18
Wed, Sep
50 Artikel Baru

سَيَقُولُونَ ثَلَٰثَةٞ رَّابِعُهُمۡ كَلۡبُهُمۡ وَيَقُولُونَ خَمۡسَةٞ سَادِسُهُمۡ كَلۡبُهُمۡ رَجۡمَۢا بِٱلۡغَيۡبِۖ وَيَقُولُونَ سَبۡعَةٞ وَثَامِنُهُمۡ كَلۡبُهُمۡۚ قُل رَّبِّيٓ أَعۡلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعۡلَمُهُمۡ إِلَّا قَلِيلٞۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمۡ إِلَّا مِرَآءٗ ظَٰهِرٗا وَلَا تَسۡتَفۡتِ فِيهِم مِّنۡهُمۡ أَحَدٗا

"(Sebahagian dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya)."


Penekanan utama ayat:

●     Anjing

Ayat ini menyenaraikan seekor anjing tergolong sebagai anggota Ashabul Kahfi. Walaupun ia seekor binatang yang mungkin dianggap jijik oleh manusia dan najis mughallazah di sisi Islam, tetapi ia tidak bermakna ia hina di sisi tuhan. Kerana anjing tersebut berkhidmat untuk pejuang Islam, maka ia dimuliakan. Jika ada manusia yang menentang perjuangan Islam, maka mereka lebih hina dari anjing di sisi Islam!

●     Soal bilangan

Walaupun Allah Maha Tahu bilangan sebenar pemuda Ashabul Kahfi, tetapi sengaja dibentangkan mengenai pandangan-pandangan masyarakat tentang bilangan mereka. Fokus utama supaya umat Islam mengerti, bukan bilangan, data atau fakta terperinci yang dititik beratkan. Sebaliknya pengajaran yang boleh diambil.

Di sini pentingnya umat ini memahami Fiqh Aulawiyyat. Kefahaman mengenai susunan keutamaan dalam ajaran Islam.

●     Debat

Larangan supaya jangan berdebat adalah salah satu di antara prinsip utama agama ini adalah menjaga prioriti dan mengelakkan perpecahan. Tujuan perdebatan adalah bagi mencari kebenaran. Kebenaran itu juga mestilah memiliki kepentingan yang signifikan. Kalau sekadar mahu menentukan tarikh berapakah sebenarnya Nabi meninggal atau berapakah sebenarnya bilangan rakaat terawih tanpa mempunyai justifikasi yang signifikan terhadap kehidupan manusia, lebih baik tinggalkan sahaja.

Bukan semua kebenaran perlu ditegakkan, dan bukan semua benda benar perlu diceritakan.

Ibrah akhir zaman:

Orientasi ayat ini berkisar mengenai perbincangan masyarakat tentang bilangan pemuda Ashabul Kahfi. Akhirnya tuhan meminta supaya perkara ini diserahkan kepada Allah S.W.T dan tidak perlu dipanjangkan. Hikmahnya supaya umat Islam mengerti, bukan bilangan yang perlu dititikberatkan tetapi pengajaran yang ingin disampaikan di sebalik kisah tersebut.

Fenomena umat Islam akhir zaman, terlalu sibuk dengan perkara-perkara kecil yang tidak penting tetapi mengabaikan perkara-perkara besar. Fiqh Aulawiyyat tidak menjadi pedoman umat ini. Lebih parah, membesarkan perkara kecil sehingga membawa kepada perbalahan dan permusuhan sesama Islam.

Dalam tidak sedar, sebenarnya isu khilafiyat dan isu furu'iyyah menjadi peluru musuh Islam yang sengaja dicipta bagi melalaikan umat daripada bersatu menghadapi musuh Islam. Umat ini sengaja dipecahkan dengan sektarian mazhab, kabilah dan kaum supaya kekuatan mereka mengecil lalu mudah untuk diratah. Ia dipanggil strategi pecah dan perintah.

Strategi inilah yang digunakan bagi menjatuhkan Empayar Islam Uthmaniyah. Ditiup api semangat kebangsaan Arab menentang Turki yang dicop sebagai penjajah. Di Turki pula, dipecahkan aliran-aliran tarekat yang pelbagai. Di kalangan bangsa Arab, dilagakan isu Ahli Sunnah vs Wahhabi atau Salafi. Juga kerana tuduhan Uthmaniah sebagai koruptor.

Arab Spring yang terbaru melanda umat Islam terutama di Asia Barat menggunakan modus operandi sama. Sentimen Sunni, Shiah, Wahhabi, Aswaja, Arab, Kurdi, Balochis, Pashtun, Bani Ahmar, kabilah Houthi, Tripolitan, Berber, dan bermacam lagi pecahan yang masing-masing mengaku sebagai Islam, tetapi berbantaian sesama sendiri. Itu belum lagi dipecahkan mengikut pasukan tentera, parti politik dan jemaah Islam.

Agenda utama Arab Spring adalah pemetaan baharu Asia Barat. Negara yang ada akan dipecahkan lagi kepada negara-negara yang lebih kecil mengikut sektarian. Antara negara yang menjadi perancangan adalah Kurdistan, Balochistan, Shiistan, Sunnistan, Alawistan, Wahhabistan, Tripolitania, Fezzan, Cyrenaica dan seumpamanya. Daripada 10 buah negara boleh pecah kepada 20 buah negara baharu!

Perpecahan adalah punca umat Islam diratah. Firman Allah S.W.T:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ

"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."

[al-Anfal: 46]

Justeru umat ini perlu bersatu menentang perpecahan. Jalan untuk umat ini bersatu adalah:

1.     Fokus kepada isu bersama: pembebasan Masjidil Aqsa.

2.     Fokus kepada musuh bersama: Yahudi.

3.     Selesaikan khilaf sesama Islam dengan wacana ilmu bukan dengan senjata.

4.     Ulamak perlu menjadi agen penyatu bukan punca perbalahan.

5.     Umarak perlu kembali kepada penerapan ajaran Islam dalam sistem pemerintahan.

22 Mei 2019
17 Ramadhan 1440

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 22/5/2019

 FB IMG 1558535083726

SAYA membaca satu hantaran di dalam satu laman Facebook DrMaza.com yang memuatkan berita bahawa suspek di dalam kes bakar kereta Mufti Perlis sedang ditahan reman oleh pihak polis sekarang ini. Menurut tulisan yang diletakkan nota 'admin' itu kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai jawatan dan kedudukan di dalam Jabatan Amal dan organisasi politik yang sudah tentu merujuk kepada PAS. Disertakan juga gambar yang menunjukkan suspek yang ditahan bersama-sama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Saya berpandangan bahawa tulisan di dalam laman yang dimiliki oleh mufti Perlis ini sangat-sangat tidak bertanggungjawab dan hanya ditulis oleh seorang yang tidak berakhlak. Bagaimana penulis ini boleh mengaitkan suspek yang ditahan dengan organisasi politik PAS sedangkan siasatan masih dijalankan oleh pihak polis?
 
Saya sebagaimana pemimpin PAS yang lain sangat bersimpati dengan insiden yang menimpa mufti Perlis. Bahkan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis telah mengeluarkan kenyataan mengutuk keganasan yang dilakukan ini dalam satu kenyataan pada 22 Mac 2019 yang lepas. Bagaimana mungkin perbuatan ini dikaitkan dengan sikap rasmi PAS yang tidak pernah membenarkan mana-mana ahlinya melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
 
PAS telah lama berkecimpung di dalam politik pilihan raya. Menang kalah yang silih berganti tidak pernah menjadikan PAS sebagai sebuah parti pengganas. Jika pandangan mufti Perlis yang berbeza dengan PAS dibandingkan dengan pelbagai tekanan yang dihadapi oleh PAS selama ini di peringkat nasional, boleh dikatakan isu Mufti Perlis ini sangat kecil. 
 
Mengaitkan PAS dengan perbuatan seperti ini adalah merupakan suatu tindakan yang sungguh tidak bertanggungjawab dan sayangnya ia ditulis dengan bersandarkan kepada sebuah laman sosial yang dimiliki oleh Mufti Perlis.
 
Saya berbaik sangka bahawa Mufti Perlis tidak merestui tulisan ini, namun membiarkan penulis seperti ini mempunyai akses ke atas laman tersebut boleh membayangkan bahawa ia mewakili Mufti Perlis secara tidak langsung.
 
Pada saya admin ini sungguh tidak berakhlak. Tunggulah siasatan polis selesai terlebih dahulu. Jikapun benar ahli parti melakukan perbuatan tersebut, adakah tindakan seorang dua ahli itu membayangkan pendirian rasmi parti? Jika demikian bolehkah dikatakan tidak berakhlaknya admin laman ini membayangkan tidak berakhlaknya tuan punya laman tersebut? 
 
AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas
22 Mei 2019 - HARAKAHDAILY 22/5/2019

CADANGAN memperkenalkan subjek agama lain di alam persekolahan sebagaimana dikemukakan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha adalah bersifat naif, tidak bertanggungjawab dan simplistik. Malah ia menggambarkan MBM tidak cukup maklumat sebenar terhadap situasi pelajar Muslim di negara ini.
 
Secara hakikatnya, ramai pelajar Muslim di Malaysia masih gagal untuk memahami dan mengaplikasi segala ilmu agama Islam yang sepatutnya diajarkan di alam persekolahan. Kualiti subjek agama Islam di sekolah masih belum cukup baik dan masih belum mampu untuk mempersiapkan pelajar muslim yang ada di Malaysia untuk menjadi seorang Muslim yang baik seperti yang sepatutnya.
 
Sekiranya dengan keadaan yang penuh kekurangan ini pelajar-pelajar muslim di Malaysia diajar dengan subjek agama lain maka situasi ini akan menambahkan lagi kekeliruan dan salah faham mereka terhadap nilai-nilai Islam yang sebenar.
 
Cara yang terbaik untuk mengekalkan perpaduan ialah dengan mengekalkan nilai ‘setiap rakyat berhak untuk mendapat pendidikan agama mereka secara  baik dan mendalam’. Kami percaya, sekiranya mereka mampu memahami falsafah dalam menjadi Muslim yang baik, Islam itu sendiri akan mendidik setiap pelajar Muslim di Malaysia untuk menghormati agama lain yang ada di dalam negara ini. 
 
Cadangan yang dilontarkan oleh pihak MBM melalui Jufitri Joha ini seolah-olah tidak yakin Islam yang sebenar sangat-sangat menekankan nilai menjaga keharmonian antara agama yang ada dalam dunia ini. Walhal secara hakikatnya, jelas di dalam al Quran serta saranan Rasulullah S.A.W untuk setiap muslim tidak menghina agama lain dan berkerjasama dengan mana-mana pihak sama ada muslim atau tidak dalam menuju ke arah kebaikan.
 
Selain itu, kenyataan MBM yang mendakwa bahawa subjek agama Islam di negara ini sudah cukup baik adalah salah dan jauh tersasar daripada realiti yang sebenar. Negara kita pada hakikatnya mempunyai krisis pendidikan awal Islam di peringkat sekolah setelah sekian lama dan inilah punca (tidak faham agama Islam dengan baik melalui fundamental agama) kepada lunturnya jati diri muslim dan membawa kepada salah faham dalam mengaplikasi Islam ketika berhadapan dengan agama lain (radikalisme dan ekstremisme). 
 
Kami menyeru kepada pihak MBM untuk lebih kerap turun ke peringkat bawahan rakyat, selami kesusahan dan kekurangan rakyat, dan bersama dengan rakyat dalam menghadapi krisis rakyat marhaen agar Majlis Belia Malaysia mampu memberikan fungsi yang baik dalam mencetak masa depan Malaysia dengan lebih baik.
 
MUHAMMAD FAIZZUDDIN BIN MOHD ZAI
Pengerusi Kluster Belia,
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
014 237 4002 - HARAKAHDAILY 22/5/2019

وَكَذَٰلِكَ أَعۡثَرۡنَا عَلَيۡهِمۡ لِيَعۡلَمُوٓاْ أَنَّ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقّٞ وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ لَا رَيۡبَ فِيهَآ إِذۡ يَتَنَٰزَعُونَ بَيۡنَهُمۡ أَمۡرَهُمۡۖ فَقَالُواْ ٱبۡنُواْ عَلَيۡهِم بُنۡيَٰنٗاۖ رَّبُّهُمۡ أَعۡلَمُ بِهِمۡۚ قَالَ ٱلَّذِينَ غَلَبُواْ عَلَىٰٓ أَمۡرِهِمۡ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيۡهِم مَّسۡجِدٗا

"Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka"."

Penekanan utama ayat:

●     Pendedahan

Tuhan tidak membiarkan Ashabul Kahfi tidak dijumpai. Akhirnya mereka dibangkitkan sekejap sahaja, sebagai bukti kekuasaan tuhan. Jika tuhan mampu menidurkan orang sehingga 309 tahun yang dianggap mustahil bagi manusia, maka tidak mustahil Allah boleh membangkitkan kembali manusia sesudah mati.

●     Bina masjid
Dikatakan raja yang menggantikan Decius bernama Tizusis adalah Islam daripada syariat Nabi Isa A.S. Pembinaan masjid adalah simbolik bahawa kerajaan zaman tersebut sudah menganut Islam.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini merupakan klimaks daripada cerita Ashabul Kahfi. Walaupun pada permulaan cerita mereka menghadapi dugaan yang berbagai, namun di akhirnya mereka beroleh kesenangan apabila negara yang syirik bertukar kepada beriman.

Ayat ini menunjukkan sunnatullah perjuangan menegakkan Islam. Ia akan bermula dalam keadaan sukar, namun akhirnya pasti beroleh kemenangan. Hikmah dijadikan sukar supaya yang benar-benar menyertai perjuangan Islam hanyalah mereka yang memiliki keimanan kuat dan tidak mengharapkan balasan dunia. Manakala hikmah dijadikan menang pula supaya orang menyerlah keizzahan Islam dan manusia tidak pandang serong terhadap agama tuhan.

Umat Islam di akhir zaman perlu meyakini bahawa sehebat manapun cabaran akhir zaman melibatkan Dajjal, Yakjuj Makjuj dan fitnah yang pelbagai, pasti akan muncul sinar kemenangan Islam di akhirnya. Kisah-kisah kedahsyatan akhir zaman tidak sepatutnya menjadikan umat Islam pesimis dan takut. Kerana hadis-hadis juga sarat dengan kisah kemenangan Islam selepas perkara tersebut.

Nabi S.A.W bersabda menyatakan kemenangan Islam ketika berhadapan dengan Rom:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْزِلَ الرُّومُ بِالْأَعْمَاقِ أَوْ بِدَابِقٍ فَيَخْرُجُ إِلَيْهِمْ جَيْشٌ مِن الْمَدِينَةِ مِنْ خِيَارِ أَهْلِ الْأَرْضِ يَوْمَئِذٍ فَإِذَا تَصَافُّوا قَالَتِ الرُّومُ : خَلُّوا بَيْنَنَا وَبَيْنَ الَّذِينَ سَبَوْا مِنَّا نُقَاتِلْهُمْ . فَيَقُولُ الْمُسْلِمُونَ : لَا وَاللهِ لَا نُخَلِّي بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ إِخْوَانِنَا . فَيُقَاتِلُونَهُمْ فَيَنْهَزِمُ ثُلُثٌ لَا يَتُوبُ اللهُ عَلَيْهِمْ أَبَدًا وَيُقْتَلُ ثُلُثُهُمْ أَفْضَلُ الشُّهَدَاءِ عِنْدَ اللهِ وَيَفْتَتِحُ الثُّلُثُ لَا يُفْتَنُونَ أَبَدًا فَيَفْتَتِحُونَ قُسْطَنْطِينِيَّةَ فَبَيْنَمَا هُمْ يَقْتَسِمُونَ الْغَنَائِمَ قَدْ عَلَّقُوا سُيُوفَهُمْ بِالزَّيْتُونِ إِذْ صَاحَ فِيهِمِ الشَّيْطَانُ : إِنَّ الْمَسِيحَ قَدْ خَلَفَكُمْ فِي أَهْلِيكُمْ فَيَخْرُجُونَ وَذَلِكَ بَاطِلٌ فَإِذَا جَاءُوا الشَّامَ خَرَجَ فَبَيْنَمَا هُمْ يُعِدُّونَ لِلْقِتَالِ يُسَوُّونَ الصُّفُوفَ إِذْ أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

"Tidak akan terjadi hari kiamat, sehingga orang Rom turun di kota Amaq (lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (berhampiran Aleppo, Syria). Kemudian datanglah suatu pasukan dari Madinah, yang merupakan penduduk pilihan di muka bumi kala itu. Ketika mereka sudah berbaris untuk berperang, maka berkatalah orang Rom: “Biarkanlah (jangan kalian halangi) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi Allah, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Maka berperanglah kedua pihak ini. Pusingan pertama, lari satu pertiga dari umat Islam yang Allah tidak akan menerima taubatnya. Pusingan kedua, mati pula satu pertiga yang merupakan sebaik-baik syuhada. Pusingan ketiga, dimenangi oleh satu pertiga yang baki. Setelah mereka berjaya membuka kota Constantinople. Mereka membahagikan harta rampasan perang dan menggantungkan pedang-pedang dengan zaitun. Ketika itu muncul satu khabar dari syaitan, mengatakan Dajjal telah pun keluar bagi mengganggu anak isteri mereka. Maka mereka pun keluar mendapatkannya. Walhal ianya adalah batil. Ketika mereka balik ke Syam, pada waktu itulah Dajjal keluar. Dalam mereka dalam persiapan untuk memerangi Dajjal, masuk ketika waktu Subuh dan iqamah dilaungkan, mereka memperbetulkan saf, tiba-tiba turunlah Nabi Isa Ibn Maryam A.S."

[HR Muslim]

Nabi S.A.W menyatakan Dajjal akan dibunuh di tangan Nabi Isa A.S:

أنَّهُ إذا خرج مسيحُ الضَّلالةِ الأعورُ الكذَّابُ نزل عيسَى ابنُ مريمَ على المنارةِ البيضاءِ شرقيَّ دِمشقَ بين مَهْرودَتَيْن، واضعَا يديهِ على منكبيْ ملَكينِ ، فإذا رآهُ الدَّجَّالُ انماعَ كما ينماعُ المِلحُ في الماءِ ، فيدركهُ فيقتلهُ بالحَربةِ عندَ بابِ لُدٍّ الشَّرقيِّ على بضع عشرةَ خطواتٍ منه

"Ketika keluar al-Masih yang sesat lagi penipu, turum Nabi Isa A.S dari atas menara putih di Timur Damsyik mengenakan dua pakaian yang indah, sambil meletakkan tangan pada bahu malaikat. Apabila Dajjal melihatnya hampir binasa seolah garam yang larut di dalam air. Maka Dajjal lari lalu Nabi Isa mengejarnya lalu dibunuh menggunakan tombak di Timur Bab Ludd, beberapa belas langkah daripadanya."

[Ibn Taimiyah dalam Jawab al-Sahih]

Yahudi yang menjadi musuh utama umat ini juga akan dibunuh. Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ، فَيَقْتُلُهُمُ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ، فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرُ: يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا يَهُودِيٌّ خَلْفِي فَتَعَالَ فَاقْتُلْهُ، إِلَّا الْغَرْقَدَ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ

"Tidak akan berlaku kiamat sehingga orang Islam memerangi Yahudi lalu mereka dibunuh, sehingga mereka bersembunyi di balik pokok dan batu. Maka berkatalah pokok atau batu: “Wahai muslim, wahai hamba Allah, ini Yahudi di belakangku, datanglah dan bunuhlah dia.” Kecuali Gharqad. Sesungguhnya ia adalah pokok Yahudi."

[HR Muslim]

Kebejatan Yakjuj dan Makjuj juga akan berakhir. Sabda Rasulullah S.A.W:

وَيَبْعَثُ اللَّهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ ، فَيَمُرُّ أَوَائِلُهُمْ عَلَى بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ فَيَشْرَبُونَ مَا فِيهَا ، وَيَمُرُّ آخِرُهُمْ فَيَقُولُونَ لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ ، وَيُحْصَرُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ حَتَّى يَكُونَ رَأْسُ الثَّوْرِ لِأَحَدِهِمْ خَيْرًا مِنْ مِائَةِ دِينَارٍ لِأَحَدِكُمْ الْيَوْمَ ، فَيَرْغَبُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ فَيُرْسِلُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ النَّغَفَ فِي رِقَابِهِمْ فَيُصْبِحُونَ فَرْسَى كَمَوْتِ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ ، ثُمَّ يَهْبِطُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى الْأَرْضِ فَلَا يَجِدُونَ فِي الْأَرْضِ مَوْضِعَ شِبْرٍ إِلَّا مَلَأَهُ زَهَمُهُمْ وَنَتْنُهُمْ ، فَيَرْغَبُ نَبِيُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى اللَّهِ فَيُرْسِلُ اللَّهُ طَيْرًا كَأَعْنَاقِ الْبُخْتِ فَتَحْمِلُهُمْ فَتَطْرَحُهُمْ حَيْثُ شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ يُرْسِلُ اللَّهُ مَطَرًا لَا يَكُنُّ مِنْهُ بَيْتُ مَدَرٍ وَلَا وَبَرٍ ، فَيَغْسِلُ الْأَرْضَ حَتَّى يَتْرُكَهَا كَالزَّلَفَةِ ، ثُمَّ يُقَالُ لِلْأَرْضِ أَنْبِتِي ثَمَرَتَكِ وَرُدِّي بَرَكَتَكِ .... فَبَيْنَمَا هُمْ كَذَلِكَ إِذْ بَعَثَ اللَّهُ رِيحًا طَيِّبَةً فَتَأْخُذُهُمْ تَحْتَ آبَاطِهِمْ ، فَتَقْبِضُ رُوحَ كُلِّ مُؤْمِنٍ وَكُلِّ مُسْلِمٍ ، وَيَبْقَى شِرَارُ النَّاسِ يَتَهَارَجُونَ فِيهَا تَهَارُجَ الْحُمُرِ ، فَعَلَيْهِمْ تَقُومُ السَّاعَةُ

"Allah mengutuskan Yakjuj dan Makjuj. Mereka akan bertebaran dari segala keturunan. Maka kalangan awal mereka melalui Tasik Tiberias lalu meminumnya. Kemudian lalu yang akhirnya, lalu berkata, dahulu terdapat air di kawasan ini. Mereka mengepung Nabi Isa A.S dan pasukannya sehingga nilai kepala lembu bagi mereka lebih tinggi dari 100 dinar, (keadaan lapar yang amat). Nabi Isa A.S dan pengikutnya memohon doa dari Allah, lalu Allah turunkan bala sehingga mereka mati sekali gus. Kemudian Nabi Isa dan pengikutnya turun, tidak ada sehasta pun tanah melainkam dipenuhi bangkai dan bau Yakjuj Makjuj. Nabi Isa dan pengikutnya memohon doa dari Allah, lalu diturunkan hujan yang sangat lebat sehingga membersihkan bumi dari segala kotoran Yakjuj Makjuj, kemudian dikatakan pada bumi tumbuhlah buahanmu dan kembalikan berkatmu. Dalam keadaan demikian, tuhan utuskan angin lembut mengambil nyawa setiap orang beriman dan Islam. Maka yang tinggal hanyalah manusia-manusia jahat saling bertelagah sesama sendiri. Maka ketika itu berlakulah kiamat."

[HR Muslim]

Setelah kerajaan Yahudi-Yakjuj Makjuj-Dajjal musnah, khilafah Islam akhir zaman akan tertegak, dan keamanan dicapai. Sabda Rasulullah S.A.W:

يَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ إِمَامًا عَادِلًا ، وَحَكَمًا مُقْسِطًا ، فَيَكْسِرُ الصَّلِيبَ ، وَيَقْتُلُ الْخِنْزِيرَ ، وَيُرْجِعُ السَّلْمَ ، وَيَتَّخِذُ السُّيُوفَ مَنَاجِلَ ، وَتَذْهَبُ حُمَةُ كُلِّ ذَاتِ حُمَةٍ ، وَتُنْزِلُ السَّمَاءُ رِزْقَهَا ، وَتُخْرِجُ الْأَرْضُ بَرَكَتَهَا ، حَتَّى يَلْعَبَ الصَّبِيُّ بِالثُّعْبَانِ فَلَا يَضُرُّهُ ، وَيُرَاعِي الْغَنَمَ الذِّئْبُ فَلَا يَضُرُّهَا ، وَيُرَاعِي الْأَسَدُ الْبَقَرَ فَلَا يَضُرُّهَا

"Nabi Isa A.S akan turun sebagai pemimpin yang adil dan pemerintah yang saksama. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi, dunia akan kembali aman, pedang akan berganti dengan sabit, manusia akan bebas dari wabak penyakit, langit akan menurunkan rezeki, bumi akan mengeluarkan keberkatan, sehingga kanak-kanak boleh bermain dengan ular tanpa memudaratkan, kambing digembalai oleh serigala tanpa memudaratkannya, dan singa mengembalai lembu tanpa memudaratkannya."

[HR Ahmad]

Justeru tidak perlu takut dengan bencana akhir zaman jika kita berpegang teguh dengan Islam. Ujian yang berlaku kini tidak langsung merencatkan perancangan tuhan merencana proses kebangkitan Islam.

21 Mei 2019
16 Ramadhan 1440

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 21/5/2019

 

MERAFAK sembah ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah, yang telah kembali ke rahmatullah pagi ini.

Marilah kita mendoakan roh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan dicucuri rahmat Allah, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh.

Al-Fatihah. - HARAKAHDAILY 22/5/2019

SEBELUM ini telah saya bangkitkan mengenai kenyataan Dato' Teng Chang Khim, bahawa Dr Maszlee bodoh dan kenyataan Dr P Ramasamy bahawa Dr Maszlee tidak berbeza dengan pemimpin Umno.
 
Begitupun, Lim Kit Siang sendiri kemudiannya menafikan bahawa DAP berkempen untuk menyingkirkan Dr Maszlee, sambil menambah "satu disiplin baru diperlukan oleh semua pihak dalam PH jika tidak Malaysia Baru tidak akan berjaya".
 
Malangnya, belum pun hilang panas kenyataan Lim Kit Siang ini, serangan keterlaluan terhadap Dr Maszlee diteruskan lagi oleh para pemimpin DAP yang lain sekali gus menjadikan penafian Lim Kit Siang satu penafian kosong yang tidak bererti.
 
Mengulangi kenyataan "bodoh" Dato' Teng Chang Khim, Ahli Jawatankuasa DAP Johor menulis: "Jahil (Stupid)! Penguasaan sesuatu bahasa termasuk Mandarin ataupun Tamil adalah suatu kemahiran... Keyakinan orang Melayu sering digodai oleh pemimpin seperti anda yang sering memutar belitkan fakta."
 
Mengulangi kenyataan "Umno" Dr P Ramasamy, Ahli CCC DAP merangkap Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu, pula menyifatkan kenyataan Dr Maszlee menyamai kenyataan Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Dato' Seri Ismail Sabri dan Dato' Seri Najib Razak.
 
Lebih jauh lagi, Ronnie Liu, mengulangi desakan yang pernah dibuat oleh Ong Boon Piow dan Abdul Aziz Isa, secara terbuka menggesa Perdana Menteri segera menggantikan Dr Maszlee dengan seorang Menteri Pendidikan yang lebih baik berbanding Dr Maszlee yang disifatkan sebagai Menteri Pendidikan untuk bangsa tertentu sahaja.
 
Malah, kali ini bukan setakat Dr Maszlee sahaja yang menjadi sasaran, tetapi pihak-pihak yang membuat kenyataan membela beliau juga turut menjadi mangsa bidasan para pemimpin DAP ini.
 
Termasuk di dalam kategori ini adalah Naib Canselor USM, Prof Dato' Dr Asma Ismail, yang diselar oleh Adun, Satees Muniandy, sebagai "pembodek Dr Maszlee", begitu juga dengan rekod USM dari segi pemberian Profesor kepada pensyarahnya yang turut dipersoalkan.
 
Begitu juga dengan Ahli EXCO Pemuda (ARMADA) BERSATU, Muzzammill Ismail, yang diselar beramai-ramai oleh 15 Ahli EXCO Pemuda (DAPSY) DAP kerana mengaitkan gesaan menghapuskan kuota kemasukan ke program matrikulasi dengan penghapusan sekolah vernakular (SJKC/SMKC dan SJKT/SMKT).
 
Tindakan agresif para pemimpin DAP ini menyebabkan ramai yang tertanya-tanya sama ada ini adalah bentuk 'disiplin baru' Lim Kit Siang, sama ada Lim Kit Siang sudah hilang kawalan ke atas DAP atau sama ada membiarkan pemimpin bawahan DAP mengkritik Menteri BERSATU adalah memang strategi DAP?
 
Jika benar Lim Kit Siang dan pemimpin tertinggi DAP lain tidak mempunyai sebarang agenda tersurat, mengapakah terlalu sukar untuk mereka menegur atau mendisiplinkan para pemimpin DAP yang cukup tidak berdisiplin ini? - HARAKAHDAILY 22/5/2019

PEMUDA PAS Selangor memuji dan menyokong ketegasan kenyataan Menteri Pendidikan dalam mempertahankan kuota Bumiputera untuk program matrikulasi walaupun mendapat tentangan hebat dari sebahagian pemimpin DAP.
 
Pemuda PAS Selangor bertegas bahawa apa yang dipertahankan oleh Menteri Pendidikan dalam isu ini adalah selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia dalam menjaga kedudukan keistimewaan kaum Bumiputera. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial yang telah lama diamalkan.
 
Pemuda PAS Selangor menyelarkan sebahagian pemimpin DAP yang mempolitikkan isu kuota matrikulasi dengan hujah rasis. Sedangkan matrikulasi telah pun dibuka kuota bagi pelajar bukan Bumiputera pada tahun 2002 sesi kemasukan 2003 dan ia telah pun bertambah. Malah menurut satu kenyataan dari Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di dalam negara Malaysia ini telah wujudnya sekolah vernakular seperti SJKC sebanyak 1,300 buah dan SJKT sebanyak 500 buah.
 
Pemuda PAS Selangor membidas sikap rasis yang sebenarnya namun didiamkan oleh pemimpin DAP apabila terdapat segelintir majikan yang menetapkan syarat fasih berbahasa Mandarin dalam mendapatkan pekerjaan. Perkara ini didedahkan oleh kajian Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang menunjukkan orang Cina lebih mudah mendapat temuduga di sektor swasta, berbanding orang Melayu dan India. Kajian itu juga menunjukkan wanita tak bertudung lebih mudah dipanggil temuduga daripada mereka yang bertudung.
 
Pemuda PAS Selangor meminta semua pihak untuk berhenti dari mempolitikkan isu kuota matrikulasi ini dengan menghormati Perkara 153 Perlembagaan Malaysia dan menjaga keharmonian dengan tidak membelakangi kontrak sosial yang telah lama diamalkan sejak kemerdekaan.
 
"Bangkit; Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah"
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Tarikh : 16 Ramadhan 1440 / 21 Mei 2019 - HARAKAHDAILY 21/5/2019

More Articles ...