22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

Bajet untuk dikongsi bersama

Nasional
Typography

“SESUNGGUHNYA Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” (Maksud Surah Al-Isra’: 30)

Bajet Defisit

syahir2Seperti dijangka, Belanjawan 2020 telah meneruskan tren perbelanjaan besar oleh pihak kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara, dengan peruntukan berjumlah RM299 bilion (18 peratus kepada KDNK).

Daripada jumlah tersebut, RM241 bilion (81 peratus) akan dibelanjakan untuk tujuan mengurus, iaitu bagi membayar gaji dan pencen, bayaran khidmat hutang, perbekalan dan subsidi kepada rakyat.

Manakala untuk tujuan pembangunan, sejumlah RM58 bilion (19 peratus) akan dibelanjakan ke dalam sektor ekonomi, sosial, keselamatan dan pentadbiran, bagi membawa limpahan ekonomi yang lebih besar kepada negara.

Hasil kerajaan pada 2020 dijangka berkurang 7.1 peratus kepada RM244.5 bilion, dengan hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama pendapatan kerajaan dengan jumlah kutipan RM189.9 bilion (77 peratus).

Natijahnya, kerajaan dijangka akan menanggung defisit pada kadar 3.2 peratus kepada KDNK, ataupun 21.1 peratus berbanding hasil kerajaan.

Di sebalik angka-angka yang besar dalam Belanjawan 2020, terdapat beberapa aspek makroekonomi yang perlu diberikan perhatian.

Pertama, bajet RM299 bilion ini merupakan jumlah yang agak besar dalam keadaan sumber hasil yang rendah dan hutang kerajaan yang tinggi, malah melebihi peruntukan ‘bajet pilihan raya’ oleh Barisan Nasional pada 2018.

Kedua, kerajaan Pakatan Harapan masih meneruskan tren perbelanjaan mengurus yang besar iaitu 81 peratus daripada keseluruhan bajet, berbanding 19 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

Nisbah ini adalah tidak mampan kerana kerajaan lebih menumpukan kepada ‘perbelanjaan hangus’ dalam jangka masa pendek, berbanding penjanaan ekonomi yang menguntungkan dalam jangka masa panjang, khususnya bagi mendepani cabaran ekonomi digital, revolusi industri 4.0 dan persaingan globalisasi.

Ketiga, jumlah perbelanjaan mengurus sudah hampir menyamai jumlah hasil kerajaan pada paras 98 peratus.

Ini bermakna, setiap hasil cukai dan bukan cukai yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos pengurusan kerajaan, dan situasi ini adalah amat berisiko terhadap defisit fiskal, penarafan kredit dan dayatahan kerajaan bagi menghadapi kemungkinan situasi kelembapan ekonomi dan kejatuhan harga komoditi pada 2020.

Bajet Untuk Semua

Belanjawan 2020 dilihat sarat dengan pelbagai pemberian (goodies) kepada segenap lapisan masyarakat.

Sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar sebanyak RM64.1 bilion, meneruskan tradisi bajet oleh pihak kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan dengan meletakkan pendidikan sebagai penerima peruntukan paling besar setiap tahun, khususnya bagi mempersiapkan generasi muda dengan ilmu, kemahiran dan sahsiah yang tinggi.

Kerajaan turut meningkatkan peruntukan bagi sektor kesihatan kepada RM30.6 bilion bagi memastikan rakyat mendapat akses penjagaan kesihatan yang berkualiti, di samping memperluaskan skim perlindungan kesihatan percuma (MySalam) dan skim peduli kesihatan (PeKa B40), serta pelbagai lagi insentif penjagaan kesihatan rakyat.

Di samping itu, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk skim Bantuan Sara Hidup (BSH) dan memperkenalkan program subsidi petrol (PSP) secara tersasar kepada golongan B40 dan M40, selain meningkatkan paras gaji minima di bandar utama kepada RM1,200.

Kerajaan juga sedang dalam rundingan untuk mengambil alih empat lebuhraya di Lembah Klang serta menawarkan diskaun 18 peratus bayaran tol di lebuh raya PLUS, dan mengumumkan pelbagai insentif pelepasan cukai dan pengeluaran KWSP untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat seperti yuran taska, IVF dan pendidikan.

Kerajaan juga dilihat cuba menangani isu pengangguran belia dengan pelbagai insentif #MalaysiaKerja dengan peruntukan RM6.5 bilion untuk mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 350 ribu dalam tempoh lima tahun.

Namun jumlah 350 ribu ini masih terlalu rendah berbanding angka pengangguran melebihi 500 ribu pada tahun 2018, di mana 140 ribu adalah graduan, dan jumlah ini juga adalah jauh lebih rendah berbanding janji Manifesto Pakatan Harapan untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti dalam tempoh 5 tahun, dengan gaji minima RM1,500 sebulan.

Selain itu, bagi mengatasi masalah lambakan kondominium yang tidak terjual, kerajaan mengambil jalan singkat dengan menurunkan paras harga rumah yang boleh dibeli oleh warganegara luar daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Langkah ini dilihat boleh menimbulkan pelbagai masalah yang berkait dengan pemilikan hartanah oleh warga asing, sedangkan warga tempatan dan anak muda masih sukar untuk memiliki rumah idaman.

Perkongsian kemakmuran

Perlu diingatkan bahawa matlamat utama perbelanjaan kerajaan adalah untuk memberi nilai-tambah kepada pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya memastikan ‘kek ekonomi’ terus berkembang untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat secara saksama.

Inilah juga aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, dengan memberikan nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif, berintegriti dan bermaruah.

Sejauhmana Belanjawan 2020 mampu memacu pertumbuhan ekonomi, menurunkan kadar inflasi dan mengurangkan kadar pengangguran, masih terlalu awal untuk dipastikan kesudahannya.

Semuanya bergantung kepada aspek pelaksanaan, kecekapan dan ketelusan yang perlu dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan dapat meringankan beban rakyat, membawa pembangunan yang seimbang, seterusnya mempersiapkan negara bagi mendepani cabaran mendatang. – HARAKAHDAILY 12/10/2019