22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

Menteri Kewangan tidak layak bentang Belanjawan?

Nasional
Typography

BELANJAWAN adalah instrumen terpenting dalam urusan pentadbiran dan kewangan kerajaan.

Penyediaan belanjawan melibatkan proses perbincangan dan penelitian yang panjang, bermula dengan menggariskan matlamat dan sasaran yang ingin dicapai, seterusnya memperincikan sumber pendapatan dan anggaran perbelanjaan bagi tempoh setahun yang mendatang.

syahir2Setiap hasil pendapatan kerajaan, sama ada sumber cukai dan bukan cukai, perlu diurus dengan baik bagi menampung perbelanjaan pembangunan dan pengurusan kerajaan, demi memenuhi keperluan negara dan kebajikan rakyat yang tidak berkesudahan.

Di sinilah pentingnya seorang Menteri Kewangan dilantik untuk merancang dan mengurus perbendaharaan negara dengan penuh integriti, kredibiliti dan kebolehpercayaan.

Namun mutakhir ini, YB Menteri Kewangan dilihat terbeban dengan pelbagai kes salahlaku dan jenayah melibatkan beberapa pemimpin DAP sehingga boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap beliau sendiri, parti DAP yang diwakilinya serta pihak kerajaan, antaranya:

1. Pada 3 September 2018, pertuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng berhubung pembelian sebuah lot banglo di Pulau Pinang telah ditarik balik oleh Peguam Negara. Perdana Menteri dan SPRM terkejut dengan keputusan mahkamah yang membebaskan Lim Guan Eng.

2. Pada 11 Februari 2019, Lim Guan Eng mempertimbangkan tindakan saman kepada pihak yang mempertikaikan kelayakan beliau sebagai seorang akauntan bertauliah, ketika timbul kontroversi berkaitan kelayakan akademik palsu beberapa pemimpin Pakatan Harapan.

3. Pada 26 November 2018, seorang Exco DAP Selangor membuat hantaran berbaur perkauman di Facebook, sehari sebelum rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya yang meragut nyawa seorang anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib.

4. Pada 23 Ogos 2019, seorang Exco DAP Perak mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia. Kes ini turut menarik perhatian negara jiran dan dilihat boleh menjejaskan hubungan baik Malaysia-Indonesia.

5. Pada 8 Oktober 2019, seorang Ahli Parlimen DAP dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak Polis berhubung status Facebook yang dimuat naik dalam akaun yang dikaitkan dengannya, kerana menghina Sultan Selangor.

6. Pada 10 Oktober 2019, dua Adun DAP ditahan Polis kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengganas LTTE. Kes disiasat di bawah Akta SOSMA.

Tidak hairanlah banyak pihak sudah mula mempertikaikan kredibiliti dan kelayakan YB Lim Guan Eng untuk memegang jawatan terpenting ini, apatah lagi untuk membentangkan Belanjawan 2020 dalam situasi ekonomi negara yang sangat mencabar.

Sukar untuk dipastikan apakah kesudahan Belanjawan 2020, yang pastinya mengundang perbahasan hangat di dalam dewan Parlimen, mahupun di luar dewan.

Adakah ini belanjawan terakhir yang dibentangkan oleh YB Lim Guan Eng? Tiada yang mustahil dalam politik Malaysia. – HARAKAHDAILY 11/10/2019