22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

Piagam Muafakat Nasional: Utama agenda perpaduan

Nasional
Typography

HIMPUNAN Penyatuan Ummah (HPU914) baru sahaja berlabuh yang menjadi tarikh penting terpahat dalam sejarah negara sehingga termeterai Piagam Muafakat Nasional antara dua parti terbesar Melayu iaitu PAS dan Umno.

Pelbagai reaksi yang diterima oleh rakyat Malaysia amnya. Ramai yang terharu sehingga mengalirkan air mata kegembiraan, malah ada segelintir yang memberikan komen sebaliknya.

Walau apa pun reaksi yang diterima, PAS memberi jaminan bahawa perpaduan nasional dalam masyarakat majmuk tetap menjadi keutamaan kami seperti yang termaktub dengan jelas dalam piagam ini:

"Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara"

Begitu juga antara petikan Ucaptama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang seperti berikut:

"Islam bermula dengan membina integriti individu, keluarga, bangsa dan negara bermasyarakat majmuk. Bermula dengan mengajak bangsa masing-masing bersama Islam tanpa paksaan, seterusnya menyatukan bangsa itu dan menghidupkan konsep masyarakat madani (civil society) dengan menegakkan negara berbilang kaum dan agama (plural society)."

Acuan inilah yang dinyatakan oleh Presiden PAS dapat menyatukan dan melembutkan hati masyarakat Arab yang paling degil dan suka bertelagah sesama sendiri pada zaman jahiliah.

Di Malaysia, PAS telah membuktikan komitmen perpaduan nasional apabila mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan menekankan keadilan sosial dan hak kepada semua kaum. Penganut agama dan kaum lain bebas mengamalkan amalan agama mereka selagi tidak melanggari undang-undang dan peraturan sedia ada.

Di peringkat PAS sendiri, masyarakat bukan Islam diberi peluang melalui Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan melantik mereka di posisi dalam kerajaan dan masyarakat seperti diamalkan di Kelantan dan Terengganu. Contohnya Pegawai Khas Menteri Besar mewakili Bukan Islam dan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Dengan ini ditegaskan, PAS tidak akan sekali-kali berkompromi dan akan menghalang sebarang usaha pihak tidak bertanggungjawab sama ada organisasi atau individu yang ingin merosakkan keharmonian yang sedia terjalin.

Atas semangat cintakan negara, PAS mengalukan pelbagai pihak termasuk parti politik, badan bukan kerajaan dan mana-mana organisasi untuk berdialog bagi memastikan Piagam Muafakat Nasional sentiasa berada di landasan yang tepat untuk Malaysia yang lebih sejahtera.

"Islam Memimpin Perpaduan"

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
19 Muharram 1441
19 September 2019 - HARAKAHDAILY 19/9/2019