22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

Apa lagi mahu dijual

Nasional
Typography

PADA bulan Mac 2019, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) telah menyuarakan kebimbangan mengenai pelaburan dan dasar-dasar mencairkan asset yang dilaksanakan oleh Khazanah Nasional Berhad, di bawah kepimpinan baru yang dilantik Kerajaan PH. Umum mengetahui bahawa Khazanah ialah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia.
 
Khazanah diamanahkan untuk menyimpan dan menguruskan aset komersial Kerajaan dan melaksanakan pelaburan strategik untuk negara. Khazanah memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memacu pelbagai industri strategik dan inisiatif negara, memupuk pembangunan industri tersebut dalam usaha memenuhi kepentingan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Khazanah juga memacu pembentukan nilai pemegang saham, meningkatkan keuntungan kecekapan dan meningkatkan tadbir urus korporat dalam syarikat-syarikat yang dikawal oleh Kerajaan, yang dikenali sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC.
 
Syarikat-syarikat utama yang tersenarai dalam portfolio Khazanah terdiri daripada beberapa syarikat terbesar dan terpenting di Malaysia, termasuk Axiata Group Berhad, CIMB Group Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, IHH Healthcare Berhad dan UEM Sunrise Berhad.  
 
Pada bulan November 2018, Khazanah dilaporkan bersetuju untuk menjual 16 peratus pegangan saham IHH Healthcare Berhad kepada Mitsui & Co Ltd untuk RM8.42 billion (US$2 billion) secara tunai.

Sebelum ini, Khazanah merupakan pemegang saham terbesar IHH Healthcare Berhad melalui Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd dengan nilai pegangan saham sebanyak 40.8 peratus. Pemegang saham kedua terbesar adalah Mitsui & Co Ltd dengan nilai pegangan saham sebanyak 18.3 peratus.

Keadaan ini berubah selepas penjualan 16 peratus pegangan saham di mana Mitsui & Co Ltd bakal menjadi pemegang saham terbesar sebanyak 34.3 peratus manakala Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd menyusut kepada 24.8 peratus.
 
Sekarang pada bulan September 2019, IHH yang kini pemegang saham terbesarnya adalah Mitsui & Co Ltd dilaporkan telah menandatangani perjanjian untuk membeli keseluruhan saham Pulau Memutik Ventures untuk mengambil alih kepentingan Prince Court Medical Center Sdn Bhd (PCMC) pada harga RM1.02 billion.

Pengambilalihan ini menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan menerusi Khazanah terus mencairkan aset-aset penting pelaburan negara. Namun, persoalannya, mengapakah hutang negara makin bertambah?
 
Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk mencairkan pegangan saham syarikat penerbangan nasional, MAS kepada syarikat asing. Berita turut menyiarkan bahawa syarikat penerbangan Jepun, Japan Airlines disebut-sebut mengambil alih pegangan saham MAS. Persoalaanya kini, adakah Mitsui dan Japan Airlines merupakan percaturan Bon Samurai?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menuntut penjelasan terperinci daripada Menteri Ekonomi, YB Azmin Ali dan Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng!
 
Selamatkan Malaysiaku!

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
18 September 2019 – HARAKAHDAILY 18/9/2019