18
Sun, Aug
20 Artikel Baru

Admin facebook Dr Maza tidak berakhlak

Nasional
Typography
SAYA membaca satu hantaran di dalam satu laman Facebook DrMaza.com yang memuatkan berita bahawa suspek di dalam kes bakar kereta Mufti Perlis sedang ditahan reman oleh pihak polis sekarang ini. Menurut tulisan yang diletakkan nota 'admin' itu kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai jawatan dan kedudukan di dalam Jabatan Amal dan organisasi politik yang sudah tentu merujuk kepada PAS. Disertakan juga gambar yang menunjukkan suspek yang ditahan bersama-sama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Saya berpandangan bahawa tulisan di dalam laman yang dimiliki oleh mufti Perlis ini sangat-sangat tidak bertanggungjawab dan hanya ditulis oleh seorang yang tidak berakhlak. Bagaimana penulis ini boleh mengaitkan suspek yang ditahan dengan organisasi politik PAS sedangkan siasatan masih dijalankan oleh pihak polis?
 
Saya sebagaimana pemimpin PAS yang lain sangat bersimpati dengan insiden yang menimpa mufti Perlis. Bahkan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis telah mengeluarkan kenyataan mengutuk keganasan yang dilakukan ini dalam satu kenyataan pada 22 Mac 2019 yang lepas. Bagaimana mungkin perbuatan ini dikaitkan dengan sikap rasmi PAS yang tidak pernah membenarkan mana-mana ahlinya melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
 
PAS telah lama berkecimpung di dalam politik pilihan raya. Menang kalah yang silih berganti tidak pernah menjadikan PAS sebagai sebuah parti pengganas. Jika pandangan mufti Perlis yang berbeza dengan PAS dibandingkan dengan pelbagai tekanan yang dihadapi oleh PAS selama ini di peringkat nasional, boleh dikatakan isu Mufti Perlis ini sangat kecil. 
 
Mengaitkan PAS dengan perbuatan seperti ini adalah merupakan suatu tindakan yang sungguh tidak bertanggungjawab dan sayangnya ia ditulis dengan bersandarkan kepada sebuah laman sosial yang dimiliki oleh Mufti Perlis.
 
Saya berbaik sangka bahawa Mufti Perlis tidak merestui tulisan ini, namun membiarkan penulis seperti ini mempunyai akses ke atas laman tersebut boleh membayangkan bahawa ia mewakili Mufti Perlis secara tidak langsung.
 
Pada saya admin ini sungguh tidak berakhlak. Tunggulah siasatan polis selesai terlebih dahulu. Jikapun benar ahli parti melakukan perbuatan tersebut, adakah tindakan seorang dua ahli itu membayangkan pendirian rasmi parti? Jika demikian bolehkah dikatakan tidak berakhlaknya admin laman ini membayangkan tidak berakhlaknya tuan punya laman tersebut? 
 
AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas
22 Mei 2019 - HARAKAHDAILY 22/5/2019