22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

PAS-Umno: PAS Pahang seiring Pusat

Nasional
Typography

PAHANG beruntung menjadi antara negeri yang masih gagal dikuasai oleh PH di Semenanjung Malaysia seiring dengan Terengganu, Kelantan dan Perlis. Seperti di peringkat Pusat, PAS Pahang mengorak langkah menjalin hubungan kerjasama politik dengan Umno mewujudkan gelombang rakyat bagi menghadapi PRU ke-15.

Ikuti wawancara bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Haji Hasenan Harun yang direncanakan oleh wartawan Harakahdaily, ARIS HAZLAN ISMAIL dan MASHITAH MAZLAN.

HARAKAHDAILY: Setelah berlangsungnya muktamar Tahunan PAS ke 65 di Kuantan Jun lalu, PAS telah membentuk jawatankuasa kerja parti di peringkat negeri-negeri. Tidak ketinggalan negeri Pahang. Walaupun pesuruhjayanya dikekalkan, namun kelihatan berlaku perubahan yang agak besar dalam organisasi Badan Perhubungan PAS Pahang. Soalan kami apakah hala tuju PAS Pahang dan ke mana PAS Pahang ini hendak di bawa oleh jawatankuasa baru ini?


HAJI HASENAN HARUN: Sebenarnya sebaik sahaja selesai PRU ke 14 yang lalu, PAS Pahang telahpun mengadakan pemukiman untuk melakar hala tuju pergerakan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15. Ketika itu kabinet baru PAS Pahang belum lagi dibentuk.

Alhamdulillah pemukiman itu berhasil merangka Pelan Tindakan Strategi (PTS) PAS Pahang. Dengan adanya PTS ini ia memudahkan kepimpinan baru untuk meneruskan agenda PAS di negeri ini.

Walaupun berlaku sedikit perubahan kepimpinan negeri, tapi dengan dibantu beberapa orang pimpinan baru dan lama, mereka tetap meneruskan agenda yang telah digariskan sebelum dalam perancangan PTS itu.

Umum mengetahui, dalam PRU ke-14 dan yang sebelum dari itu, setiap kali pilihan raya diadakan, maka lawan PAS di Pahang ini ialah BN atau lebih khusus, Umno. Namun untuk PRU berikutnya kelihatan ia berpusing 360 darjah. Dari musuh menjadi teman. Apakah sebenarnya faktor paling utama kedua-dua parti ini mengendurkan persengketaan dan seterusnya menjalin hubungan untuk menentang pihak lain?

Pertama, dari segi prinsip berpolitik, ramai kawan adalah lebih baik. Kedua, bagi mereka yang tidak menyenangi persefahaman ini, saya ingin bertanya, salahkah PAS berkawan dengan Umno?

Kalau salah, kenapa? Kerana di sana ramai pemimpin Umno yang dikatakan terlibat dengan rasuah dan penyelewengan? Isu rasuah dan penyelewengan ini atas sifat individu dan tentu sekali pihak SPRM pihak polis boleh mengambil tindakan kepada mereka yang bersalah. Yang bersalah patut diambil tindakan. Yang tak bersalah kenapa dilabel sama dan dihalang kita bekerjasama dengan mereka.

Persefahaman ini sebenarnya bertitik tolak dari keputusan PRU ke 14 apabila Umno sendiri tidak menjangkakan mereka akan tumbang. Manakala PAS pula dilihat gagal mencapai objektif menjadi ‘king maker’ di peringkat Persekutuan.

Kedua-duanya kalah teruk walaupun BN mengekalkan Pahang dan Perlis dan PAS mengekalkan Kelantan dan memerintah di Terengganu. Di peringkat Persekutuan, PAS hanya memperoleh 18 kerusi berbanding 160 yang dipertandingkan.

Umno pula menyaksikan kemerosotan sokongan yang sangat teruk. Kita gagal kerana kita bertembung tiga penjuru hampir di semua kawasan.

Antara kejutan kepada rakyat khususnya yang beragama Islam, kerajaan Persekutuan yang dibentuk selepas PRU ke-14 tidak lagi didominasi oleh umat Islam. Menyebabkan banyak perkara yang ada hubungkait dengan Islam dan Melayu diabaikan termasuk perkara-perkara sensitif dan isu yang membabitkan Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat melihat PH tidak boleh dibiarkan memerintah lebih lama. Kuasa mereka mesti ditamatkan dalam PRU yang akan datang. Untuk tujuan tersebut, semua pihak termasuk PAS, Umno, parti-parti politik orang Melayu Islam dan NGO-NGO hendaklah bergabung tenaga bagi mengembalikan kuasa yang hilang dari penduduk majoriti ini.

Dalam konteks Negeri Pahang, walaupun Umno BN mengekalkan kuasa, namun mereka turut melihat sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada PAS. Dari dua kerusi, meningkat kepada 8 kerusi Dewan Undangan Negeri PAS. Maka Umno melihat PAS perlu dijadikan kawan untuk menghalang kemaraan PH dalam PRU yang akan datang.

Di peringkat Nasional kita lihat sudah ada usaha yang agak agresif antara kedua-dua belah pihak dalam menjalin kerjasama politik ini. Kemuncaknya apabila diadakan Himpunan Penyatuan Ummah pada 13 dan 14 September di PWTC. Bagaimana pula dengan di negeri Pahang ini, sejauh manakah hubungan PAS dan Umno telah dilangsungkan?

Dalam konteks Negeri Pahang jalinan kerjasama yang nyata telah bermula secara agak rasmi dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands. Di situ bermulanya kerjasama antara PAS dan Umno negeri Pahang ini.

Dalam konteks hubungan di Pahang, saya rasa batang tubuh Dato' Sri Wan Rosdy, Menteri Besar Pahang tu sendiri banyak memainkan peranan menjadikan hubungan antara PAS dan Umno ini bertambah baik dari semasa ke semasa.

Di samping itu Pesuruhjaya PAS, Ustaz Rosli Jabar juga dilihat berganding bahu dengan Menteri Besar Dato' Wan Rosdi untuk meneruskan agenda permuafakatan antara kedua-dua parti besar ini.

Hampir di setiap kawasan PAS dan Umno sudahpun menjalin kerjasama walaupun tidak secara rasmi. Majlis keramaian, sambutan hari raya, mesyuarat agung dan berbagai-bagai turut dilihat kehadiran bersama pimpinan PAS dan Umno. Ini petanda yang sangat baik untuk PAS dan Umno negeri Pahang untuk menghadapi PRU ke-15 Insya Allah.


Dalam isu jalinan kerjasama politik antara PAS dan Umno ini, ada pihak luar yang melabel ia sebagai satu bentuk rasis. Terutama sekali apabila ada satu keinginan besar dari rakyat di bawah untuk berkempen dengan apa yang disebut sebagai ‘Buy Muslim First’ atau kempen mengutamakan barangan Muslim. Mereka melihat ia sebagai satu kempen rasis anjuran PAS dan Umno.

Tentang persoalan ini sebenarnya kita kena lihat apa yang berlaku sebelum dan selepas daripada PRU Ke-14. Selepas PRU, masyarakat Melayu Islam melihat bahawa ada  sesuatu yang tidak selesa bagi mereka apabila banyak tindakan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan yang mengguris hati orang-orang Melayu yang beragama Islam terutama menerusi statement-statement yang dikeluarkan dan tindakan-tindakan yang kadang-kadang agak meminggirkan Melayu dan Islam tu sendiri.

Kalau nak dikatakan Melayu itu rasis, ianya tidak benar. Lihatlah secara jujur. Orang Melayu sangat bertimbang rasa dan terlalu banyak bertolak ansur dengan bangsa-bangsa lain.

Sejarah membuktikan, Melayu tidak pernah menunjukkan sikap yang agresif terhadap bangsa lain. Kedai-kedai bangsa Cina atau India di kawasan penempatan orang Melayu tidak pernah diganggu. Mereka tidak dipulau dan dihalau. Orang Melayu tidak sabotaj barang jualan mereka malah kadang-kadang kedai mereka lebih jauh maju daripada kedai-kedai Melayu yang duduk sebaris ataupun berhampiran. Ini petanda bahawa Melayu tidak rasis sebenarnya.

Cuma dalam konteks kempen Buy Muslim First (BMF) ini, ia suatu pendekatan yang sangat baik dan demi survival orang Melayu itu sendiri dalam menjayakan atau memajukan urusan perniagaan mereka.

Dan apabila PAS menyatakan sokongan kepada keutamaan membeli barangan keluaran Melayu Islam ini, tentu ia suatu yang baik untuk meningkatkan ekonomi Melayu yang kita sedia maklum yang mereka ini tercicir atau tertinggal dalam arus ekonomi negara.

Kami di Pahang setiap tahun menyaksikan perarakan berjalan kaki perarakan berjalan kaki penganut Hindu dari Batu Caves ke Sungai Jerik. Ia melalui hampir keseluruhan penempatan-penempatan Melayu tetapi tidak pernah berlaku lagi kita tengok ada sikap yang negatif ditunjukkan oleh orang Melayu malah mereka memberikan laluan dengan baik sama ada dalam bentuk tidak mengganggu gugat perjalanan mereka walaupun mereka adalah penduduk majoriti.

Kenapa demikian? Itulah sikap toleransi orang Melayu kepada bangsa-bangsa lain. Samalah dengan perayaan-perayaan lain seperti Thaipusam, Tahun Baru Cina, Depavali dan sebagainya. Tidak pernah diganggu oleh orang Melayu. Ini petanda Melayu sangat berkenaan suara sangat bertimbang rasa, sangat bersopan santun terhadap bangsa bangsa lain.

Pimpinan DAP yang melabel orang lain sebagai rasis sepatutnya perlu bertanya kepada diri mereka sendiri. Merekalah pihak yang suka mengeluarkan kenyataan bersifat rasis.

Justeru dalam kempen mengutamakan barang keluaran Melayu Islam ini, sepatutnya bangsa-bangsa lain tak perlu rasa tercabar atau tidak merasakan bahawa Melayu mula bersikap rasis kerana mungkin inilah masanya Melayu melihat perlu berdikari untuk memajukan bangsa dan agama mereka.

Dalam siri-siri pilihan raya lalu, PAS menjadikan kelemahan kerajaan Barisan Nasional sebagai antara modal kempen untuk meraih sokongan pengundi. Namun dalam PRU ke-15 ini, bagaimana pula pendekatan PAS untuk meraih sokongan rakyat?

PRU ke-14 dan sebelumnya sememangnya PAS dan Gagasan Sejahtera bertembung dengan Umno-BN dan PH. Yang memerintah kerajaan Persekutuan adalah Barisan Nasional. Tidak dapat tidak dari segi politik pilihan raya dan demokrasi, PAS memanfaatkan beberapa kelemahan dalam kerajaan Barisan Nasional bagi menarik perhatian rakyat.

Dengan harapan PAS dapat memperbaiki kerajaan seandainya ia diberi mandat memerintah negara dan negeri. Namun untuk berhadapan PRU ke 15, kita harus melihat suatu yang lebih besar dari isu mendedahkan kelemahan Umno.

Demokrasi ini perlu dimanfaatkan untuk mengembalikan maruah umat Islam yang banyak tercalar sejak Pakatan Harapan berkuasa. Gelombang rakyat perlu digerakkan bagi menggarap sokogan mereka kepada kedua-dua parti terbesar umat Islam ini.

Gelombang ini juga perlu didukung bersama oleh rakan-rakan politik kita seperti Berjasa, Ikatan, MCA, MIC dan lain-lain.

Tentunya ia tidak mudah. Kita semua berada di pihak pembangkang. Berlawan pula dengan pihak kerajaan yang menguasai segala fasilitis kerajaan.

Tetapi memandangkan kelemahan yang dipaparkan oleh Kerajaan PH selama setahun lebih terlalu banyak kepincangannya, maka tidak dapat tidak kita mesti menggerakkan gelombang ini.

Saya yakin gabungan ini akan meraih sokongan rakyat walaupun di sana pelbagai fitnah yang dilontarkan kepada kerjasama PAS-Umno ini. Kita melihat bahawa ada di sana benda-benda yang patut kita bekerjasama untuk menjadikan masa depan Malaysia lebih baik.

Kita yakin dominasi orang Melayu patut diletakkan di tempat sepatutnya dalam urus tadbir negara dan kita yakin bahawa bangsa yang majoriti harus diberi tempat yang lebih utama dengan tidak meminggirkan bangsa-bangsa yang lain untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Maka tidak dapat tidak, orang Melayu patut menguasai kerajaan di peringkat Persekutuan dengan tidak meminggirkan bangsa yang lain.

Untuk akhirnya, apakah harapan Tuan Haji kepada PAS selepas PRU ke 15 nanti?

Umum mengetahui bahawa PH telah memberi contoh yang tidak baik kepada rakyat. Adakalanya tindakan-tindakan menteri hanya menjadi bahan lawak yang ditertawakan oleh rakyat di bawah.

Anak-anak kita di menara gading melihat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam PH tu sendiri.

Maka saya berharap, mudah-mudahan ia boleh membina momentum gelombang rakyat untuk bersama dengan gabungan PAS, Umno dan parti-parti sahabat danlam BN dan Gagasan Sejahtera. - HARAKAHDAILY 15/9/2019