22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

SAYA sangat bangga dengan sikap keterbukaan rakyat Malaysia yang mula bertegas untuk mencari kebenaran dan menolak adudomba politik murahan. Situasi ini menjadi matang selepas rakyat membuat perubahan drastik melalui Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu.

Kebanyakan rakyat membuka mata dengan tekun dan bergerak pantas ke hadapan serta membaca apa saja pergerakan dan kenyataan politik semua parti-parti yang ada demi untuk mereka membuat perhitungan matang dalam pilihan raya akan datang.

Saya secara khusus turut menilai perkembangan negara dari pelbagai aspek yang kebanyakan gagal dan bakal menghambat rakyat ke arah penderitaan kehidupan dan kehancuran peradaban agama dan bangsa sehingga dengan tegas saya mengatakan "Menjatuhkan Kerajaan PH Hukumnya Wajib". Tanpa saya jangka kenyataan ini menarik perhatian ramai yang cinta kepada kedamaian dan kemakmuran hidup duniawi dan ukhrawi. Tidak asing juga kritikan yang pedas kepada kenyataan saya ini. Ada yang mencabar saya berdialog dan ada yang membuat laporan polis. Yang anehnya golongan pertengahan yang ribut bercakap dan menawar diri untuk berdialog.

Bagi saya dialog dengan semangat untuk mencari jalan penyelesaian Islam adalah sangat baik. Dialog profesional ini sangat berkesan kalau diadakan antara tokoh-tokoh politik tertinggi yang mampu merubah hala tuju politik dan pemerintahan negara sangat memberi impak positif untuk semua.

Bepaksikan kepada mencari kebaikan untuk semua saya sangat mengharapkan agar dialog antara saya dengan sahabat karib saya Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa diterima oleh beliau.

Saya bukan mencabar beliau dalam hal ini. Cuma saya mengajak berdialog secara harmoni untuk mencari jalan penyelesaian Islam dalam polemik politik negara. Saya tidak berhasrat untuk mencari kemenangan atau publisiti murahan. Kalau sekiranya perlu dibuat dialog dengan pimpinan lain yang lebih tinggi pun lebih baik untuk Islam dan ummahnya.

Sekali lagi saya menyeru agar ruang dialog secara terbuka dan beradan sentiasa subur di dalam negara kita.

Sekian, dari insan daif:
USTAZ DR NIK ZAWAWI SALLEH
Setiausaha Majlis Syura Ulamak,
Ketua Dewan Ulamak PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/7/2019

KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato' Seri Mujahid Yusof Rawa selepas melawat kem tahanan etnik Uighur beragama Islam di Xinjiang, China amat mengguris hati umat Islam khasnya mereka yang sedang berdepan kezaliman di China.

Pandangan menteri agama itu dalam isu berkenaan penindasan umat Islam di Uighur sangat mengecewakan seluruh umat Islam, malah ia satu penghinaan tatkala seluruh ummat menadah tangan mendoakan agar kezaliman ke atas etnik Uighur ditamatkan segera.

Kenyataan Mujahid dalam Facebook beliau berkongsi lawatannya ke sebuah kem yang menurut China, ia adalah 'pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uighur' amat menghina, malah tidak sedikit memperlihatkan belas ihsan beliau ke atas penindasan yang sedang berlaku.

Umum mengetahui, China telah menindas etnik minoriti Islam Uighur dan menahan mereka di kem-kem tahanan yang berselindung di sebalik 'pusat latihan dan vokasional' ataupun pendidikan semula di wilayah barat, Xinjiang.

Bagi kami di Dewan Ulamak PAS Selangor, kami amat kesal adanya seorang menteri yang sangat naif tentang apa yang berlaku kepada umat Islam seperti di Uighur dan telah membuat satu kenyataan dan pendirian dan tindakan beliau yang sangat mengecewakan seluruh umat Islam di Malaysia, bahkan seluruh dunia.

Bagi DUPNS apabila Mujahid menyatakan bahawa penindasan umat Islam Uyghur di Xinjiang, China adalah satu cerita palsu, maka dia telahpun mengkhianati umat Islam.

Mujahid sebenarnya gagal membaca fakta yang dilaporkan Human Right, International Agency membuat laporan berlaku penindasan yang sangat dahsyat kepada umat Islam di Xinjiang, China.

Untuk pengetahuan menteri agama, penduduk Islam di wilayah Xinjiang berdepan pelbagai sekatan terhadap kebebasan budaya dan agama yang dikenakan parti komunis China. Jika menteri agama gagal memahami hal ini, maka selayaknya dia melepaskan jawatan sahaja.

“Islam Memimpin Perpaduan”

USTAZ MUHAMMAD IBRAHIM @ MAD CHINA
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Selangor – HARAKAHDAILY 2/7/2019

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ فَأَعْرَضَ عَنْهَا وَنَسِيَ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ ۚ إِنَّا جَعَلْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ أَكِنَّةً أَن يَفْقَهُوهُ وَفِي آذَانِهِمْ وَقْرًا ۖ وَإِن تَدْعُهُمْ إِلَى الْهُدَىٰ فَلَن يَهْتَدُوا إِذًا أَبَدًا

"Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya."

Penekanan utama ayat:

●     Zalim

Zalim bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada tempat sepatutnya. Ia merupakan lawan kepada adil. Apabila Allah menyatakan orang yang menolak hidayah adalah sezalim-zalim manusia, maka tidak akan muncullah terma bawaan Liberalisme yang berbunyi "kafir yang adil", kerana kafir itu sendiri adalah suatu kezaliman.

●     Qalb

Qalb di dalam bahasa Arab bermaksud jantung, bukannya hati seperti yang difahami. Berdasarkan hadis, ia merupakan ibu kepada segala jasad manusia. Jika ia baik maka baiklah seluruh jasad manusia dan jika sebaliknya, rosaklah jasad. Maka apabila hati tertutup daripada kebenaran, seluruh diri akan menyeleweng daripada kebenaran.

●     Ikhtiari

Manusia sendiri yang memilih jalan hidup mereka. Allah jadikan pada manusia dan jin sifat ikhtiari iaitu bebas memilih apa yang mereka mahukan di dunia ini. Apabila manusia itu sendiri memilih untuk menolak petunjuk kebenaran Islam, maka Allah akan hukum mereka dengan menutup hati dan telinganya terus daripada kebenaran.

Ibrah akhir zaman:

Di dunia ini terdapat golongan tertentu yang telah Allah gazetkan bahawa mereka tidak akan menerima hidayah selama-lamanya. Ayat ini ditujukan khusus kepada beberapa individu musyrikin Quraisy dan terbukti, ramai di kalangan mereka mati dalam keadaan kufur walaupun telah sampai kepada mereka segala keterangan dan dakwah Islam.

Allah juga telah gazetkan di dalam al-Quran bukan sahaja golongan yang kufur terhadap Allah, malah menjadi musuh kepada Islam pula iaitu pakatan Yahudi dan Kristian. Firman Allah S.W.T:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu."

[al-Baqarah:120]

Juga firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim."

[al-Maaidah:51]

Yahudi merupakan pengikut asal Nabi Musa A.S dan Nabi-nabi berketurunan Bani Israel. Walau bagaimanapun, mereka tidak mengiktiraf kenabian Nabi Isa A.S dan Nabi Muhammad S.A.W menyeleweng daripada ajaran kitab Taurat. Nasrani pula merupakan ajaran pengikut Nabi Isa A.S yang kemudian menyeleweng daripada Taurat. Mereka menganggap Isa sebagai anak tuhan.

Menerusi keterangan ayat Allah S.W.T di atas, golongan yang menjadi musuh kepada Islam adalah pakatan Yahudi dan Nasrani. Jika dilihat perkembangan semasa hari ini, pakatan Yahudi dan Nasrani telah membentuk gerakan Zionis.

Justeru mana-mana pihak yng bersekongkol dengan Zionis di kalangan Yahudi dan Nasrani adalah termasuk di kalangan mereka yang digazetkan sebagai musuh oleh Allah dan perlu dijauhi. Walau bagaimanapun, Yahudi dan Nasrani yang tidak bersetuju dengan Zionis seperti Yahudi mazhab Naturei Karta dan Nasrani mazhab Ortodoks tidaklah termasuk di kalangan mereka.

Allah turut menjelaskan bahawa walaupun Yahudi dianggap bangsa paling kuat bermusuh dengan Islam, namun di sana terdapat kumpulan Nasrani yang mengasihi umat Islam. Firman Allah S.W.T:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong."

[al-Maaidah:82]

Sifat Yahudi tidak perlu diterangkan lagi kerana ayat mengenai permusuhan mereka terhadap Islam begitu konsisten. Namun mengenai orang Nasrani, ayat ini sedikit berbeza kerana mendakwa ada Nasrani yang mengasihi Islam. Jika dikaji teks ayat, ia menunjukkan bahawa Nasrani yang dimaksudkan adalah Nasrani yang berbangga dan tidak malu mengaku mereka adalah Nasrani.

Ada ulamak berpendapat yang dimaksudkan dengan Kristian ini adalah merujuk kepada Kristian Ortodoks yang dianuti oleh Roman Byzantine. Sehingga kini ia menjadi anutan di Syria, Mesir, Eropah Timur tetapi kebanyakannya berada di Rusia.

Ada juga yang berpandangan simplistik, dengan mengatakan semua Kristian adalah baik termasuk Amerika yang dikuasai oleh Protestan Sekular dan Evangelikal. Sedangkan sifat mereka dengan mafhum nas jauh panggang daripada api.

Pandangan yang lebih harmoni adalah, bahawasanya Kristian yang dimaksudkan oleh al-Quran meliputi Kristian Ortodoks dan Katolik hari ini. Ciri-ciri yang disebutkan dalam ayat tersebut lebih kurang sama antara Katolik dan Ortodoks. Tetapi tidak termasuk Protestan yang menganut fahaman sekular dan Evangelical yang menyokong agenda Zionis.

Justeru melatari pembukaan kota Rome, penganut Katolik di Vatican City akan menerima Islam. Terdapat suatu hadis yang berbunyi:

كنا عند عبدِ اللهِ بنِ عمرو بنِ العاصِ، وسُئِلَ أيُّ المدينتيْنِ تُفتحُ أولًا القسطنطينيةُ أو روميَّةُ؟ فدعا عبدُ اللهِ بصندوقٍ له حِلَقٌ، قال: فأخرج منه كتابًا قال: فقال عبدُ اللهِ: بينما نحنُ حولَ رسولِ اللهِ نكتبُ، إذ سُئِلَ رسولُ اللهِ: أىُّ المدينتيْنِ تُفتحُ أولًا القسطنطينيةُ أو روميَّةُ؟ فقال رسولُ اللهِ: مدينةُ هرقلَ تُفتحُ أولًا: يعني قسطنطينيةَ

"Sahabat bertanya bandar manakah yang bakal dibuka dahulu, Constantinople atau Roma? Jawab Nabi S.A.W: Bandar Heraclius yang pertama dibuka."

[HR Hakim]

Boleh jadi mereka juga termasuk dalam hadis mereka yang akan berdamai dengan Islam bagi menghadapi musuh yang sama. Sabda Rasulullah S.A.W:

ستصالحون الرومَ صُلحًا آمنًا، فتغزون أنتم وهم عدوًّا من ورائهم

"Kamu bakal berdamai dengan Rom. Maka kamu dan mereka akan memerangi musuh di belakang mereka."

[HR Ibnu Majah]

Gereja Katolik hari ini tidak terlepas daripada kemasukan anasir Evangelikalisme. Fahaman ini membawa kepada pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai hak milik Yahudi sebagaimana yang diperjuangkan gerakan Zionis. Katolik sedang bergelut dengan anasir Evanglical yang meresap masuk ke gereja-gereja mereka bertujuan memaksa mazhab tersebut mendukung aspirasi musuh ketat mereka, Yahudi laknatullah.

Namun perkaitan dengan Kristian Ortodoks adalah lebih kuat. Ini berdasarkan hadis bahawa umat Islam akan bergabung sebelum berperang dengan Bani Asfar. Di dalam hadis konteks berlainan, Nabi memaksudkan Bani Asfar sebagai keturunan Heraclius iaitu Maharaja Rom Byzantine. Keturunan beliau kini berada di Rusia.

Apa yang pasti, antara hikmah diturunkan Nabi Isa A.S menurut ulamak adalah untuk menyatukan kembali penganut Kristian. Simbolik mematahkan salib yang dilakukan oleh Nabi Isa nanti menjadi tanda bahawa anutan mereka selama ini salah, dan akhirnya membawa mereka memeluk Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:

لا تقومُ السَّاعةُ حتَّى ينزلَ فيكم ابنُ مريمَ حَكمًا مُقسطًا فيَكسرَ الصَّليبَ ويقتلَ الخنزيرَ ويضعَ الجزيةَ ويفيضَ المالُ حتَّى لا يقبلَهُ أحدٌ

"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah Ibn Maryam turun kepada kamu sebagai pemimpin yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi dan menghapuskan jizyah. Maka ketika itu harta melimpah ruah sehingga tiada orang yang mahu menerimanya lagi."

[HR Bukhari]



Apabila telah jelas kumpulan-kumpulan yang digazetkan di dalam al-Quran, menjadi suatu kewajipan untuk kita menurut larangan Allah S.W.T supaya tidak menjadikan pakatan Yahudi dan Nasrani (Zionis dan sekutu) sebagai sekutu. Berdasarkan mafhum ayat di atas juga, sekiranya ada di kalangan umat Islam yang bersekutu dengan mereka, maka mereka telah menjadi sebahagian daripada musuh Islam yang wajib kita perangi.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 2/7/2019

KENYATAAN Dr. Mujahid Yusof yang menganggap concentation camp yang sebenarnya bertujuan bagi menghapuskan identiti, kepercayaan dan budaya golongan minoriti sebagai ‘pusat latihan’ dan menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai 'berita palsu dari China’ adalah amat mendukacitakan kerana memperlihatkan sokongan beliau kepada dasar penindasan umat Islam di Xinjiang.

Saya merasakan beliau sama ada tidak meneliti berita sebenar mengenai nasib umat Islam Uighur sedangkan banyak penulisan mengenai perkara itu diterbitkan termasuk dalam jurnal akademik atau beliau hanya menyuarakan pendirian rasmi Kerajaan Malaysia mengenai perkara ini sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang Menteri. [Beberapa liputan antarabangsa mengenai Uighur saya senaraikan di bawah]

Amat tidak patut sekali beliau menunjukkan sokongan kepada China dalam isu yang sedang mendapat perhatian oleh pelbagai negara serta agensi dan pertubuhan sehingga ke peringkat antarabangsa yang sedang berusaha memberikan tekanan kepada China bagi menamatkan krisis kemanusiaan di negara itu.

Saya menggesa Wisma Putra segera menjelaskan sama ada kenyataan Dr. Mujahid Yusof itu adalah mewakili pendirian dan dasar rasmi Kerajaan dalam hubungan antarabangsa atau ia hanyalah kenyataan peribadi beliau.

Jika ia adalah kenyataan peribadi beliau, maka amat wajar Kabinet mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Menteri itu dan beliau mesti segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia atau meletakkan jawatan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin, 1 Julai 2019 | 27 Syawal 1440 – HARAKAHDAILY 1/7/2019

Beberapa liputan berita antarabangsa mengenai kem tahan di Xianjiang:

1. https://time.com/5526022/turkey-china-concentration-camps-uighurs/
2. 
https://www.theguardian.com/world/2019/jan/11/if-you-enter-a-camp-you-never-come-out-inside-chinas-war-on-islam
3. 
https://www.newstatesman.com/world/asia/2019/03/china-s-uyghur-detention-camps-may-be-largest-mass-incarceration-holocaust?amp

FIRMAN Allah SWT dalam surah An Nahl ayat 112,

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلࣰا قَرۡیَةࣰ كَانَتۡ ءَامِنَةࣰ مُّطۡمَىِٕنَّةࣰ یَأۡتِیهَا رِزۡقُهَا رَغَدࣰا مِّن كُلِّ مَكَانࣲ فَكَفَرَتۡ بِأَنۡعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَ ٰ⁠قَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلۡجُوعِ وَٱلۡخَوۡفِ بِمَا كَانُوا۟ یَصۡنَعُونَ

Maksudnya, "..Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan..."

1. Perjuangan menegakkan Islam itu wajib

Perjuangan Islam termasuk di lapangan politik demokrasi pilihan raya adalah bertujuan untuk Menegakkan Agama dan Mentadbir Negara dengan Agama.

Perjuangan ini adalah satu kewajiban agama yang diletakkan di pundak setiap umat Islam dan ianya fardu kifayah iaitu wajib secara kolektif yang mesti dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam di negara ini.

Kewajiban ini sememangnya tidak difahami oleh mereka yang berpolitik hanya sekadar duniawi dan mensasarkan halatuju yang singkat termasuk menolak panduan agama.

PAS dan gerakan Islam seluruh dunia ketika menyertai politik pilihan raya dalam sistem demokrasi mengambil peluang untuk berjuang secara damai 'muwajahah silmiah' yang menjadi asas perjuangan Islam dengan memahami bahawa memperjuangkan Islam adalah wajib dan juga wajib untuk menegakkan negara Islam.

PAS dan gerakan Islam serata dunia menjadikan platform demokrasi untuk berdakwah dan menasihat pemerintahan negara untuk kembali kepada sistem Islam dan tunduk akur terhadap perintah Allah SWT dan ajaran Baginda SAW. Ia adalah kerana hanya Islam yang mampu membawa kesejahteraan kepada umat manusia dan tiada yang selainnya.

2. Pemerintahan yang menolak Islam

Sekiranya pemerintahan yang sedia ada menolak untuk kembali kepada Islam, ruang demokrasi yang ada dijadikan platform kepada pejuang Islam untuk menegakkan Islam dan juga meruntuhkan kezaliman dan kebatilan menerusi pilihan raya dan amalan memilih pemimpin dalam sistem demokrasi.

Menegakkan agama Islam itu adalah satu kewajiban dan diwajibkan pada masa yang sama berusaha meruntuhkan kebatilan dan kemungkaran daripada menjadi paksi pemerintahan sesebuah negara.

Sekiranya pemerintahan sedia ada tidak meletakkan Islam di kedudukan yang sewajarnya, tambahan pula Islam dipermainkan sesuka nafsu maka wajib bagi perjuang Islam menumbangkannya dan menegakkan ajaran Islam dalam pemerintahan.

3. Kebatilan dan kegagalan pemerintahan PH

Kerajaan PH dilihat dan dibuktikan pada hari ini sejak setahun pemerintahan mereka sebagai kerajaan yang batil dan salah.

Bermula dengan kemenangan PRU14 yang berpunca daripada amalan politik fitnah dan adu domba, menteri kerajaan yang menipu sijil kelayakan, menipu janji manifesto pilihanraya, menggugat perpaduan kaum dan keamanan amalan beragama, menggoncangkan sistem beraja, menggangu kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, mengganggu hak dan institusi Islam, usaha untuk menormalisasikan kehidupan bebas tanpa agama, menyamaratakan Islam dengan agama lain, merendahkan martabat bahasa Melayu dan hak bumiputera, sehinggalah ke tahap berpolitik lucah dan video seks di kalangan ahli politik pemerintah.

Itu belum lagi termasuk kegagalan untuk menjaga kepentingan rakyat dan gagal juga untuk mengurus tadbir ekonomi negara sehingga matawang negara di tahap yang paling rendah. Begitu juga terhadap usaha untuk meratifikasikan ICERD dan Statut Rom yang mampu meruntuhkan institusi perlembagaan negara ini. Sila baca lanjut tulisan " Setahun PH: 365 Kegagalan" oleh Abdul Muen Abadi.

Semua ini terlalu banyak untuk disenaraikan segala kebatilan dan salah laku pemerintahan PH sepanjang setahun usianya.

Mungkin di pihak PH ada yang berhujah bahawa tiadakah pemerintahan PH pun ada yang usaha untuk membawa pembangunan? Jawabnya ialah pembangunan adalah tugas dan amanah setiap pemerintah yang tidak mengira latar belakang pemikiran.

4. Wajib berjuang untuk menjamin survival Islam

Akan tetapi yang paling mustahak adalah kedudukan Islam dan hak umat Islam yang semakin terancam di era pemerintahan PH yang sewajibnya ke atas umat Islam untuk bangkit bagi memastikan Islam dan umat Islam terjamin masa depannya. Jikalau keadaan ini diteruskan oleh Kerajaan PH, masa depan Islam, negara dan rakyat adalah tidak terjamin dan hilang arah tujunya.

Kerajaan PH dilihat tidak mempunyai usaha yang jelas dan kesungguhan untuk mempertahankan Islam dan menegakkan Islam dalam pemerintahan. Menteri yang bertanggungjawab hal agama Islam dan umat Islam pun asyik berpolemik murahan dengan teori maqasid dan rahmatan yang tersasar. Maqasid Syariah yang tiada roh dan Rahmatanlilalamin yang menyimpang daripada maksud sebenarnya adalah untuk mengaburi mata umat Islam.

Islam yang Maqasid dan Rahmatan ini tidak lebih sekadar Islam yang mengikut telunjuk orang yang tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat dan bukannya petunjuk wahyu Ilahi dan pedoman Sunnah Baginda S.A.W. Sila baca "Islam Era PH Tiada HalaTuju" : Ustaz Muhammad Najhan.

Parti dalam kerajaan yang mendakwa diri sebagai parti Islam pun tidak langsung boleh diharap untuk menjaga dan membenteng Islam. Apa yang hanya dilakukan ialah lemah longlai tunduk kepada parti berpaksi sosialis sekularisme.

Parti idea sosialis pula sengaja memomokkan Islam sebagai jahat dan tidak adil. Dengan berani menuduh usaha umat Islam untuk bersatu padu sebagai ancaman kepada perpaduan kaum dan ancaman kepada penganut bukan Islam. Mereka berani menyambung lidah Islamofobia yang direka cipta di barat untuk menyerang Islam. Mereka sentiasa menyerang usaha memartabatkan Islam walaupun hebat berlakon kononnya menghormati Islam dengan memberi sumbangan derma kepada masjid dan surau, berbuka puasa dengan orang Islam, menyampaikan zakat tetapi apabila tiba usaha untuk agama Islam dan syariatnya hendak diperkasakan, mereka jugalah penentang tegar.

5. Wajib dan haram itu jelas

Wajib kepada Umat Islam untuk menegakkan Islam dan berjuang untuk menjamin survivalnya sehingga hari kiamat. Di samping itu, haram bagi umat Islam membiarkan dan berdiam diri berpeluk tubuh ketika kebatilan dan kemungkaran berleluasa dalam keadaan mereka berkemampuan untuk menghilangkannya.

Dalam lapangan politik demokrasi, rakyat mampu menggunakan kuasa undi mereka untuk menjatuhkan kezaliman, mencegah kemungkaran dan meruntuhkan kebatilan menerusi pilihan raya dengan memberi undi kepada pemimpin dan parti yang memperjuangkan Islam dan membela agama-Nya.

Sabda Nabi SAW,
لا يزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خالفهم ولا من
خذلهم حتى يأتي وعد الله

Maksudnya, "Akan sentiasa wujud sekumpulan umatku yang menegakkan kebenaran, tiada sesiapa yang memudaratkan, dan tiada sesiapa yang mengecewakan mereka sehingga datangnya janji Allah..." (Hadis Muslim 1920)

Dengan hujah dan apa yang dinyatakan seperti diatas terlalu mudah untuk difahami bahawa memperjuangkan Islam dan menjatuhkan kebatilan adalah wajib ke atas setiap Muslim.

Wajib menegakkan Islam dan menjatuhkan kebatilan bukan sekadar naratif, tetapi ia adalah satu pegangan dan tanggungjawab agama dan usaha dalam melaksanakannya beroleh rahmat-Nya dan dinilai di sisi Allah SWT.

"Islam Memimpin Perpaduan"
"Ulamak Memimpin Penyelesaian Islam"

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM
AJK Dewan Ulamak PAS Pusat
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
2 Jun 2019 / 28 Syawal 1440 – HARAKAHDAILY 2/7/2019

PAS ditubuhkan kerana para ulamak merumuskan HUKUM wajib ditubuhkan sebuah jamaah Islam. Gagasan amar makruf nahi mungkar dalam negara mewajibkan wujudnya sebuah jamaah dan kesatuan umat yang utuh dan tersusun.

Saya menyertai PAS kerana para ulamak merumuskan HUKUM kewajiban setiap muslim menyertai jamaah Islam. Islam mewajibkan kesatuan. Berseorangan tanpa ketua akan mendorong kepada perpecahan umat dan kelemahan.

Saya bekerja mendukung PAS kerana para ulamak merumuskan HUKUM wajib setia, wala' dan taat kepada jamaah yang disertai, serta haram HUKUM-nya mengkhianati amanah yang diberikan oleh jamaah dan parti saya.

Saya mengundi dalam pilihan raya kerana para ulamak merumuskan HUKUM wajib memilih pemimpin yang bertakwa kepada Allah, serta memilih partinya yang bersedia menjadikan al Quran dan al Sunnah sebagai sumber utama hukum negara.

Saya tidak sesekali akan mengundi parti yang menentang Islam atau syariat Islam kerana para ulamak merumuskan HUKUM haram menyokong musuh Islam yang memerangi Allah dan hukum syariat-Nya.

Saya tidak akan mengundi parti yang memberi sokongan secara terbuka dan nyata kepada parti yang menentang Allah dan hukum syariat-Nya kerana para ulamak telah merumuskan HUKUM haram berkompromi dan bersekongkol dengan musuh Islam.

Sebagaimana amalan solat dan puasa saya berdasarkan HUKUM agama yang dirumuskan oleh para ulamak, maka begitulah amalan dan tindakan saya dalam urusan keluarga, ekonomi, kewangan, sosial dan urusan politik saya juga.

Hidup dan mati saya adalah berdasarkan HUKUM agama. Jika saya melanggarnya, itulah seburuk-buruk hari saya yang saya wajib bertaubat dan kembali kepada-Nya dengan sesegeranya agar diampuni Allah.

Tetapi malang, ada daripada kalangan muslim yang meremehkan hukum hakam agama dalam berpolitik. Bagi mereka, HUKUM agama merencatkan minda rakyat untuk bebas berfikir dan bertindak. Ironi, merekalah penjunjung gagasan 'rahmatan lil-alamin. 'No wonder, by DAP compliance.'

Semoga Allah menjauhi saya daripada mereka dan mereka daripada saya sehinggalah Allah menukarkan kegelapan kepada hidayah-Nya. Kemunafikan warna warninya memukau. Berapa banyak serangga terbang terbakar oleh pesona api.

Teruskan berdakwah di jalan Allah. Berikan berita gembira. Sampaikan amaran dan amarah tuhan. Allahul musta'an.

#IslamMemimpinPerpaduan
#DemiIslam
#TaawunUMNOPAS

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
AJK PAS Pusat
1/7/19 – HARAKAHDAILY 1/7/2019

TIDAK mudah untuk menjadi seorang pejuang yang berprinsip. Hanya pejuang yang ikhlas mampu merealisasikan prinsip perjuangannya.

Demikian juga tidak mudah seorang ahli politik mahu menyandang status pejuang. Hanya ahli politik yang ikhlas akan berjuang sungguh-sungguh menunjangi prinsip perjuangannya.

Mutakhir ini, timbul isu wajib jatuhkan PH yang kemudiannya diangkat menjadi fatwa oleh mereka. Asasnya ia bukan isu dan fatwa pun. Hanya bermula dari ucapan Ketua Dewan Ulamak PAS Malaysia di Muktamar PAS baru-baru ini, yang menyebut bahawa PH wajib dijatuhkan.

Kemudiannya ucapan itu digembar-gemburkan oleh beberapa pimpinan PH dan media, lalu ia menjadi isu yang diperdebatkan oleh awam.

Tahniah saya ucapkan kepada Ketua Dewan Ulamak PAS Malaysia (DUPM). Lantaran sedutan ucapannya menjadi isu, maka pelbagai pihak mula bahas dan mencari apakah asas, point, hujah dan dalil bahawa PH wajib dijatuhkan ?

Saya gembira. Bila semua pihak bahas dan membicarakan isu kenapa wajib PH dijatuhkan, insya-Allah sedikit masa lagi mereka akan lebih jelas malah menemui jawapan kenapa PH wajib dijatuhkan. Apa yang saya bimbang kalau masyarakat tidak mahu bincang, bahas dan mencari jawapannya.

Kesempatan ini saya tidak bermaksud nak mengheret perbahasan mengenai isu wajib jatuhkan PH. (insya-Allah, hal itu saya angkat pada kesempatan akan datang. Saya yakin, buat masa ini masyarakat sedia memahami kenapa Ketua DUPM berkata, PH wajib dijatuhkan.)

Apa yang saya mahu tegaskan pada kesempatan ini, agar gerakan perpaduan ummah mesti terus disemarakkan tanpa ragu untuk menjatuhkan PH. Juga tidak perlu teragak-agak dalam menentukan sikap ini, terutama saat mendepani tindakan politik pihak PH yang kini semakin terdesak dan tersedak.

Mereka mahu supaya perpaduan ummah ini bergerak perlahan. Kalau boleh, mereka mahu gagalkan perpaduan atau muafakat ummah antara PAS dan Umno khasnya dan BN amnya.

Saya percaya mereka akan lancarkan gerakan sabotaj. Sebahagian yang tidak ikhlas niat perjuangannya, mungkin akan mudah terpedaya lalu hilang harap mereka kepada gerakan perpaduan ummah ini.

Jangan pandang kecil pada kilauan pangkat, kedudukan dan janji wang ringgit yang ditabur. Paling tidak, ia menjadi agen sabotaj yang boleh melambatkan perjalanan dan menghilangkan kepercayaan ramai.

Saya tegaskan sekali lagi, hanya keikhlasan berjuang menjadi benteng kukuh dari ancaman gerakan sabotaj ini. Tanpa ikhlas, lahirlah golongan yang tiada arah tuju (muzabzabin) dan golongan yang ragu (was-was).

Perlu diingatkan jua, bahawa gerakan sabotaj seperti ini seringkali disambut sebahagian “pejuang” tanpa sedar. Terutama disambut oleh mereka yang tidak sabar dalam perjuangan. Mengharapkan kemenangan yang cepat dan keuntungan duniawi yang berlipat.

Sementara pencetus dan penggerak sabotaj pula adalah terdiri dari musuh perjuangan ini dan bonekanya yang terpedaya dengan pangkat dan kedudukan yang dijanjikan.

“Pejuang” yang lemah sering menjadi mangsa sabotaj.

NASRUDIN HASSAN
Sekali Serban Dililit
27 Syawal 1440 | 1 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 1/7/2019

More Articles ...