perjuangan PAS berkonsepkan hikmah, tiada paksaan dalam agama dan adil untuk semua.

Piagam Jaminan Perlindungan Bukan Islam

Percayalah bahawa hanya Islam yang sempurna, adil dan rahmat dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan selamat. Inilah ‘Piagam Jaminan Perlindungan Bukan Islam’ yang akan terus dipegang oleh PAS:

i) Allah memerintahkan dalam hubungan bermasyarakat majmuk supaya melakukan kebijaksanaan dengan mendahulukan perdamaian dan persaudaraan, tanpa paksaan dalam perkara agama;

ii) Islam mewajibkan pemerintah untuk bersikap adil kepada semua;

iii) Islam mengizinkan penganut agama lain melaksanakan apa yang diizinkan oleh agama mereka, walaupun diharamkan oleh Islam dengan sempadan menjaga sensitiviti umat Islam; dan

iv) Umat Islam disuruh menjaga sensitiviti penganut bukan Islam, sehingga termasuk dalam perkara akidah ketuhanan.


"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan."

(al-An'am: 108)

PAS yakin mampu memimpin negara Malaysia bermasyarakat majmuk ini, berbekalkan kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang telah sedia ada dengan penafsiran Islam yang sebenar (Ad-deen) tanpa meminggirkan pelbagai kaum danagama.


Islam Memimpin Perubahan Negara
Firman Allah SWT (maksudnya):

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa”

(al-An’am : 153)

Kita wajib beristiqamah dengan konsep Islam adalah Al-Din yang sempurna, diturunkan kepada manusia sebagai hidayah dari Allah yang memiliki segala kemuliaan dan kesempurnaan, dan Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan.

Di atas prinsip beristiqamah dengan Islam yang sempurna, kita perlu meyakini bahawa tidak wujud sama sekali konsep pemisahan politik, ekonomi dan urusan duniawi kerana inilah petunjuk Al-Quran yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W. Maka kita wajib beriman hanya Islam mampu menyelesaikan semua masalah, sejak dahulu sehinggalah terkini dan akan datang.

Kita juga perlu memahami konsep Negara Hidayah bukan Jibayah, iaitu negara yang berdasarkan keimanan dan keberkatan, bukannya kebendaan yang menjadi berhala yang dipuja sehingga melanggar batas halal dan haram.

Inilah teras tawaran PAS dalam model bernegara yang terkandung di dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) sebagai kerangka penyelesaian masalah negara yang membebankan rakyat dan kerajaan.

Kegagalan Ideologi Manusia

Dunia menyaksikan kejatuhan pemikiran komunis dan kapitalis yang bercanggah dengan fitrah dalam membangungkan negara. Komunisme menolak wujudnya Tuhan dan mengekang kebebasan individu namun gagal mewujudkan sebuah masyarakat yang saksama, manakala kapitalisme bertuhankan kebendaan dan memberi kebebasan individu namun terjerut dengan hutang dan tamak haloba serta menolak hubungan politik dan agama.

Kita juga sedang menyaksikan kecelaruan kiblat politik dan ekonomi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang sehingga kini gagal mengemukakan idea dan gagasan bernegara mengikut acuan Islam sebenar.

Terlalu panjang untuk disenaraikan kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan yang hanya tahu menyalahkan pihak lain ataupun menjenamakan dan menghidupkan kembali program kerajaan terdahulu yang dikritik mereka, sehingga ada yang menggelar Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang lemah dan tidak boleh diharap (Kerajaan Kakistokrasi).

Cukuplah rakyat menilai pembohongan Pakatan Harapan terhadap janji manifesto yang belum tertunai, penipuan ijazah akademik di kalangan Menteri, kebisuan terhadap pihak yang menghina kesucian Islam dan Baginda Nabi S.A.W., di samping kegagalan mereka menguruskan ekonomi bagi mewujudkan lebih peluang pekerjaan dan mengurangkan kos sara hidup yang sedang ditanggung rakyat.

Konsep Taqwa Dalam Bernegara

Konsep taqwa menggantikan kebanggaan terhadap asabiyah bangsa, kaum, jantina, warna kulit, pangkat dan harta. Taqwa menjadikan manusia bermasyarakat madani yang istiqamah dan tidak boleh melakukan penindasan kerana perbezaan bangsa, agama, harta, keturunan, pangkat dan jantina.

Konsep adil dalam Islam yang lahir daripada konsep taqwa adalah mutlak terhadap semua dan segala aspek kehidupan manusia, termasuk adil terhadap musuh sehingga dikaitkan dengan konsep taqwa. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah S.W.T.:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan).”

(al-Maidah: 8)

Inilah pendekatan yang wajib dilakukan oleh kita yang menyambung risalah Nabi Muhammad S.A.W. ini. Tugas kita bukan selesai setakat menukar pemimpin, tetapi perlulah menukar jati dirinya dengan akidah, syariat, akhlak dan pendekatan dengan prinsip dan konsep Islam yang sebenar.

Justeru agenda terpenting dalam politik negara adalah menghidupkan semangat Federalisme yang terkandung di dalam Perlembagaan, memperkasakan kedudukan Islam mengikut takrif Islam yang sebenar (Ad-deen) serta mengangkat keupayaan Bumiputera dan masyarakat majmuk. Walaupun hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera disebut tetapi tetap haram menindas hak kaum lain yang miskin dan memerlukan.

Membaiki Ekonomi dan Tadbir Urus

Pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus perlahan bagi tahun 2019 sehingga 2020, disumbangkan oleh kelemahan permintaan dalam negeri dan ketidaktentuan ekonomi dunia. Berdepan dengan situasi kelembapan ini, kerajaan dilihat masih gagal untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan daya tahan ekonomi negara dengan mengambil kira peluang pekerjaan yang terhad, kos sara hidup rakyat yang terus meningkat dan kuasa beli yang lemah.

PAS beristiqamah untuk membangunkan sebuah ‘Negara Berkebajikan’ yang berteraskan perkongsian ekonomi yang adil untuk semua, berbeza dengan konsep Negara Kebajikan (Welfare State) yang sempit. Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi membaiki kedudukan ekonomi negara adalah:

• Pertama - Membetulkan falsafah ekonomi kepada yang lebih adil dan memakmurkan kehidupan, sesuai dengan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

• Kedua – Membetulkan pelaksanaan dasar ekonomi dengan bersendikan akhlak dan perkiraan dosa pahala, budaya integriti yang tinggi, serta mencegah berlakunya pembaziran, ketirisan, penyelewengan dan rasuah.

• Ketiga – Memanfaatkan sumber alam dan pendapatan negara secara mampan supaya khazanah negara dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, seterusnya merapatkan jurang kaya-miskin yang semakin melebar.

• Keempat – Menolak diskriminasi dan berkebajikan kepada semua tanpa mengira kaum, fahaman politik serta wilayah, sekaligus menolak amalan kronisma, nepotisma dan monopoli yang menekan rakyat.

• Kelima – Membangunkan modal insan yang berkualiti dan berintegriti (Al-Qawiy dan Al-Amin) sebagai tunjang pembangunan negara yang terlatih dan berdaya saing.

Berdepan dengan pentadbiran Pakatan Harapan, PAS akan terus komited memperjuangan Malaysia yang bebas rasuah, telus dan berdaya saing dengan kritikan yang membina sebagaimana yang kita tunjukkan selama ini. Segala pertuduhan rasuah dan pecah amanah perlu disiasat dan didakwa di mahkamah secara adil oleh para hakim, bukannya dibicarakan di ‘mahkamah media’ oleh para Menteri.

Kita bukan berteori kerana telah membuktikan dengan rekod bebas rasuah, telus, berhemat dan adil untuk semua sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan, Terengganu termasuklah Kedah, bukannya seperti Pakatan Harapan ibarat paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Dalam hal ini, PAS mengulangi saranan agar satu penilaian bebas dan menyeluruh dibuat melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa PAC Parlimen bagi meneliti setiap laporan dan syor yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara, SPRM, PDRM dan juga Bank Negara Malaysia, demi mengukuhkan kedudukan kewangan dan kecekapan operasi di pihak Tabung Haji, FELDA, MARA dan institusi ekonomi Bumiputera yang terpenting.

Membangun Semula Sistem Pendidikan

Statistik berkenaan gejala sosial di kalangan belia amat membimbangkan, melibatkan disiplin dan moral pelajar seperti penagihan dadah, kes buang bayi, tekanan mental dan kes jenayah terhadap keluarga sendiri. Manakala pencapaian pelajar sekolah dan graduan pula tidak menunjukkan peningkatan yang diidamkan bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.

PAS berkewajipan memperkenalkan agenda pembangunan insan yang sebenarnya mengikut acuan Allah Pencipta manusia dan seluruh alam. Kegagalan sistem pendidikan yang tidak mengikut acuan Allah menjadikan negara dan bangsa ketinggalan, lemah dan dipandang hina.

Islam mengiktiraf peranan akal dan ilmu sebagai suatu kelayakan untuk menjadi khalifah di muka bumi malah disebut berulang kali dalam Al-Quran. Kemusnahan tamadun umat terdahulu adalah kerana tidak membangun insan mengikut fitrahnya, malah berlaku zalim kepada ahli bijak pandai, sehingga ada ahli falsafah yang dibunuh, arkitek yang dipotong tangannya, malah melampau apabila menolak Rasul yang dipilih oleh Allah dengan ilmu wahyu.

Kini kita sedang menyaksikan tanda bermulanya kemusnahan tamadun Barat yang melanggar fitrah manusia dan alam sekitarnya, namun menjadi suatu yang aneh sekiranya kita pula mahu belajar daripada tamadun Barat yang gagal dan rosak.

Ini dapat dilihat daripada sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh Pakatan Harapan yang gagal menyuntik roh pegangan agama yang murni kepada pelajar untuk berdepan dengan krisis moral, sementara pencapaian pelajar masih diukur dengan kayu pengukur yang tidak menyeluruh. Guru-guru pula berdepan dengan eksperimen baharu yang terus memberi tekanan kepada bidang perguruan, serta pelbagai lagi dasar baharu yang berubah-ubah sehingga guru dan pelajar menjadi mangsa.

Malah sudah mula timbul keberanian pihak tertentu yang mewujudkan NGO dan gerakan normalisasi yang memperjuangkan budaya songsang seperti LGBT serta menggunakan jenama Islam untuk agenda kebebasan beragama dan membuka aurat di kalangan Muslimah.

Peranan Bahasa Kebangsaan yang menjadi jiwa bangsa wajib diperkasakan untuk menjadi bahasa ilmu, di samping menjadi medium utama pentadbiran negara dan perpaduan rakyat. Negara yang menggunakan bahasa ibunda pasti berjaya, manakala negara yang menggunakan bahasa asing biasanya akan gagal.

Namun generasi muda juga perlu digalakkan untuk mempelajari budaya dan bahasa kaum lain bagi menimba ilmu yang bermanfaat daripada mana-mana sahaja, kerana sabda Rasulullah S.A.W. :

"Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan seorang yang beriman, maka di mana sahaja dia menemuinya, hendaklah dia memungutnya".

(Ibnu Majah)

PAS percaya bahawa pelaburan dalam bidang pendidikan adalah pelaburan yang tidak akan rugi, malah memberikan pulangan yang paling lumayan di masa hadapan, supaya Malaysia dapat melahirkan generasi berilmu dan berakhlak yang disegani di mata dunia.

Komitmen Untuk Rakyat

Kepada rakyat berbagai kaum dan etnik di Sabah dan Sarawak, marilah kita memelihara perpaduan yang sedia terjalin dan menolak sebarang pendekatan ekstrem yang boleh memecahkan penyatuan ini.

PAS beriltizam untuk meningkatkan taraf hidup peribumi Sabah dan Sarawak serta menyeru semua pihak untuk memperkukuhkan komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dengan memperbaiki segala kelemahan sepanjang pelaksanaannya, ke arah menguatkan Persekutuan dan merapatkan jurang perbezaan yang wujud selama ini.

Kita perlu menolak sebarang usaha untuk memisahkan penyatuan ini dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Selatan Sudan dan Timor-Timur yang lebih malang nasibnya selepas berpisah.

PAS Sabah dan Sarawak berperanan untuk memimpin perpaduan dengan mewakili suara umat Islam di tengah kemajmukan kaum dan etnik, melalui pendekatan dialog dengan hikmah dan aktiviti kebajikan supaya dapat membuka lembaran baru kerjasama politik yang mencerminkan wajah Malaysia yang harmoni.

Di samping itu, PAS memberikan komitmen besar untuk mengiktiraf kesetiaan, kesungguhan dan integriti penjawat awam dan anggota keselamatan sepanjang menjalankan tugas, serta beriltizam untuk tidak menzalimi atau membalas dendam sekiranya berlaku peralihan kuasa di peringkat Negeri dan Persekutuan. Ini bukan janji politik tetapi ajaran Islam yang diperintah Allah.

Ini dapat dilihat daripada komitmen Kerajaan Kelantan dan Terengganu dalam memelihara hubungan baik dengan penjawat awam, berbeza dengan situasi yang dirasai oleh pegawai kerajaan di Putrajaya.

PAS juga mengulangi komitmen untuk menjuarai kebajikan rakyat bawahan dan masyarakat luar bandar, khususnya nasib petani, nelayan, peneroka FELDA dan peniaga kecil yang paling dekat dengan kepayahan kehidupan. Segmen terpenting ini perlu terus didekati dengan aktiviti kebajikan, pendidikan dan penjanaan ekonomi setempat supaya dapat meningkatkan taraf hidup mereka, seterusnya menjadi penyumbang kepada perpaduan dan kesejahteraan negara.

Dalam masa yang sama juga, Dewan Ulama, Pemuda, Muslimat dan DHPP mestilah lebih memahami ‘psikologi-politik’ penduduk bandar dan luar bandar serta pengundi atas pagar terhadap perjuangan kita. Dengan memahami aspek psiko-politik yang merentasi kaum dan umur, maka tindakan dan gerak kerja yang lebih tepat akan dapat dirangka dan dilaksanakan ke arah menarik mereka sebagai pengundi PAS, bahkan sehingga mereka bersedia menjadi ahli PAS dengan konsep meramaikan kawan bukannya lawan.

Selain itu, penumpuan perlu diberikan oleh Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat untuk menerapkan elemen 'pendidikan politik' di kalangan generasi muda berumur 15-25 tahun, bagi menarik minat terhadap politik sebagai perintah agama yang tidak boleh dipisahkan, serta memahami hak dan tanggungjawab berpolitik sejak di usia muda, seterusnya mendaftar dan menjadi pengundi yang matang dalam PRU ke-15 nanti.

Kestabilan Geopolitik Dunia

PAS menzahirkan kebimbangan terhadap konflik yang berterusan di Asia Barat dan insiden serangan pelampau di rantau Asia Pasifik (Myanmar, New Zealand, Sri Lanka) yang memberi kesan kepada keselamatan dan keamanan di seluruh dunia.

PAS menegaskan bahawa Islam memberi penyelesaian dengan mendahulukan perdamaian, serta mengamalkan diplomasi dan toleransi, manakala persepsi yang salah terhadap Islam seperti fahaman Islamofobia dan Jihadfobia perlu ditangani sebaiknya daripada terus membarah.

PAS menyarankan agar Malaysia mengambil peranan yang aktif bagi meredakan ketegangan di peringkat dunia, dengan memanfaatkan kerjasama di kalangan negara jiran ASEAN, OIC dan PBB sebagai forum yang bertindak bagi mewujudkan keamanan dan mengimbangi pertembungan di antara dua blok kuasa besar dunia.

Sehubungan itu, PAS akan terus memperjuangkan isu pembebasan bumi Palestin dan menggerakkan misi kemanusian bagi membantu saudara kita di Gaza, Syria, Yaman dan Myanmar, dengan penglibatan pelbagai agensi dan NGO yang pastinya memerlukan sokongan daripada kita semua.

PAS menyarankan agar negara-negara Islam jangan menjadi proksi dan medan perang kuasa besar untuk menyelamatkan negara haram Israel dan kepentingan ekonomi bekas penjajah.


Pengukuhan Organisasi

Bagi mendepani cabaran semasa yang semakin sengit, PAS perlu memposisikan dirinya agar terus kukuh dan segar. Agenda Pemerkasaan Parti dan Transformasi Imej (PPTI) perlu diberi perhatian yang serius dan dilaksanakan daripada peringkat pusat sehinggalah ke peringkat cawangan.

Terdapat dua objektif penting yang perlu dicapai, iaitu Pemerkasaan Parti (tonggak dalaman) dan Transformasi Imej (impak luaran). Pemerkasaan parti dan transformasi imej ini sekurang-kurangnya memerlukan tiga proses. Pertama, perubahan paradigma pemikiran; kedua, pembudayaan gerak kerja yang efektif dan efisien; dan ketiga, pemantauan, penilaian dan pelaporan.

Perubahan Paradigma Pemikiran

Proses perubahan paradigma pemikiran merupakan perkara tunjang dalam agenda Pemerkasaan Parti dan Tranfosmasi Imej. Perubahan yang dimaksudkan ialah perubahan daripada pemikiran yang berdiri di atas kerangka politik konvensional kepada kerangka politik Islam sepenuhnya yang mampu melakukan islah dan tajdid.

BPMS tidak boleh hanya sekadar menjadi slogan yang dilaungkan dan ditulis, tetapi perlu dibudayakan secara berterusan dan konsisten bukan hanya terhad kepada ahli politik sahaja, bahkan ianya perlu menjadi budaya masyarakat awam sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Budaya ini hendaklah diterajui oleh pimpinan PAS di dalam setiap ucapan, tulisan dan tindakan.

"Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu."

(al-Baqarah: 143)

Dalam menonjolkan imej PAS sebagai sebuah parti yang inklusif, sifat keterbukaan perlu ada pada setiap pimpinan dan ahli. Keterbukaan yang dimaksudkan di sini ialah kemampuan untuk berada di tengah kepelbagaian pemikiran di luar lingkungan kita, supaya kita tidak menjadi jaguh kampung di gelanggang sendiri, tetapi mampu menjadi duta untuk menyampaikan mesej Islam kepada segenap lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, pimpinan dan ahli PAS perlu berusaha menjadi contoh terbaik di dalam segenap lapangan dan masyarakat dengan menjadikan akhlak Islam sebagai amalan serta berhikmah dalam tindakan. Pengiktirafan masyarakat kepada khidmat bakti Jabatan AMAL adalah sesuatu yang patut dibanggakan dan wajar dicontohi. Difahamkan, terdapat beberapa agensi kerajaan di dalam bidang menyelamat turut memberikan penghargaan dan mengiktiraf khidmat Jabatan AMAL ini. Tahniah dan syabas diucapkan! Usaha ini perlu diteruskan dan diperluaskan di dalam semua peringkat parti.

Pembudayaan Gerak Kerja Efektif Dan Efisien

Setelah proses perubahan paradigma pemikiran dilaksanakan, proses seterusnya ialah proses pembudayaan gerak kerja yang efektif dan efisien. Gerak kerja yang dimaksudkan di sini ialah gerak kerja yang melibatkan pengurusan dan pentadbiran organisasi parti. Pembudayaan gerak kerja yang efektif dan efisien ini perlu dilatih secara tersusun dan profesional melibatkan semua pihak yang berkepentingan di dalam parti.

Sudah sampai masanya, semua institusi latihan di dalam PAS perlu diletakkan di bawah satu bumbung yang dinamakan Akademi Latihan PAS. Latihan dalam bidang kepimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan media, pembinaan imej, dan pengucapan awam perlu diwajibkan kepada semua peringkat kepimpinan PAS secara berkala. Selain penglibatan jurulatih bertauliah, proses perpindahan ilmu dan pengalaman juga akan lebih berkualiti dengan penglibatan jasawan As-Sabiquun PAS sebagai mentor di dalam Akademi Latihan PAS ini.

Bagi menguruskan bakat dan pembinaan pelapis kepimpinan yang lebih tersusun dan bersistematik, penubuhan Jabatan Sumber Manusia adalah suatu perkara yang wajar diusahakan secara serius melibatkan semua Dewan. Selain itu penyelarasan perlu dibuat di bawah Lajnah Pendidikan bagi membangunkan institusi pendidikan PAS secara tersusun dan berkesinambungan, bermula sejak pra-sekolah sehingga ke menara gading.

Bagi menghadapi kecelaruan media tanpa sempadan yang tidak beragama dan bermoral, aspek pengurusan media di dalam parti sangat memerlukan pemerkasaan yang jitu. Kelemahan pengurusan media sosial di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu perlu diakui. Kewujudan pelbagai platform media sosial parti sama ada atas kapasiti organisasi atau peribadi perlu diselaraskan.

Maklumat perlu disampaikan kepada kumpulan sasaran yang tepat dalam kadar yang cepat, serta diukur keberkesanannya. Saluran maklumat berkaitan parti secara terus kepada ahli juga perlu diperkasakan, supaya ahli tidak tercari-cari maklumat yang dikehendaki yang akhirnya menyebabkan maklumat daripada sumber lain lebih dipercayainya berbanding sumber rasmi parti.

Selain itu usaha perlu diambil secara kreatif bagi menambahkan ahli melalui ‘Kempen Daftar Ahli’ yang menunjukkan sambutan menggalakkan, di samping usaha yang tersusun untuk menubuhkan lebih banyak cawangan di setiap kawasan. Ini kerana kekuatan PAS terletak di akar umbi yang berpaksikan akidah dan fikrah yang jelas, malah peluang PAS untuk menang adalah lebih cerah di Parlimen dan DUN yang mempunyai banyak cawangan dan padu jenteranya.

Pemantauan, Penilaian Dan Pelaporan

Bagi memastikan perubahan pemikiran dan gerak kerja efektif dilaksanakan dengan baik, satu Jawatankuasa Pemantau PPTI perlu diwujudkan melibatkan PAS Pusat, Dewan-Dewan dan Badan Perhubungan Negeri. Sistem pemantauan dan penilaian perlu dibangunkan supaya kesemua tindakan-tindakan yang diputuskan dapat dilaksanakan dan dinilai prestasinya.

Laporan mengenai pemantauan dan penilaian ini perlu menjadi agenda rutin yang dibentangkan secara berkala di dalam mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan. Bagi menunjukkan keseriusan agenda ini, ia hendaklah dijadikan sebagai salah satu perkara yang dilaporkan di dalam mesyuarat agung atau muktamar.

Namun setiap gerak kerja perlu berterusan dan bermula daripada awal, bukannya tergopoh-gopoh membuat program ketika hampir muktamar, bertujuan hanya untuk dipamerkan dalam laporan sahaja.

Pemetaan PRU15 (Roadmap PRU15)

Saya menyeru seluruh organisasi PAS untuk mengatur persiapan bagi menghadapi PRU15 yang boleh berlangsung lebih awal daripada tempoh lima tahun. Keutamaan perlu diberikan kepada aspek penambahan ahli, pendaftaran pengundi, pelebaran pengaruh dan penguasaan media secara berstrategi.

Semua kerja asas Jabatan Pilihan Raya perlu disepadukan di semua peringkat melibatkan kesediaan jentera, latihan, simulasi dan kewangan mengikut tanda aras (milestone) dan arahan yang ditetapkan, serta dipantau oleh Negeri dan Pusat.

Dalam masa yang sama, semua aktiviti Dewan dan Kawasan hendaklah memberikan 70% penumpuan ke arah jalinan luaran (engagement) bagi mendekati sasaran dakwah, anak muda dan pengundi atas pagar secara tersusun, manakala 30% penumpuan ke arah membina kekuatan dalaman, pentarbiahan ahli dan pengukuhan organisasi secara berterusan.

Mandat untuk menjalin kerjasama politik, pembahagian kerusi dan pemilihan calon hendaklah diserahkan kepada Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat, dengan mengambil kira pertimbangan Fiqh Siasah dan strategi politik semasa. Patuhi setiap arahan dengan seikhlas hati dan bertawakkal kepada Allah dengan konsep taat dan wala'. Jangan sibuk mahu menjadi panglima perang, sedangkan perisai dan kuda masih belum dipersiapkan.

Firman Allah SWT:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

(al-Anfal: 60)

Ayat ini menegaskan konsep mempersiapkan kekuatan mengikut kemampuan dengan ikhlas, bukan semestinya kekuatan yang sama dengan musuh, serta tidak boleh menyembunyikan kemampuan, tenaga dan kewangan yang dimiliki untuk disumbangkan kepada perjuangan.

PENUTUP

Di kesempatan ini, ingin saya sebutkan bersempena dengan agenda pemilihan kepimpinan tertinggi parti pada Muktamar tahun ini.

Saya berkeyakinan penuh dengan kebijaksanaan para perwakilan untuk memilih pemimpin yang terbaik di kalangan kita, khususnya yang memiliki kekuatan Ilmu, Fikrah, Akhlak dan Pengaruh, serta mampu melaksanakan kerja secara Berjemaah. Namun jangan menganggap yang tidak terpilih itu tidak baik kerana pemilihan pemimpin mengikut realiti dan tuntutan semasa.

Sebagai penutup, saya berpesan kepada diri saya dan sekalian pimpinan serta ahli-ahli PAS untuk terus beristiqamah menghadapi cabaran bagi menjayakan agenda ‘Islam Memimpin Perpaduan’ dengan melaksanakan taklifan berikut:

i) Meningkatkan keyakinan dan kebergantungan ke hadrat Allah S.W.T.;

ii) Meningkatkan ilmu, kefahaman dan tarbiah bagi memelihara jatidiri sebagai ahli Jemaah Islam;

iii) Merapatkan ukhuwwah dan saf perjuangan, menjaga wala’ dan taat serta adab ikhtilaf dalam Jemaah;

iv) Merapatkan hubungan dengan masyarakat, anak muda, wanita, tokoh berpengaruh, NGO dan kumpulan Islam;

v) Merapatkan hubungan dengan rakan-rakan bukan Islam yang bermasyarakat madani, khususnya di kalangan NGO dan tokoh berpengaruh;

vi) Mendahulukan damai dan persaudaraan dalam berpolitik (BPMS), serta mengelakkan pertembungan dan krisis dalam masyarakat;

vii) Meyakini bahawa masa depan adalah untuk Islam.

Akhir kalam, sekalung tahniah dan terima kasih kepada Pejabat Agung PAS, Jawatankuasa Panitia Muktamar, tuan rumah Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang, Agensi Kerajaan Negeri Pahang, penaja budiman, para bentara serta anggota AMAL dan Keselamatan, rakan media serta semua pihak yang menjayakan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 ini.

Mudah-mudahan segala amal soleh ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

1440H / 2019M

31

BERBAKI kurang dua hari lagi, Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 akan berlangsung di Kuantan, Pahang. Bahangnya kurang terasa walaupun tahun ini adalah tahun pemilihan barisan kepimpinan sesi 2019/2021, ini berkemungkinan daripada isu-isu panas politik yang sedang menaufan negara ini. Alam maya sedang menggelegak dengan isu "kunyit dan lengkuas" politisi yang memualkan, rakyat bosan dan kecewa dengan kerajaan PH yang gagal merealisasikan tawaran manifesto sehingga bertindan tindih derita rakyat.

Insya-Allah, muktamar berlangsung dengan damai dan harmoni walaupun adanya pemilihan kepimpinan jamaah, bahtera PAS yang menampung kepelbagaian ahli ini akan memilih pemimpin, empat calon Naib Presiden menawarkan diri untuk tiga kerusi Naib Presiden, manakala 29 calon AJK PAS Pusat bertanding untuk 18 kerusi AJK Pusat. Pengerusi tetap menang tanpa bertanding, Cikgu Husin Ismail. Anak Terengganu yang lama bergulat di medan kebajikan dan dakwah sehingga benua Afrika, beliau juga pengasas Jabatan Amal Malaysia di zaman pemudanya. Timbalan Pengerusi tetap juga menang tanpa bertanding, Ustaz Kamal Saari yang juga tokoh pendidikan dan dakwah yang piawai.

Selain calon yang juga penyandang jawatan, muktamar pada kali ini membariskan calon-calon baru dan tokoh baru yang memancing perhatian perwakilan dan pemerhati. Ustaz Khalil Abdul Hadi, mantan Ketua Dewan Pemuda yang mencuba nasib kali ini. Anak butir Presiden PAS ini adalah Adun Batu Buruk yang mendapat pendidikan di Pakistan, Yaman, United Kingdom dan sedang menyiapkan ijazah kedoktoran. Ustaz Yusni Mat Piah, anak Memali yang kini menggalang jawatan Adun Penaga di Pulau Pinang. Mantan Ketua Pemuda Pulau Pinang ini mendapat pendidikan di Pakistan dan Mesir, seorang aktivis bantuan kemanusiaan yang aktif didalam dan luar negara bersama wadah Muslim Care Malaysia dan YAM.

Dr Mohd Mazri Yahya, anak Johor yang merupakan doktor pakar perubatan antara calon berlatarbelakang profesional. Beliau memimpin Badan Perhubungan PAS Johor beberapa sesi. Siti Zailah Yusuf, Ahli Parlimen Rantau Panjang adalah mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Seorang tokoh muslimah yang semenjak muda bergulat di medan jamaah. Alumni UiTM dan juga mendapat pendidikan pondok, wanita besi ini terkenal kerana reputasinya membantu rakyat di Kelantan.

Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Sijangkang Selangor dan wakil tunggal PAS dalam Dun Selangor. Beliau adalah aktivis misi bantuan kemanusiaan di banyak negara serta mantan Exco Agama Kerajaan Selangor pada sesi lepas. Ahli Parlimen Pendang Kedah, Haji Awang Solahudin Hashim adalah antara muka baru dalam pemilihan kali ini. Anggota legislatif yang aktif mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen dengan latarbelakang pendidikan Perakaunan yang piawai. Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa antara calon baru sesi ini. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Jordan dan juga MA daripada Universiti Sains Malaysia. Mantan Ahli Parlimen Bachok ini juga bekas pimpinan pemuda Kelantan.

Dr Fadzli Hassan bekas pensyarah UIAM lahir daripada rahim tarbiah PAS semenjak remaja dan mendapat doktorat daripada Universiti Birmingham United Kingdom dalam bidang undang-undang Perlembagaan. Dr Khairuddin at-Takiri pula bekas pensyarah UKM yang mendapat ijazah MA daripada Universiti Jordan serta mempunyai doktorat daripada UKM.

Dr Zuhdi Marzuki mantan Timbalan Presiden GAMIS, tokoh muda radikal di zaman kampus yang menjadi dalang bantahan konsert Sheila Majid. Beliau pelajar pintar yang diasuh semenjak remaja sebagai pimpinan PAS. Mendapat doktorat daripada Universiti of Wales, UK. Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah pula merupakan anak kepada tokoh ilmuwan Kedah. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-Undang daripada UKM, dan MA dalam Undang-Undang Perbandingan di UIAM. Manakala, mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah ini berdoktorat Pengajian Islam di UKM. Haji Razman Zakaria, bekas Pengarah Kastam mempunyai MA dalam bidang pentadbiran awam daripada UM.

Ustaz Salehen Mukhyi, mantan Exco kerajaan Selangor adalah tokoh gerakan mahasiswa di zaman mudanya. Bergraduan daripada UKM, seterusnya ke kampus Jordan dan UM. Ustaz Dato' Nasuruddin Daud mencicip ilmu di Universiti al-Azhar merupakan Exco Kerajaan Kelantan yang dijoloki sebagai "Singa PAS". Tokoh agama ini juga adalah pemimpin pemuda di zamannya.

Dr Rosni Adam pengamal perubatan muslimah bergraduan daripada Universiti Malaya. Anak Melaka ini mantan aktivitis pelajar di zaman kampus seterusnya terjun aktif bersama Dewan Muslimat. Beliau juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia. Dr Halimah Ali dilahirkan di Marudi, Sarawak, mantan Ketua Urusan Muslimat Persatuan Mahasiswa Islam Tasmania, mendapat pendidikan di Elizabeth Matriculation College, Hobart Tasmania, seterusnya memperolehi Ijazah Perubatan daripada Universiti Tasmania. Mantan Exco Selangor dan mantan Adun Selat Klang ini juga mempunyai Diploma Tasawwur Islam ILHAM.

Ustaz Mokhtar Senik mendapat pendidikan tinggi di Universiti Pakistan dan juga di Makkah. Beliau juga merupakan pengasas kepada Kompleks Pendidikan An-Nur di Kuantan, Pahang. Muhtar Suhaili As-Sarawaki merupakan anak Sarawak yang bertugas sebagai jurutera kanan di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa dan berpengalaman bertugas di beberapa tempat dalam dan luar negara. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatroniks dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Sarjana Master Teknologi Petroleum dari Curtin University Australia.

Ustaz Misbah Munir Masduki, mantan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan juga aktivis Yayasan Amal Malaysia merupakan lulusan Universiti Malaya untuk Ijazah Pertama. Mendapat MA (Sains Politik) daripada UKM. Calon PhD ini juga ialah Mudir Pusat Dakwah Serantau yang aktif mencetak kader-kader dakwah. Dr Azman Ibrahim, anak muda kelahiran Besut, Terengganu pula mendapat pendidikan di Matrikulasi Universiti Malaya. Mendapat Ijazah Pergigian di Universiti Baghdad, Iraq, seterusnya berkhidmat dengan hospital kerajaan sebelum mempunyai kliniknya sendiri di Kubang Kerian, Kelantan.

Dr Najihatussalehah Ahmad, merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat yang aktif. Beliau bergraduat daripada Universiti Malaya dalam bidang Perubatan dan aktif dengan gerakan mahasiswa Islam semenjak di alam kampus. Kamaruzaman Mohamad, mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ialah penggerak utama bantahan awam di negara ini. Beliau memiliki ijazah Sains Pendidikan daripada kampus UPM serta Ijazah Sarjana daripada Universiti yang sama dalam bidang Pengurusan Teknologi Maklumat. Usahawan berjaya ini juga adalah calon PhD di sebuah universiti tempatan.

Ustaz Abdullah Hussin, bekas ahli legislatif daripada Johor ini merupakan tokoh pendidikan Islam di negeri tembuni Umno ditanam. Mendapat pendidikan di Universiti al Azhar Mesir, pulang ke tanah air menjadi pengasas pusat pendidikan Islam. Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bachok yang juga mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia ialah satu-satunya anak almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terlibat secara aktif dalam PAS diperingkat nasional. "Anak butir" tok guru ini mendapat pendidikan tinggi di Deoband India, seterusnya ke Universiti al-Azhar Mesir.

Naib-Naib Presiden pula mempunyai latarbelakang pendidikan yang piawai serta penglibatan sosiopolitik yang mapan semenjak remaja. Ustaz Idris Ahmad bekas pensyarah UiTM, calon doktorat universiti tempatan dan johan pidato kebangsaan semasa belajar di KIK. Beliau memimpin pelajar di UKM di zaman kampus. Ustaz Idris calon paling popular dan pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sesi lepas. Suami kepada seorang isteri ini memimpin Lujnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS, seorang jurubina amal tarbawi yang komited semenjak remaja.

Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, bekas Ketua Pelajar Maahad Muhammadi Kelantan. Anak tokoh PAS, Ustaz Nik Abdullah Arshad, beliau mempunyai M(Phil) daripada Universiti Birmingham UK. Nik Amar adalah mantan pensyarah UIAM. Dato’ Iskandar Samad adalah alumni MCKK serta belajar dalam bidang senibina daripada Universiti Humberside UK. Exco kerajaan Selangor ini terasuh cermat dengan sistem tajnid PAS.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu sebagai calon Naib Presiden. Mantan Setpol Presiden PAS ini ialah pakar aeroangkasa Malaysia, mendapat pendidikan tinggi di UKM dan berdoktorat daripada Universiti Leeds United Kingdom.

Memilih kepimpinan yang kompeten, berdaya saing, mampu mendepani cabaran dan krisis dengan pemikiran analitikal adalah tanggungjawab perwakilan. Setiap calon mempunyai pakej kepimpinan dan teruji di medan dakwah dan siasah, sebahagian mereka semenjak zaman muda terlibat aktif di pelbagai sektor kepimpinan jamaah. Jamaah Islam ini dengan sejuta ahli dan dua juta penyokong memerlukan pasukan qiadah yang hebat dan qawwiy, dengan nakhoda jamaah yang senior dalam gerakan Islam antarabangsa, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Selamat memilih dan selamat bermuktamar! – HARAKAHDAILY 19/6/2019

Penulis ialah AJK PAS Pusat, aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan, PhD UKM.

More Articles ...