22
Tue, Oct
24 Artikel Baru

مَّا لَهُم بِهِۦ مِنۡ عِلۡمٖ وَلَا لِأٓبَآئِهِمۡۚ كَبُرَتۡ كَلِمَةٗ تَخۡرُجُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡۚ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبٗا

"Mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta."

Penekanan utama ayat:

●     Berkata tanpa ilmu

Islam adalah agama ilmu. Perkataan pertama yang turun adalah اقرأ bererti bacalah, merujuk kepada wasilah ilmu. Mereka yang berpegang kepada ajaran Islam mestilah mereka yang meletakkan ilmu sebagai kepentingan utama.

Bercakap tanpa ilmu adalah perkara yang amat ditentang di dalam Islam. Firman Allah S.W.T:

إِذْ تَلَقَّوْنَهُ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللَّـهِ عَظِيمٌ

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya."

[an-Nur:15]

Golongan inilah yang digelar sebagai sesat lagi menyesatkan. ٍSabda Rasulullah S.A.W:

إن اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ النَّاسِ ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

"Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menarik langsung daripada para hambaNya, tetapi menarik ilmu dengan mematikan para ulama'. Sehingga apabila tiada lagi seorang alim yang tinggal, maka dilantik kalangan orang jahil sebagai pemimpin. Maka mereka ditanya lalu mengeluarkan pandangan tanpa ilmu, lalu mereka sesat lagi menyesatkan"

[HR Bukhari & Muslim] 

●     Anti taqlid buta

Tuhan sengaja memetik لآباءهم  bermaksud bapa-bapa mereka, bagi merujuk bahawa bapa-bapa mereka juga tidak tahu. Tetapi tabiat manusia mudah dipengaruhi cakap-cakap orang tua sehingga ke tahap kepercayaan akidah. Sedangkan ajaran Islam adalah terbina atas asas ilmu, bukan ikut-ikutan. Sikap taqlid buta amat-amat ditentang dalam Islam kerana ia bertentangan dengan prinsip keilmuan. Firman Allah SWT:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللَّـهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۗ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ 

"Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?"

[Al-Baqarah 168]

     Bahaya lidah

Lidah tidak bertulang ini walaupun lembut, tetapi kesannya sangat besar dalam kehidupan. Dengan lidah kita diiktiraf sebagai Islam iaitu dengan lafaz syahadah. Lidah juga menjadi satu antara tiga jalan seseorang boleh jatuh ke lembah kekufuran. Justeru menjaga lidah adalah sesuatu yang teramat penting di dalam Islam. Sabda Rasulullah ketika menerangkan tentang gambaran Islam kepada Muaz bin Jabal:

ألا أخبرك بمِلاك ذلك كله؟)) فقلت: بلى يا رسول الله، فأخذ بلسانه وقال: ((كف عليك هذا))، قلت: يا نبي الله، وإنا لمؤاخذون بما نتكلم به؟! فقال: ((ثكلتك أمك يا معاذ، وهل يكُبُّ الناسَ في النار على وجوههم - أو قال: على مناخرهم - إلا حصائدُ ألسنتهم)

"Tidakkah kamu mahu aku khabarkan tentang asas bagi segala perkara tersebut? Jawab Muaz: "Ya Wahai Rasulullah." Muaz bertanya: "Wahai Nabi Allah, adakah kami akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kami kata?" Jawab Rasulullah SAW: "Semoga ibumu mengasihanimu. Tidaklah seseorang dihumban ke dalam neraka melainkan daripada hasil kata-kata mereka.""

[HR Tirmizi]

     Penipuan trademark musuh Islam

Islam agama kebenaran. Kebenaran di sisi tuhan hanya satu. Justeru bagi menentang Islam, senjata musuh mestilah lawan kebenaran iaitu pembohongan. Mereka menggunakan lidah mereka menyebarkan pembohongan demi menutup hakikat Islam. Firman Allah S.W.T:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)."

[As-Saff: 8]

Umat Islam perlu menjauhi sifat menipu. Ia adalah lambang kemunafikan. Sabda Rasulullah S.A.W:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاثٌ : إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ ، وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ

"Tanda orang munafik ada tiga. Jika dia bercakap dia berbohong. Jika dia berjanji dia mungkir. Jika dia diberi amanah dia khianat."

[HR Bukhari & Muslim]

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini juga merupakan satu antara 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Bagi menentang tipu daya Dajjal adalah dengan membina generasi umat Islam yang berilmu. Ilmu pula mestilah bersumberkan kepada wahyu yang sahih, disokong dengan ilmu-ilmu akademik yang lain dan ilmu-ilmu moden yang banyak.

Malangnya hari ini kita hidup di era post-truth, era ilmu dan kebenaran sudah ditinggalkan. Secara ringkas, Post-Truth adalah satu istilah bagi menggambarkan keadaan di mana manusia sudah tidak mementingkan kebenaran sebagai asas pegangan. Sesuai dengan terjemahan secara literalnya ‘selepas kebenaran’, ia seolah merujuk kepada maksud bahawa era kebenaran telahpun berlalu ataupun kebenaran telahpun mati. Kamus Oxford menerangkan bahawa Post-Truth adalah keadaan di mana fakta objektif tidak begitu berpengaruh dalam membentuk pandangan awam berbanding emosi dan pandangan peribadi. Menurut kamus Cambridge juga menerangkan keadaan yang sama, di mana Post-Truth adalah situasi di mana manusia lebih suka untuk menerima argumen berdasarkan emosi dan pandangan peribadi mereka, berbanding dengan fakta.

Lapan kata kunci bagi memahami post-truth:

Penipuan

Perspektivisme

Persepsi

Emosi

Propaganda

Teori Konspirasi

Kebebasan Berpendapat

Media Sosial

Fenomena post-truth sebenarnya sudah dijelaskan oleh Nabi S.A.W sejak 1400 tahun dahulu. Sabda Baginda S.A.W:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ , وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ , وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ ، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قَالَ : الرَّجُلُ التَّافِهُ يَنْطِقُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

"Akan datang kepada manusia, tahun-tahun yang banyak pembohongan. Padanya dibenarkan pembohong dan orang yang benar dituduh berbohong. Pengkhianat diberikan kepercayaan dan orang yang jujur dikhianati. Dan ketika itu golongan ruwaibidhah gemar bercakap". Sahabat bertanya "Apakah itu Ruwaibidhah?". Jawab Nabi "Orang yang lekeh tetapi bebas berbicara perkara besar" 

 [HR Ibn Majah]

Secara ringkasnya, hadis ini menjelaskan fenomena 'Post Truth':

•     Penipuan yang dahsyat dan terlalu banyak.

•     Ketika itu paradigma manusia menjadi songsang.

•     Pembohongan dan pengkhianatan mendapat sambutan.

•     Kejujuran dan keadilan disisihkan kerana dianggap sebagai beban.

•     Budaya pembodohan dan onar dipupuk. Lalu masyarakat yang telah dibodohkan bebas untuk memberi pendapat dan disuruh memilih.

Dengan ilmu, kita bukan sahaja berjaya menentang fitnah Dajjal, tetapi kita juga akan meramaikan kawan kerana post-truth tidak hanya ditentang oleh Islam, tetapi juga oleh ahli akademik keseluruhannya yang berpijak atas paksi ilmu.

Nabi S.A.W mengajarkan doa supaya sentiasa berada di jalan yang benar dan menjauhi jalan batil. Sabdanya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ وَلاَ تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلُّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا

 "Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya serta menghapuskannya. Jangan jadikan yang benar dan batil itu samar-samar bagi kami, yang akan menyebabkan kami sesat. Dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa."

[HR Bukhari & Muslim]

4 Ramadhan 1440
9 Mei 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 9/5/2019

 

DENGAN keizinan Allah, saya berkesempatan berbahas mengenai Rang Undang-undang Levi Pelepasan 2019 di Dewan Negara, semalam.

Walaupun mengambil masa yang singkat berbahas, namun ada beberapa perkara yang saya ingin gariskan berkaitan implikasi pelaksanaan levi pelepasan ini yang perlu diperhalusi semula oleh Kerajaan.

Pertama, caj levi pelepasan ini satu tambahan bebanan kepada rakyat khususnya yang sedia terbeban dengan SST dan caj perkhidmatan lain. Apakah Kerajaan tidak boleh memikirkan suatu mekanisme lain dalam meluaskan (diversity) pendapatan negara?

Kedua, caj levi pelepasan boleh menjejaskan sektor pelancongan secara tidak langsung. Berdasarkan kajian Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyatakan Malaysia akan menghadapi penurunan jumlah penumpang sebanyak 835,000 setahun yang berlepas dari negara ini jika caj levi pelepasan ini dilaksanakan. Ia suatu perkara yang perlu diperhalusi dengan lebih mendalam.

Justeru, tindakan tidak menyokong RUU Levi Pelepasan 2019 yang dicadangkan adalah wajar dan jelas ia tiada keperluan bagi Kerajaan untuk mewujudkan caj baharu yang dilihat membebankan rakyat serta memberi kesan pada sektor pelancongan di peringkat ASEAN khususnya.

“Islam Memimpin”

SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara
9 Mei 2019 / 4 Ramadhan 1440 – HARAKAHDAILY 9/5/2019

PEMIKIRAN mengenai teori-teori kenegaraan telah mula dikembangkan dalam sejarah Islam sejak abad kedua Hijrah lagi. Tokoh terawal yang memperkatakan teori negara dalam Islam ialah Qadhi Abu Yusof (113-182H). Beliau merupakan murid kanan kepada Imam Abu Hanifah dan guru kepada Imam Syafie. Imam Syafie mempelajari fiqh Mazhab Hanafi dengan beliau di Baghdad. Abu Yusof mengemukakan teori negaranya melalui beberapa karyanya, terutama al-Kharaj.

Abu Yusof menekankan soal kepentingan awam (maslahah al-ammah) dalam membahaskan hal-hal kenegaraan. Kebanyakkan gagasan beliau tentang kenegaraan ini ditujukan kepada Khalifah Harun ar-Rashid. Sebagai ahli ra'yu, beliau banyak mengembangkan pemikiran, dasar dan pendekatan Syaidina Umar ibnu al-Khattab dalam hal-hal kenegaraan berasaskan konsep maslahat.

Abu Yusof dan karya-karyanya

Qadhi Abu Yusof atau nama sebenarnya, Yaakub bin Ibrahim bin Habib bin Khunais bin Sa'ad al-Ansari al-Jalbi al-Kufi al-Baghdadi. Beliau lahir pada 113H di Kufah dan meninggal dunia pada 182H di Baghdad. Beliau merupakan murid utama Imam Abu Hanifah, selain Muhammad al-Hassan. Karya-karya beliaulah yang menggalurkan pendekatan atau turuq Mazhab Imam Abu Hanifah itu. Pada zaman Khalifah Harun ar-Rashid, beliau dilantik sebagai Qadhi al-Qudhah (Ketua Hakim Negara).

Abu Yusof terkenal sebagai ulamak yang mendukung aliran ar-ra'y, yang banyak menggunakan pendekatan qias (analogi), yang kemudiannya mempengaruhi pemikiran fiqh dan ketatanegaraannya. Antara karya-karya utama yang dihasilkan oleh beliau ialah al-Kharaj, al-Jawami', ar-Radd ala Siyar al-Auza'ie al-Athsar. Ikhtilaf Abu Hanifah wa Ibn Abi Laila dan lain-lain. Karya-karya beliau adalah rujukan paling autentik tentang Mazhab Hanafi.

Teori kewajipan negara

Abu Yusof mengemukakan tiga konsep utama dalam memperkatakan tentang kewajipan negara. Asas kepada kewajipan negara ini adalah supaya seluruh kepentingan rakyat atau maslahah al-ammah dapat dijaga. Tiga dasar tersebut ialah (1) pengendalian pemerintahan yang efektif, (2) pemeliharaan hak rakyat, dan (3) pengelolaan kewangan awam. Ketiga-tiga dasar ini menjadikan sebuah negara atau kerajaan itu dapat menjamin kemaslahatan rakyat.

I.     Pengelolaan pemerintahan yang efektif

Bagi Abu Yusof, pemerintahan yang cekap akan wujud apabila setiap dasar negara disusun dan digubal dapat memenuhi kepentingan rakyat. Oleh itu, apa sahaja dasar negara yang menyentuh maslahat rakyat mestilah menepati sasaran dan memenuhi aspek kemaslahatan tersebut. Tugas utama kerajaan adalah untuk mewujudkan dan menjamin kesejahteraan rakyat. Maka menjadi kewajipan bagi setiap pemerintah untuk memenuhi keperluan rakyat dan mengembangkan dasar-dasar yang berorientasikan kesejahteraan umum.

Abu Yusof pernah memetik surat Umar kepada Abu Musa al-Asy'ari tentang kewajipan pemerintah,

"Pemerintah yang baik di sisi Allah adalah mereka yang memakmurkan rakyat. Manakala pemerintah yang buruk di sisi Allah adalah mereka yang menyusahkan rakyatnya. Berhati-hatilah wahai pemimpin negara. Jika kamu korup, orang bawah kamu akan mengikuti jejak kamu. Bila kamu melakukan korup, dirimu itu selayaknya seperti seekor binatang yang menemui kebun hijau, lalu melahap setiap tumbuhan di situ. Ia mengira bahawa tubuhnya semakin gemuk, tetapi kegemukkan itu ternyata membinasakannya."

II.      Pemeliharaan hak rakyat

Ketua negara adalah berkewajipan memelihara semua hak rakyat. Kerana itu mereka mesti menjelaskan secara transparen kepada rakyat berkait harta dan kekayaan negara, program-program kerajaan dan semua perkara yang berkait pemenuhan hak rakyat. Negara mesti menjelaskan hak-hak dan kewajipan rakyat, terutama berkait dengan undang-undang. Ini tidak bermakna ketua negara berhak menetapkan undang-undang, melainkan menjalankan tugas mereka sebagai eksekutif yang menjalankan hukum-hukum yang ditetap oleh para fuqaha'.

III.      Pengelolaan kewangan awam

Abu Yusof adalah fuqaha' terawal membahaskan isu ekonomi politik dalam pengurusan negara. Ia melibatkan dasar-dasar pengelolaan pendapat, kekayaan dan kewangan negara, terutama percukaian. Bagi beliau, prinsip keadilan dalam pengelolaan kekayaan negara dan sistem percukaian akan meningkatkan kemakmuran negara, jika sebaliknya negara akan runtuh. Percukaian yang adil dan penerapan denda syariat secara adil akan mendatangkan kemakmurkan kepada rakyat dan kerajaan akan memperolehi manfaatnya.

Pembangunan ekonomi negara

Sebagai pelopor pemikiran ekonomi politik dalam kenegaraan Islam, Abu Yusof terkenal dengan teori-teori ekonomi negara Islam yang dituangkan dalam karyanya, al-Kharaj. Antara gagasan penting beliau ialah:

1.     Kekayaan atau hasil negara adalah menerusi percukaian ke atas aktiviti komersial, termasuk cukai (kharaj) yang dipungut bagi penggunaan kemudahan awam untuk tujuan komersial.

2.     Kutipan bayaran atau duti import dari negara lain, mencontohi tindakan Umar mengenakan 'usyur ke atas pedagang asing yang membawa barang dagangan dari luar.

3.     Kerajaan hendaklah mengeluarkan belanjawan tahunan sebagai anggaran rasmi negara, melibatkan pembangunan kemudahan awam serta pemuliharaan tanah untuk kemakmuran dan produktiviti yang menjadi tanggungjawab negara.

4.     Kerajaan tidak bertanggungjawab untuk mengawal harga barang, sebaliknya menyerahkan kepada kebebasan pasaran. Bagi Abu Yusof, turun naik harga barang bergantung kepada ketentuan Allah.

5.     Mewujudkan sistem irrigation (perairan) untuk kesamarataan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Kerajaan bertanggungjawab membina tali air baru dan membaik pulih tali air lama untuk menyuburkan tanah dan memajukan pertanian.

Kewajipan asas negara

Menurut Abu Yusof, secara operational yang berkait dengan pengurusan negara, terdapat dua kewajipan kerajaan, iaitu:

1.     Peraturan kemudahan awam. Kerajaan perlu mengadakan undang-undang berkait kemudahan awam yang bertujuan untuk pemanfaatan sumber alam. Sumber alam yang asas perlu disediakan secara percuma oleh kerajaan dan mencegah monopoli terhadap kekayaan alam awam.

2.     Pengelolaan kewangan awam. Kerajaan bertanggungjawab ke atas percukaian dan pengagihannya untuk kemakmuran rakyat.


MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) - HARAKAHDAILY 8/5/2019

قَيِّمٗا لِّيُنذِرَ بَأۡسٗا شَدِيدٗا مِّن لَّدُنۡهُ وَيُبَشِّرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرًا حَسَنٗا

"Al-Quran bersifat lurus bagi memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik."

مَّٰكِثِينَ فِيهِ أَبَدٗا

"Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya."

Penekanan utama ayat:

●     Istiqamah al-Quran

Perkataan قيم diterangkan sebagai مستقيم bermaksud lurus atau istiqamah di atas kebenaran. Itulah ciri-ciri utama al-Quran iaitu bersifat benar dalam segala yang dinyatakan, dan akan kekal benar walau apapun yang berlaku. 

Al-Quran adalah paksi istiqamah. Seorang yang mengaku istiqamah perlu berpegang dengan kebenaran yang dibawa oleh al-Quran. Kebersamaan kita dengan mana-mana pihak adalah bergantung kepada sejauh mana pihak tersebut istiqamah dengan ajaran al-Quran.

●     Memperbetulkan kesalahan terdahulu

Al-Quran juga turun dengan menggalas peranan islah iaitu memperbetulkan kesalahan yang berlaku sebelumnya yang disebut sebagai zaman Jahiliah. Secara khusus al-Quran memfokuskan kesesatan ajaran Musyrikin Arab, Kristian dan juga Yahudi. Walau bagaimanapun, ibrahnya boleh diambil bagi memperbetulkan kesalahan apa jua agama, falsafah dan ideologi lain merentas zaman.

●     Keutamaan menegah berbanding mengajak

Allah memulakan dengan لينذز iaitu memberi amaran berbanding يبشر iaitu memberi khabar gembira, bagi menunjukkan kepentingan menegah keburukan berbanding mengajak kebaikan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح  

"Menolak keburukan lebih diutamakan berbanding mendatangkan kebaikan."

●     Percaya kuasa tuhan

Perkataan من لدنه bermaksud dari sisinya khusus merujuk segalanya adalah kuasa Allah S.W.T. Justeru itu ia mengajak supaya kita sentiasa merasa takut kepadaNya supaya perasaan tersebut boleh menjaga diri kita daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaanNya. Juga supaya kita tidak takut kepada selain daripada Allah yang cuba mengugut.

●     Keyakinan terhadap janji Allah

Antara sifat beriman adalah sentiasa optimis dengan janji tuhan. Rahsia umat terdahulu kekal istiqamah hingga ke akhir hayat adalah kerana mereka sentiasa menelaah al-Quran yang sarat dengan janji-janji syurga selain habuan dunia.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini juga merupakan satu antara 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Antara fitnah Dajjal adalah mampu menawarkan janji materialistik sehingga boleh menyebabkan orang sanggup kufur dengan menjual agama mereka demi habuan dunia. Sabda Rasulullah S.A.W:

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا، أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا، يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا

"Bersegeralah melakukan amal sebelum tibanya fitnah kekeliruan umpama malam yang gelap gelita yang boleh menyebabkan pagi beriman, petang kufur. Jika petang beriman, esok pagi kufur. Menjual agama dengan tawaran dunia."

[HR Muslim]

Jalan untuk selamat daripada tipu daya Dajjal antaranya adalah sentiasa perbaharui niat kehidupan kita. Ingat bahawa tujuan utama tuhan ciptakan adalah untuk beribadat semata-mata. Firman Allah S.W.T:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

[Az-Zariyat: 56]

Matlamat kita adalah redha Allah di akhirat. Itulah kejayaan teragung sebagaimana firman Allah:

 رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ وَأَعَدَّ لَهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي تَحۡتَهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدٗاۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ

"Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar."

[At-Tawbah:100]

Justeru hidup di dunia hanyalah ibarat laluan untuk ke akhirat. Hiduplah umpama kita akan mati esok hari, bukan selama-lamanya. Sabda Rasulullah S.A.W:

كُنْ في الدُّنْيا كأَنَّكَ غريبٌ، أَوْ عَابِرُ سبيلٍ

"Beradalah di dunia seumpama kamu orang asing (bukan tempat asal), atau sekadar pelintas jalan."

[HR Bukhari]

Jadilah orang yang bijak sebagaimana sabda Baginda:

الكَيِّس مَنْ دَانَ نَفْسَهُ، وَعَمِلَ لِما بَعْدَ الْموْتِ، وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَه هَواهَا، وتمَنَّى عَلَى اللَّهِ

"Orang yang bijak adalah mereka yang sentiasa muhasabah diri dan beramal untuk hari selepas mati. Orang yang bodoh pula adalah mereka yang mengikut hawa nafsu namun berharap macam-macam dengan Allah."

[HR Tirmizi]

InsyaAllah dengan matlamat yang jelas (the end in mind), hasutan fitnah Dajjal dan konco-konconya tak akan menggugat. Walaupun terpaksa berlapar dahaga. Sabda Rasulullah S.A.W:

وَإِنَّ قَبْلَ خُرُوجِ الدَّجَّالِ ثَلَاثَ سَنَوَاتٍ شِدَادٍ , يُصِيبُ النَّاسَ فِيهَا جُوعٌ شَدِيدٌ , يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الْأُولَى أَنْ تَحْبِسَ ثُلُثَ مَطَرِهَا , وَيَأْمُرُ الْأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَ نَبَاتِهَا , ثُمَّ يَأْمُرُ السَّمَاءَ فِي الثَّانِيَةِ فَتَحْبِسُ ثُلُثَيْ مَطَرِهَا , وَيَأْمُرُ الْأَرْضَ فَتَحْبِسُ ثُلُثَيْ نَبَاتِهَا , ثُمَّ يَأْمُرُ اللَّهُ السَّمَاءَ فِي السَّنَةِ الثَّالِثَةِ فَتَحْبِسُ مَطَرَهَا كُلَّهُ , فَلَا تُقْطِرُ قَطْرَةً , وَيَأْمُرُ الْأَرْضَ فَتَحْبِسُ نَبَاتَهَا كُلَّهُ , فَلَا تُنْبِتُ خَضْرَاءَ , فَلَا تَبْقَى ذَاتُ ظِلْفٍ إِلَّا هَلَكَتْ إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ , قِيلَ : فَمَا يُعِيشُ النَّاسُ فِي ذَلِكَ الزَّمَانِ ؟ قَالَ : " التَّهْلِيلُ وَالتَّكْبِيرُ , وَالتَّسْبِيحُ وَالتَّحْمِيدُ , وَيُجْرَى ذَلِكَ عَلَيْهِمْ مُجْرَى الطَّعَامِ

"Sebelum keluarnya Dajjal, akan berlaku tiga tahun yang amat dahsyat. Manusia akan dilanda kemarau yang teruk. Allah akan memerintahkan langit menahan satu pertiga airnya daripada hujan dan bumi menahan satu pertiga tanaman daripada tumbuh. Pada tahun kedua, Allah akan memerintahkan langit menahan dua pertiga airnya daripada hujan dan bumi menahan dua pertiga tanaman daripada tumbuh. Pada tahun ketiga, Allah akan memerintahkan langit menahan semua airnya daripada hujan dan bumi menahan semuatanaman daripada tumbuh. Tiada setitis pun air hujan dan tiada sepohon tanamanpun tumbuh menyebabkan ternakan habis binasa. Ditanya: Bagaimana manusia hidup kala itu? Sabda Baginda: Dengan bertahlil, takbir, tasbih dan tahmid. Ia akan menjadi makanan (bagi orang beriman)."

[HR Ibn Majah]

2 Ramadhan 1440
7 Mei 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 7/5/2019

 

Foto hiasan.

KERAJAAN diminta untuk membuat kajian semula secara holistik peraturan baharu yang membenarkan orang awam memasang cermin gelap sepenuhnya.

che aliasPelaksanaan peraturan ini banyak memberi keburukan terutama yang melibatkan operasi pemeriksaan pihak berkuasa dan badan keselamatan seperti pihak polis yang membuat memeriksaan sama ada kepada pemandu mahupun penumpang.

Saya berasa kecewa apabila Menteri pengangkutan mengumumkan peraturan baharu ini tanpa mengambil pandangan daripada pihak penguatkuasa terutama pihak polis.

Malah peraturan ini dilihat berat sebelah apabila pemohon dikenakan caj RM50 ke atas setiap permohonan dan bayaran sebanyak RM5,000 jika permohonan diluluskan bagi memohon pemasangan cermin gelap sepenuhnya.

Polisi tersebut bersifat "mesra-orang kaya" kerana Kerajaan seolah-olah dilihat hanya memikirkan keuntungan semata-mata dengan membelakangkan keselamatan awam.

“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
9 Mei 2019 / 4 Ramadhan 1440 – HARAKAHDAILY 9/5/2019

وَيُنذِرَ ٱلَّذِينَ قَالُواْ ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ وَلَدٗا

"Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:" Allah mempunyai anak"."

Penekanan utama ayat:

●        Al-Quran perangi syirik

Syirik ertinya mempersekutukan Allah atau menyamakan Allah dengan makhluk. Ayat ini menegah mereka yang berkata tuhan memiliki anak. Kepercayaan ini menyebabkan seseorang boleh menjadi kufur. Sedangkan tuhan menegaskan bahawa dia satu tidak beranak. Firman Allah:

لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ 

"Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan"

[Al-Ikhlas:3]

Syirik adalah penyakit akidah dan menjadi dosa terbesar di sisi Islam. Jika mati dalam keadaan demikian, mereka akan kekal di dalam neraka. Oleh itu, sebahagian besar ayat-ayat al-Quran adalah melibatkan soal akidah.

●     Musyrik, Yahudi dan Kristian

Kepercayaan tuhan memiliki anak ini dikongsi oleh tiga agama. Kepercayaan Musyrikin Arab bahawa malaikat anak perempuan Allah, Kristian yang menganggap Nabi Isa anak tuhan, dan kepercayaan Yahudi purba bahawa Uzair anak tuhan. Firman Allah S.W.T:

وَيَجۡعَلُونَ لِلَّهِ ٱلۡبَنَٰتِ سُبۡحَٰنَهُۥ وَلَهُم مَّا يَشۡتَهُونَ

"Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Ia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki)."

[An-Nahl:57]

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ عُزَيۡرٌ ٱبۡنُ ٱللَّهِ وَقَالَتِ ٱلنَّصَٰرَى ٱلۡمَسِيحُ ٱبۡنُ ٱللَّهِۖ  

"Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah"."

[At-Tawbah:30]

Kesemua pegangan manusia ini berasal dari ajaran iblis yang telah berjanji ingin menyesatkan anak Adam sehingga kiamat. Tanpa tipu daya Iblis, mustahil manusia boleh menganggap tuhan memiliki anak. Ia bertentangan dengan logik akal dan juga fitrah insani. Iblis adalah musuh utama manusia.

●     Berani mendedah kesyirikan

Walaupun Islam tidak memaksa manusia menganutnya, tetapi Islam mewajibkan pendakwah agar menyelamatkan manusia seramai mungkin daripada kesesatan pegangan selain daripada Islam. Berani menyatakan agama dan pegangan lain salah, dan mempertahankan kebenaran agama ini dengan hujah yang kukuh.

Racun pemikiran Liberalisme cuba untuk menghakis pendekatan ini dengan mengatakan semua agama adalah benar, dan Islam tidak ada hak untuk mengatakan mereka lebih benar berbanding agama lain. Pluralisme agama sedikit demi sedikit meresap dalam kalangan umat Islam, sehinggakan perbahasan interfaith secara ilmiah sebagaimana yang diamalkan Dr Zakir Naik disekat habis-habisan.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini juga merupakan satu antara 10 ayat pertama yang Rasulullah pesan agar membacanya bagi menyelamatkan diri daripada fitnah Dajjal. Fitnah Dajjal boleh membawa kepada syirik. Walaupun pada awalnya Dajjal bergerak atas nama Islam, tetapi selepas itu dia akan mengaku sebagai Nabi dan akhirnya, mengaku sebagai tuhan. Sabda Rasulullah S.A.W:

الدجالُ ليس به خفاءٌ يَجيءُ منقِبلِ المشرقِ فيَدعو إلى الدينِ فيُتَّبَعُ ويظهرُ فلا يزالُ حتى يقدمَ الكوفةَفيُظهِرُ الدينَ ويعملُ به فيتبعُ ويحثُّ على ذلك ثم يدَّعي أنَّهُ نبيٌّ فيفزعُمن ذلك كلُّ ذي لُبٍّ ويفارقُهُ فيمكثُ بعد ذلك فيقولُ أنا اللهُ فتُغشى عينُهُوتُقطَعُ أذنُهٌ ويكتبُ بين عينيْهِ كافرٌ فلا يَخفى على كلِّ مسلمٍ فيفارقُهُ كلُّ أحدٍ منَ الخلقِ في قلبِهِ مِثقالُ حبةٍ من خَردلٍ من إيمانٍ

"Tanpa syak lagi Dajjal akan muncul dari arah Timur. Diaakan mengajak kepada agama maka dia akan diikuti dan menzahirkannya. Kemudian pergi ke Kufah, kemudian mengaku sebagai Nabi. Yang berakal akan meninggalkannya. Selepas itu dia mengaku pula akulah Allah!. Ketika itu matanya dicederakan, telinganya dipotong, dan dahinya tertulis kafir. Orang Islam yang memiliki iman sebesar biji sawi akan meninggalkannya."

[HR Thabrani]

Ditakdirkan tuhan, Dajjal diberikan kelebihan seolah-olah memiliki kuasa tuhan. Dajjal boleh mengawal cuaca:

فَيَأْتِي عَلَى الْقَوْمِ فَيَدْعُوهُمْ فَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَجِيبُونَ لَهُ ، فَيَأْمُرُ السَّمَاءَ فَتُمْطِرُ ، وَالأَرْضَ فَتُنْبِتُ ، فَتَرُوحُ عَلَيْهِمْ سَارِحَتُهُمْ - الماشية - أَطْوَلَ مَا كَانَتْ ذُرًا - الأعالي والأسنمة - وَأَسْبَغَهُ ضُرُوعًا ، وَأَمَدَّهُ خَوَاصِرَ - كناية عن الامتلاء وكثرة الأكل - . ثُمَّ يَأْتِي الْقَوْمَ فَيَدْعُوهُمْ فَيَرُدُّونَ عَلَيْهِ قَوْلَهُ فَيَنْصَرِفُ عَنْهُمْ فَيُصْبِحُونَ مُمْحِلِينَ لَيْسَ بِأَيْدِيهِمْ شَيْءٌ مِنْ أَمْوَالِهِمْ .

"Dajjal akan mendatangi sesuatu kaum lalu menyeru supaya mengikutinya, lalu kaum tersebut mengikutinya. Maka dia memerintahkan langit untuk hujan dan bumi untuk mengeluarkan tumbuhan. Maka binatang-binatang peliharaan mereka menjadi gemuk dan sihat. Kemudian dia mendatangi sesuatu kaum lalu menyeru supaya mengikutinya, lalu kaum tersebut menolak dan meninggalkan Dajjal. Keesokan harinya mereka dapati tanaman mereka tidak menjadi."

[HR Muslim]

Dajjal boleh menghidupkan orang mati. Sabda Rasulullah S.A.W:

يَأْتِي الدَّجَّالُ ، وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْهِ أَنْ يَدْخُلَ نِقَابَ المَدِينَةِ ، فَيَنْزِلُ بَعْضَ السِّبَاخِ الَّتِي تَلِي المَدِينَةَ ، فَيَخْرُجُ إِلَيْهِ يَوْمَئِذٍ رَجُلٌ ، وَهُوَ خَيْرُ النَّاسِ - أَوْ مِنْ خِيَارِ النَّاسِ - فَيَقُولُ أَشْهَدُ أَنَّكَ الدَّجَّالُ الَّذِي حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثَهُ ، فَيَقُولُ الدَّجَّالُ: أَرَأَيْتُمْ إِنْ قَتَلْتُ هَذَا ، ثُمَّ أَحْيَيْتُهُ ، هَلْ تَشُكُّونَ فِي الأَمْرِ؟ فَيَقُولُونَ: لاَ ، فَيَقْتُلُهُ ثُمَّ يُحْيِيهِ ، فَيَقُولُ: وَاللَّهِ مَا كُنْتُ فِيكَ أَشَدَّ بَصِيرَةً مِنِّي اليَوْمَ ، فَيُرِيدُ الدَّجَّالُ أَنْ يَقْتُلَهُ فَلاَ يُسَلَّطُ عَلَيْهِ 

"Dajjal datang dan diharamkan baginya memasukinya terowong ke Madinah, maka dia pergi ke beberapa kawasan bergaram berhampiran Madinah, maka pada suatu hari seorang lelaki yang dikira sebaik-baik manusia pada waktu itu pergi kepada Dajjal lalu berkata: aku bersaksi bahawa kamulah Dajjal yang Rasulullah S.A.W ceritakan pada kami! Lalu Dajjal membalas dengan berkata kepada pengikutnya: Sekiranya aku membunuh dia, kemudian aku hidupkannya kembali, adakah kalian akan meragui diriku? Jawab pengikutnya, tidak. Maka Dajjal membunuhnya dan menghidupkannya kembali. Lelaki itu berkata: Demi Allah, semakin jelas benarnya bahawa kamu adalah Dajjal! Lalu Dajjal ingin membunuhnya semula tetapi lagi mampu."

[HR Bukhari & Muslim]

Dajjal boleh meletakkan syurga dan neraka di tangannya. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَعَهُ نَهْرَانِ يَجْرِيَانِ أَحَدُهُمَا رَأْيَ الْعَيْنِ مَاءٌ أَبْيَضُ وَالآخَرُ رَأْيَ الْعَيْنِ نَارٌ تَأَجَّجُ ، فَإِمَّا أَدْرَكَنَّ أَحَدٌ فَلْيَأْتِ النَّهْرَ الَّذِي يَرَاهُ نَارًا وَلْيُغَمِّضْ ثُمَّ لْيُطَأْطِئْ رَأْسَهُ فَيَشْرَبَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مَاءٌ بَارِدٌ

"Di tangan Dajjal terdapat dua sungai. Salah satunya sungai berair jernih dan satu lagi berupa api yang marak. Sekiranya kamu sempat pada zaman itu maka pergilah ke arah sungai yang berupa api itu. Tutuplah mata dan tenggelamkan kepala lalu minumlah darinya. Sesungguhnya itu adalah air yang sejuk."

[HR Muslim]

Akidah Islam yang sahih adalah benteng utama daripada tergelincir daripada mengikuti Dajjal. Melalui hadis di atas, kita boleh melihat orang yang awalnya terpedaya dan menjadi pengikut Dajjal mula tersedar dan meninggalkannya apabila dia mula mengaku sebagai Nabi.

Maka menuntut ilmu bagi membina akidah yang sahih adalah kewajipan fardu ain yang teramat perlu di akhir zaman. Ancaman akidah kini tidak lagi dalam bentuk falsafah kuno atau agama-agama lain, tetapi lebih kepada ideologi moden yang bertunjangkan materialism dan humanisme. Memahami ideologi-ideologi adalah keperluan mendesak umat Islam supaya tidak tertipu dengan fitnah Dajjal.

3 Ramadhan 1440
8 Mei 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 8/5/2019

 

BANTAHAN Timbalan Ketua Menteri, Dr P Ramasamy terhadap cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (LTAK), jelas bernada emosi. Beliau mendakwa terdapat cubaan mengurangkan tarikan dan menghukum atas kejayaan dicapai negeri ini.
 
Tetapi paling melampau apabila Ramasamy turut mengaitkan hal tersebut dengan dominasi Melayu dan komposisi kaum yang 'ganjil' dalam pembangunan bandar dan komersial. Apakah beliau sedar ianya satu tuduhan dan juga satu pengakuan?
 
Dengan penyataan itu Ramasamy telah menuduh wujud sikap dan keputusan berasaskan perkauman Melayu yang tidak adil dan seolah telah menindas kaum lain. Ketika sama mengaku berlaku perubahan komposisi kaum yang menguasai bandar dan komersial.
 
Ternyata, Ramasamy tidak pernah menyingkirkan sentimen perkaumannya yang ekstrem, lalu menuduh pihak lain juga seperti dirinya. Tetapi membuka pekung dan menyedari hakikat bahawa berlakunya perubahan komposisi kaum di negeri ini.
 
Sediakah Ramasamy mengesahkan bahawa ianya terjadi lantaran polisi dan agenda Kerajaan DAP Pulau Pinang sendiri telah, sedang dan akan mengusir penduduk secara strategik? Atas nama pembangunan dan kemajuan, penduduk asal baik Melayu, Cina mahupun India diabaikan.
 
DAP begitu teruja menjadikan Pulau Pinang seperti Hong Kong dan Singapura, lalu penduduk tanpa mengira kaum kerana miskinnya mereka, maka akan dihambat keluar? Walhal, mereka yang sedang memiliki hartanah mewah bukanlah anak kelahiran jati pulau ini.
 
Malah, ketika Ramasamy emosi mempersoal logik lapangan terbang di Alor Setar dan Pulau Langkawi, tidakkah beliau melihat logik sama atas lapangan terbang di negeri ini? Malah semua projek dirancang DAP sedang berdepan kontoversi kajian kelayakan.
 
Tidak perlu Ramasamy pertikaikan mengenai penilaian impak sosial, trafik dan alam sekeliling; sedangkan Pulau Pinang juga gagal memenuhinya. Malah, paling buruk, projek di negeri ini terpalit dengan skandal rasuah yang siasatannya belum diklarifikasi.
 
Ramasamy perlu hentikan emosi kaum dan suara negatif dizahir beliau. Sebaliknya fikirkan pembangunan dan keperluan Wilayah Utara keseluruhan bersama masa depannya. Kita tidak hidup lama, tetapi mesti mewariskan yang terbaik buat generasi akan datang.
 
"Islam Memimpin"
 
ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang - HARAKAHDAILY 7/5/2019
20190507 163206
 
IMG 20190507 WA0079

More Articles ...