22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

Tanam Semula: Penafian beralasankan keadilan?

Nasional
Typography
KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak melaksanakan skim bantuan penanaman semula sawit pekebun kecil akan melumpuhkan aktiviti penanaman semula dalam kalangan pekebun kecil dan tentunya ia akan memberikan kelebihan kepada syarikat perladangan besar dengan kemampuan modal yang kukuh.
 
Rata-rata pekebun kecil ini adalah Bumiputera Melayu, Orang Asli dan Pribumi di Sabah dan Sarawak, sebilangan kecilnya kaum Cina dan India yang berpendapatan rendah.
 
Pembatalan bantuan tanam semula sudah pasti akan memberi kesan terhadap keluasan tanaman sawit oleh pekebun kecil dan seterusnya menjejaskan sumber pendapatan serta sosioekonomi mereka.
 
Apa saja dasar yang baik untuk rakyat di bawah kerajaan sebelum ini perlu diteruskan. Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK), menyediakan peruntukan khas bantuan kewangan kepada pekebun kecil sawit iaitu RM7,000 bagi setiap hektar untuk tujuan menanam semula pokok yang sudah tua dan tidak produktif.
 
Majoriti pekebun kecil tidak akan mampu mengeluarkan modal sendiri bagi membiayai kos penanaman semula. Tidak masuk akal alasan Menteri kononnya mahu mewujudkan keadilan kepada pekebun lain terutamanya dari Felda dan Felcra. 
 
Menteri tak faham apa itu makna keadilan. Keadilan bermakna memberi kepada mereka yang berhak. Kedua-dua agensi besar itu sudah ada kaedahnya sendiri bagi menampung kos penanaman semula namun pekebun-pekebun kecil telah sejak sekian lama bergantung kepada bantuan kerajaan. Apatah lagi dalam situasi pendapatan dari hasil sawit sekarang tak mencukupi untuk menyara keluarga.
 
DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu
7 Ogos 2019 - HARAKAHDAILY 7/8/2019