18
Wed, Sep
50 Artikel Baru

MTEM gesa henti aniaya PETRA

Antara produk yang dihasilkan oleh PETRA.

Nasional
Typography

MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengeluarkan kenyataan media ini untuk membela kepentingan Persatuan Pengusaha Industri Perabot Bumiputera Malaysia (PETRA), sebuah organisasi yang menjadi ahli kepada MTEM.

Tindakan ini menjadi mustahak setelah kami menerima aduan dari pihak PETRA mengenai tindakan Kementerian Kewangan yang tidak lama lagi akan memudaratkan kebajikan beribu-ribu keluarga yang bergantung kepada ahli-ahli PETRA.

Kezaliman dan penganiayaan telah berlaku terhadap 33 syarikat Bumiputera di bawah senarai syarikat Kontrak Panel Berpusat (KPB) oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui kemas kini senarai syarikat panel KPB bagi bekalan dan penghantaran perabot pelbagai jenis kepada semua agensi kerajaan di Semenanjung Malaysia.

Sebanyak 33 syarikat atau 38 peratus dari 87 syarikat yang tersenarai di bawah pembekalan perabot bagi agensi kerajaan telah digugurkan dari senarai tersebut berkuatkuasa 15 Julai 2019.

Pengguguran ini berpunca dari syarikat KPB tersebut tidak berjaya memperolehi persijilan Product Certification Services (PCS) dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Pengguguran oleh pihak Perolehan MOF ini tidak langsung mengambil kira alasan, status pengujian serta pihak yang bersalah dalam konteks ini, tetapi mengambil jalan mudah dengan terus menggugurkan 33 syarikat ini hanya kerana tidak memperolehi sijil PCS sebelum tarikh 28 Jun 2019.

Jelas pengguguran ini amatlah bersifat zalim kerana tempoh pengujian serta jangka masa perolehan sijil PCS sama sekali di luar kawalan syarikat, walhal syarikat-syarikat ini telah mematuhi kesemua proses dan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh FRIM. Adakah kelemahan FRIM boleh dijadikan alasan untuk syarikat digugurkan?

Selain itu, tatacara pengguguran MOF juga perlu di ambil perhatian. Pihak MOF telah menyampaikan maklumat pengguguran hanya sekadar melalui pos biasa. Tiada makluman terus secara e-mel/telefon/pos berdaftar berkaitan hal ini dan rata-rata syarikat hanya menerima surat ini beberapa minggu selepas tarikh pengguguran.

Makluman yang begitu penting hanya disampaikan sambil lewa, tanpa memikirkan periuk nasi para pengusaha, adakah ini cara kerajaan baru bertindak?

Kesemua syarikat yang digugurkan ini mempunyai kilang pembuatan perabot yang telah beroperasi melebihi 20 tahun, dengan pengalaman luas serta pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperolehi, namun hanya kerana gagal memperolehi sijil PCS sebelum tarikh ditetapkan, hak dan peluang mereka telah dinafikan.

Mereka kehilangan secara mendadak punca pendapatan utama dan seterusnya boleh mengakibatkan penutupan operasi. Bukankah dasar KPB bertujuan mengutamakan syarikat Bumiputera khususnya yang bertaraf kecil dan sederhana? Adakah hanya sijil PCS dijadikan penentu kualiti, daya saing serta meritokrasi sesebuah syarikat walaupun mempunyai sijil dari badan persijilan lain?

PETRA telah mengadakan sesi pertemuan bersama YB Timbalan Menteri Kewangan berkaitan hal ini. Beliau ambil maklum dan amat prihatin terhadap namun yang wujud ini. Beliau telah mengeluarkan suatu arahan kepada pihak MOF, namun sehingga hari ini keadaan adalah berstatus quo. Adakah menteri atau timbalan menteri kini tidak mempunyai kuasa membantu rakyat yang teraniaya, adakah penjawat awam kini mempunyai kuasa penuh penentu?

Malaysia merupakan pengeluar perabot ke-10 terbesar di dunia tetapi hanya kurang daripada 1 peratus telah disumbangkan oleh para pengusaha Bumiputera. Adakah kerajaan kini tidak lagi berminat dalam membantu sektor perabot Bumiputera dan ingin melihat pengurangan syarikat-syarikat Bumiputera berwibawa dari industri ini?

Harapan kami, kenyataan ini tidak diambil mudah dan dibiarkan seperti sebelum ini. Harapan kami kerajaan akan beri maklum balas segera kerana tender bakal dikeluarkan hujung minggu ini. Kami yakin kerajaan tidak mahu dilihat menambah kegelisahan usahawan Bumiputera pada ketika ini. – HARAKAHDAILY 11/9/2019

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif MTEM.
MTEM adalah sebuah pertubuhan naungan yang mewakili lebih daripada 50 pertubuhan ekonomi Melayu bukan kerajaan di peringkat kebangsaan. Platform kebangsaan MTEM adalah yang pertama diwujudkan di Malaysia dan mewakili lebih daripada 500,000 perniagaan Melayu.