22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

DAP 'makhluk perosak', rungkai asas Perlembagaan

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Sejarah panjang negara ini yang dibina dari perjuangan dan pengorbanan kaum Peribumi Melayu dan Bumiputera adalah faktor penting sehingga merdekanya daripada penjajah British.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, kerana menghormati kedudukan tersebut, maka diletakkan asas Perlembagaan Negara ini dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, (serta diletak) kedudukan istimewa orang Melayu Bumiputera sebagaimana ada dalam Perlembagaan.

"Keadaan ini sangat bersesuaian dengan tolak ansur yang telah diberikan oleh orang Melayu Bumiputera kepada kaum Tionghua dan India yang kemudian kita terima mereka menjadi rakan kita sebagai warganegara," ujarnya.

Tetapi kesali beliau, hari ini timbulnya dalam negara perasaan tidak selamat, ditekan dan dihina, serta tidak tenteram dan tidak stabil, selain rasa ditipu, ditindas serta ekonomi yang melampau kerana asas negara ini dikhianati.

Jelas beliau, Kerajaan PH telah menafikan kedudukan Islam, keistimewaan Bumiputera, Bahasa Melayu dan tonggak penting termaktub dalam Perlembagaan, menyebabkan rakyat bangkit mempertahankan hak itu.

Beliau mengupas demikian dalam Wacana Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di konti media sempena HPU914 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini kelmarin.

Tegasnya, himpunan tersebut telah memberi isyarat kepada kerajaan bahawa cukuplah orang Melayu-Islam dikhianati, sedangkan negara ini dibina atas pengorbanan darah dan air mata pejuang-pejuang dahulu hampir 450 tahun menghadapi penjajah British.

"Perlembagaan negara ini asasnya dibentuk kerana tolak ansur yang diberi orang Melayu Bumiputera sebelum ini. Kalau orang Melayu tiada tolak ansur, kaum Tionghua dan India tidak akan mendapat kerakyatan.

"(Tetapi) Kerajaan hari ini melaksanakan dasar-dasar yang mengkhianati pengorbanan dan tolak ansur tersebut dengan memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia dan sebagainya," bidas beliau.

Menurut Kamaruzaman, dalang utama kepada semua keadaan tersebut adalah DAP yang sesuai diistilahkan sebagai makhluk perosak kerana cuba merungkai Kontrak Sosial dan asas-asas Perlembagaan.

Oleh itu katanya, himpunan tersebut telah memberi mesej rakyat untuk mempertahankan Perlembagaan dari diusik makhluk perosak bangsa DAP dan mereka mesti dibuang sejauh-jauhnya kerana merosakkan keharmonian negara. - HARAKAHDAILY 16/9/2019