Terbukti laungan kosong, PH tiada sokongan rakyat

Nasional
Typography
TERKEJUT seketika saya bila mendengar pengakuan agak menggemparkan yang dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya PAN Selangor, Jaafar Samsudin, di dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Angkatan Wanita PAN (AWAN) Negeri Selangor hari ini. Bahawa Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Malaysia tidak dapat menunjukkan kedudukan sokongan rakyat di tiap-tiap negeri di seluruh negara kepada PH. Ia apabila diminta oleh Pengarah Jentera Pilihan Raya PH Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam Mesyuarat Jentera Pilihan Raya PH Malaysia baru-baru ini. Di mana kegagalan Jentera Pilihan Raya PH Malaysia ini menyebabkan “Tan Sri Muhyiddin berasa kecewa dan amat terperanjat”.
 
Nampaknya betullah pandangan banyak pihak, termasuk saya sendiri, bahawa laungan berdegar-degar para pemimpin PH selama ini bahawa PH mendapat sokongan padu rakyat sebenarnya hanyalah sekadar laungan kosong tanpa bukti.       
 
Berikut adalah transkrip ucapan Pengarah Pilihan Raya PAN Selangor, Jaafar Samsudin dalam majlis tersebut:
 
“Pada saya, kalau saya turun ke mana-mana, khususnya ke bahagian-bahagian pilihan raya yang bakal kita bertanding, saya mewajibkan untuk jentera kita menunjukkan kedudukan sokongan pengundi dan rakyat kepada PAN khasnya dan amnya kepada PH. Tanpa bukti, dan kerja ini kita buat, kita bergerak, kita menjalankan kerja pilihan raya dalam keadaan tanpa haluan tuju dan bukti yang mengatakan kita mendapat sokongan. Baru-baru ini dalam Mesyuarat Jentera Pilihan Raya PH Malaysia yang dipengarahkan oleh Tan Sri Muhyiddin, memohon pihak PH menunjukkan kedudukan cula di tiap-tiap negeri di seluruh negara, sama ada SFERA-nya atau report-report yang lain, Jentera Pilihan Raya PH Malaysia tidak dapat menunjukkan kedudukan sokongan kita di seluruh Parlimen, 222, yang menyebabkan Tan Sri Muhyiddin berasa kecewa dan amat terperanjat. Sebab itulah saya berharap ikut, patuhi SOP yang telah BPR (PAN) Nasional putuskan. Ya, ikut, laksanakan.”