22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

Produk Muslim: Sedia beri taklimat kepada Menteri

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Kempen Beli Produk Muslim akan diperluaskan sehingga ke akar umbi di seluruh negeri meliputi daerah dan sebagainya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Menurut pengarah kempen, Mohd Zai Mustafa, pihaknya akan turun ke seluruh negara dan membuat kerjasama dengan pihak masjid serta agensi kerajaan untuk mendapatkan sokongan.

Katanya, sekarang ini kempen tersebut telah mendapat sokongan baik daripada semua pejabat mufti negeri, malah kempen ini juga turut mendapat sokongan daripada Sultan Johor yang sudi menyediakan peluang kepada pengusaha Muslim untuk membuka pasar raya di negeri itu.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa pelancaran kempen secara besar-besaan akan diadakan pada 1 Oktober nanti di Kuala Lumpur bagi mengumumkan semua pengguna boleh daftar dalam platform abata serta boleh membeli menggunakan platform tersebut secara atas talian.

Sementara itu, beliau secara terbuka menyatakan persediaan untuk memberi taklimat kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub berkenaan kebaikan dan input yang besar kepada sektor pertanian melalui kempen itu.

“Saya bersedia memberi taklimat kepada FAMA untuk kita melaksanakan pemasaran FAMA yang kita tahu sekarang ini agak lemah.

“Kita sudi bantu dan bagi kepada FAMA platform (ABATA) ini secara percuma,” katanya pada sidang media Kempen Beli Produk Muslim di Dewan Seminar Kohilal, hari ini, di sini. – HARAKAHDAILY 16/9/2019