18
Wed, Sep
50 Artikel Baru

KUALA  LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya bertindak mengikut kuasa diberikan oleh Perlembagaan dan Akta berkaitan tugasnya di mana Pengerusi SPR pula boleh bertindak atas isu yang menyentuh tugasnya.
 
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Wan Nik Wan Yusof berkata, mengenai isu persempadanan, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan urusannya yang jelas sepertimana Jadual Ke-13.
 
Sementara menurutnya, kuasa SPR juga dinyatakan dengan jelas di dalam Perkara 113(2)(i) iaitu kuasa mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya dalam tempoh tidak kurang lapan tahun.
 
"Kajian persempadanan yang diluluskan selepas Mac 2018 telah mematuhi kuasa-kuasa yang diberikan Perlembagaan. Maka tidak sepatutnya SPR mengusulkan untuk Parlimen membatalkan apa yang telah diluluskan oleh Parlimen.
 
"Jika usul membatalkan dibawa, seolah-olah urusan persempadanan sebelum ni tidak sah. Jika sempadan tidak sah, maka PRU14 tidak sah juga. Maka ini keadaannya akan lebih kalut. Justeru, ia tidak sepatutnya dijadikan isu sekarang.
 
"SPR tidak perlu layan pandang sisi politik pemimpin PH yang mula dibenci rakyat dalam banyak isu negara dan rakyat," ujar beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.
 
Semalam, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya sedang mengkaji sama ada Parlimen boleh membatalkan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat sebelum PRU14. 
 
Menurut beliau, sekiranya perubahan dibuat oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak itu boleh dibatalkan, maka persempadanan semula kawasan pilihan raya yang baharu boleh dibuat sebelum PRU15.
 
Jelasnya, SPR memiliki tempoh tidak lebih dua tahun bagi mengkaji dan membuat cadangan meminda persempadanan semula yang dibuat oleh kerajaan terdahulu untuk dilaksanakan kerajaan sekarang. - HARAKAHDAILY 2/4/2019

●     PAS melakukan kunjungan hormat ke ibu pejabat MIC. Kata Presiden PAS lagi, MIC diibaratkan sebagai keluarga. Pernah sama-sama berjuang untuk kemerdekaan Malaysia. Islam juga kata Presiden PAS tidak membezakan warna kulit, bangsa, agama dalam kehidupan dunia ini. Kita semua adalah makhluk Allah. TGHH turut mengatakan al-Quran tidak menghalang bukan Islam turut menjadi pimpinan masyarakat, tetapi ia tertakluk juga dengan kehendak Islam, setakat mana ia dibenarkan. Sekarang PAS sedang membuka pintu perdamaian dengan MCA pula.

PAS secara terus terang, hanya mahukan kerjasama dengan Umno untuk kepentingan Melayu Islam, bangsa teras di Malaysia tetapi dalam masa yang sama, memahami akan Umno yang mempunyai kembar, MCA dan MIC. Jadi tiada salahnya menjemput sama-sama kedua parti terbesar mewakili bangsa masing-masing bagi menumbangkan PH, dengan mengutamakan isu rakyat, jika MCA mahu selepas MIC telah bersetuju.

Sama tindakan ini ketika PAS mahu berkerjasama dengan DAP dahulu, ia kerana keuntungan kepada agama. Jadi sangat benar kenyataan Presiden PAS bahawa politik ini sangat fleksibel. Boleh berubah fekahnya bila-bila masa. Dan PAS memilih untuk merubah pendekatan hanya apabila menguntungkan Islam. Dan PAS selalu mendapat laba atas kerjasama politik. Tak percaya? Tengok keahlian PAS, semakin bertambah, semakin bertambah, menokok melebihi parti lain selepas kerjasama terbentuk.

     Brunei telah mengumumkan akan melaksanakan hukuman Hudud yang ditangguhkan lebih kurang lima tahun lalu atas sebab tekanan dunia. Keputusan ini juga termasuk hukuman rejam dan sebat. Seluruh pembenci Islam, menyuarakan bantahan mereka terhadap keputusan itu. Mereka mengajak untuk memboikot, menggunakan kuasa dan apa sahaja bagi memberi tekanan kepada Brunei.

Brunei telah dipilih Allah untuk melaksanakan hukuman Allah ini. Mereka tidak mempunyai sejarah yang kuat berkaitan Islam, tetapi itu bukan satu alasan. Ketika aku ke Brunei atas lawatan untuk mengetahui tentang proses membentuk Undang-undang Hudud ini pada tahun 2013, beberapa pegawai agama memberitahu yang mereka pernah belajar di sekolah agama di Terengganu. Jauhnya perjalanan mereka mencari ilmu. Dan lebih membanggakan, Terengganu antara destinasi mereka mencari ilmu. Semoga Brunei kuat menghadapi tekanan ini serta berjaya dan semoga Terengganu pula mendapat manfaat daripada Brunei.

     Taiwan rancang untuk kenakan hukuman mati kepada pemandu mabuk. Setakat ini dikhabarkan banyak kes langgar mati oleh kerana pengaruh alkohol. Hukuman maksima langgar mati di Taiwan ialah 10 tahun penjara yang dikatakan tidak mencukupi. Maka cadangan ini adalah munasabah bagi mengurangkan kematian.

Isu ini menunjukkan bahawa kebenaran Islam ribuan tahun dulu yang mengatakan arak ini adalah perosak. Rasulullah berpesan, arak itu ibu segala maksiat. PAS, sangat memahami akan kehendak yang Allah mahukan, maka PAS ketika memerintah negeri dengan kuasa dua pertiga, telah menghadkan penjualan arak sebab arak tidak sama dengan judi.

Tetapi apabila teringatkan cerita almarhum TGNA yang isteri-isteri kaum Cina mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana suami-suami mereka tidak lagi mabuk dan berjudi, kita faham perasaan mereka. Hanya golongan gila sahaja yang kemaruk mahu mengadakan pesta minum arak. Apa lagi kalau yang menyokong itu dari kalangan yang mengaku Islam.

     Bakal calon PKR Dun Rantau Dr Streram berkata MIC adalah dalang atas kekecohan yang berlaku apabila seorang lelaki India yang juga ketua ranting Taman Cempaka, Rantau diserang oleh lelaki India yang lain yang dikenali mangsa. Dia ditetak menggunakan parang oleh penyerang. Kata Streram, ini adalah kerana BN takut kalah dalam PRK Rantau nanti. Apabila ditanya lanjut, Streram berkata penyerang 'disyaki' sebagai anggota MIC.

Berita sebegini mengingatkan kita kepada kempen PH pada PRU yang lalu. Kempen fitnah dulu, baru diam kalau salah. Apa-apa pun, mesti tuduh dulu. Begitulah perangai mereka. Apabila disyaki, terus betul. Jadi tertuduh pula yang kena membela diri atas tuduhan yang tak tahu hujung pangkal. Begitulah cara mereka yang terdesak. Apatah lagi setelah MIC setuju berkerjasama dengan PAS. Lagilah sakit hati mereka.

Oh, sebelum lupa, Ahli Parlimen Miri, secara tiba-tiba memberikan sumbangan makanan kepada lima buah sekolah di sekitar Dun Rantau, dengan jumlah sebanyak RM75 ribu. Nanti takut ada yang tolong jawab, ia sememangnya sudah dirancang lama sebelum PRK. Bukti PH lebih teruk dari BN.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar - HARAKAHDAILY 2/4/2019

DEWAN Pemuda PAS Padang Terap merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Mohd Khairudin Ahmad, 34, yang tinggal di Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana lemas di sungai berhampiran Sham Feritigasi, Simpang Empat pada petang ini.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang amat dirasai oleh kami kerana istiqamah dan komitmen beliau dalam perjuangan Islam.

Allahyarham merupakan ketua penerangan pada sesi lalu, dan ketua lajnah tarbiah pada sesi ini dalam Dewan Pemuda PAS Padang Terap dan juga Pengerusi PASTI Al-A'la Kampung Kubang Palas Kuala Nerang. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.

Sikap yang sentiasa tawaduk, ringan tulang, sentiasa senyum, sentiasa berada di mana-mana program PAS sambil menjual air Nira, sangat meruntun hati apabila mengenangkan saat-saat ketika bersama Allahyarham.

Semoga sikap istiqamah Allahyarham dalam perjuangan Islam, mewariskan pula semangat perjuangan kepada generasi pemuda yang masih hidup.

Takziah kami ucapkan kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga keluarganya sabar dengan kepulangan Al-Marhum ke Rahmatullah serta didoakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah

NURUL AMIN HAMID
Ketua Dewan Pemuda PAS Padang Terap
1 April 2019 – HARAKAHDAILY 1/4/2019

MAJLIS Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan gabungan 350 NGO UMMAH menyokong penuh nota bantahan yang dikemukakan oleh tokoh budaya dan sejarawan negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Datuk Dr Teo Kok Seong serta NGO-NGO pendidikan berhubung membantah kenyataan pengiktirafan UEC bagi tujuan peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

MAPPIM dan UMMAH berpendirian bahawa;

1. Peguam Negara bersikap tergopoh gapah dengan mengumumkan bahawa beliau mengiktiraf pemegang sijil UEC bagi tujuan menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

2. Kenyataan Peguam Negara diambil kesempatan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan terperangkap dalam agenda kepartian dan keputusan kerajaan.

3. Peguam Negara tidak menghormati Pasukan Petugas Pengkaji Dasar UEC yang dilantik oleh KPM dan Menteri Pendidikan yang baru membuat kenyataan bahawa cadangan akan diberikan kepada pihak kerajaan.

4. Kenyataan sokongan Timbalan Menteri Pendidikan menyokong Peguam Negara seolah-olah beliau sendiri tidak menghormati KPM dan Menteri Pendidikan.

5. Peguam Negara juga tidak menghormati sistem berkerajaan di mana perkara-perkara yang masih dalam kajian dan pertimbangan tidak perlu diumumkan serta dipolemikkan.

6. Peguam Negara juga tidak menghormati Perdana Menteri dan kabinet dan keputusan rasmi kerajaan dengan membuat pengumuman tersebut.

7. Peguam Negara menjatuhkan kredibiliti sistem manual dan proses pengurusan keputusan kerajaan.

8. Amat malang Peguam Negara kelihatan sangat tamak dan terbawa-bawa dengan agenda keputusan parti dan tidak dapat membezakan antara keputusan parti dan keputusan kerajaan. Ini menambahkan lagi kecelaruan dalam proses pentadbiran kerajaan.

MOHD ZAI MUSTAFA
Ketua Eksekutif MAPPIM
Ahli Jawatankuasa UMMAH – HARAKAHDAILY 1/4/2019

BALA dan gerah datang bertindan tindah semenjak pasca 9 Mei 2018, angin perubahan yang kelihatan meremehkan Islam dan juga kaum Bumiputera. Terkini dengan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk CLP, di mana Peguam Negara membuka ruang untuk pemegang sijil ini menaiki mobiliti sosial manakala keputusan Peguam Negara disambut dengan penuh keceriaan oleh Timbalan Menteri Pendidikan. Kecacamerbaan Kementerian Pendidikan dapat dihidu semenjak awal Kabinet dibentuk dengan sikap timbalan menteri yang bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib satu kaum dan menjadi wira bagi kaum tertentu.

riduan mnorNasib pelajar-pelajar Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula sangat malang sekali. Ambilan pertama sejak Jun 2005/2006 dan pada 22 Disember 2009 mendapat pengiktirafan daripada JPA. Pada 16 Mac 2010, pihak USIM telah memohon pengiktirafan pengecualian menduduki CLP (Certificate in Legal Practice daripada LPQB (Legal Profession Qualifying Board). Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak USIM untuk merayu dan membolehkan graduan fakulti undang-undang melepasi CLP, termasuk pada 15 Januari 2019, menghantar cadangan melalui modul khas latihan dan kemahiran praktikal profesion undang-undang bagi pengiktirafan penuh Lembaga Kelayakan profesion kepada Sarjana Muda Undang-Undang Dan Syariah dengan kepujian.

Sehingga kini, USIM masih belum menerima apa-apa respons daripada IPQB berkaitan modul yang mereka telah syaratkan sebelum pengiktirafan. Setakat ini program Undang-Undang dan Syariah USIM telah mencapai KOHOT yang ke-13, namun malangnya mereka masih belum mendapat pengiktirafan penuh. Sehingga kini seramai 399 orang pelajar telah bergraduat dalam bidang Undang-Undang dan Syariah daripada USIM. Bayangkan, semenjak 2010 memohon, bahkan dengan pelbagai karenah birokrasi dan red tape, namun akhirkan agenda pihak berkepentingan, UEC pula didahulukan dan dibelai manja!.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan oleh sekolah Cina swasta, sekolah yang mekar di zaman penjajahan British untuk mengekalkan jati diri etnik Cina walaupun jauh terpisah daripada Tanah Besar China. Masyarakat pelombong Cina pada abad ke-19 bagi melindungi identiti bangsa telah berusaha membangunkan pendidikan Cina. Bagi memastikan berlakunya mobiliti sosial berlaku sijil persekolahan disediakan bahkan lepasan sekolah-sekolah Cina dapat melanjutkan pendidikan tinggi ke Taiwan dan China.

Mengapa kita tidak boleh mengiktiraf sijil ini di negara kita dan apakah kerugian mengiktiraf UEC terhadap sistem pendidikan negara ini? Walaupun taraf UEC lebih tinggi penarafannya berbanding STPM, tetapi kita akan hilang identiti sebuah negara bangsa bahkan meremahkan sistem penarafan pendidikan yang sedia ada.

Sekolah swasta Cina menggunakan silibus dari China, menggunakan sejarah Negara China, menggunakan Mandarin sebagai bahasa rasmi mereka dengan matlamat pengukuhan jati diri bangsa malah melahirkan sikap etnosentrism.

Dengan latar belakang ini, adakah mereka ini akan mempunyai rasa kasih dan sayang yang sejati kepada Malaysia, bahkan mampu merapat jurang intergrasi antara kaum? Mengapa perlu mengiktiraf persijilan mereka sekiranya ia merupakan pilihan mereka untuk bersekolah swasta Cina seterusnya membina tembok kaca antara kaum? Kita telah merdeka lebih 60 tahun, namun hubungan antara kaum tetap suram dan hambar.

Mengiktiraf UEC bermakna, kita telah melakukan dua kesilapan besar iaitu pertamanya, memandang rendah pada sistem sedia ada dan penarafan persijilan serta melonggarkan ikatan negara bangsa yang telah dibina sejak lama dan akan membawa kepada ketiadaan jati diri serta mendobrak kesetiaan kepada negara.

Pengiktirafan UEC ini, bermakna satu lagi benteng negara dan kontrak sosial akan dirombak sedikit demi Kerajaan PH mengheret kepada ketidakharmonian antara kaum dan agama, mereka memicu kepada kebencian antara kaum.

Apa yang berlaku, dengan campur tangan Peguam Negara serta kelemahan Kementerian Pendidikan dalam isu UEC ini menunjukkan kelemahan kerajaan PH serta dominasi DAP dalam pentadbiran negara. Kelompok etnosentrism ini memanfaatkan seluruh ruang yang ada untuk mereka menjayakan agenda sempit politik mereka.

Dalam tempoh kurang setahun ini pelbagai kerosakan, pelanggaran kepada kontrak sosial, memicu api kebencian antara kaum serta watak pemimpin yang berjiwa kerdil yang tak mewakili semua bangsa. Saya terbayangkan wajah adik-adik pelajar Undang-Undang dan Syariah USIM yang menghabiskan masa enam tahun mereka berteleku memerah keringat untuk sekeping kertas maruah harga diri namun dengan penghujung yang sebegini. Mohon Menteri Pendidikan kerajaan PH, jangan terlalu selesa di bilik berhawa dingin, potfolio anda antara yang paling cacamerba pasca 9 Mei 2018! – HARAKAHDAILY 2/4/2019

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, yang membuat pengumuman mewakili Peguam Negara, Tommy Thomas, bahawa Peperiksaan Amalan SIjil Guaman (PSAG) akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 bermula 1 Januari 2021.

Ini bermakna, kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu atau UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima memenuhi syarat kelayakan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi menduduki Peperiksaan Amalan Sijil Guaman. Secara automatiknya UEC dilihat boleh menggantikan pendidikan nasional STPM.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendirian bahawa Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan bertukus-lumus memperjuangkan agenda UEC. Persoalannya, apa itu UEC dan sejarah UEC? Rakyat seluruh Malaysia perlu mendalami sejarah UEC itu sendiri.

Isu pengiktirafan sijil ini hangat diperdebatkan oleh semua gologan masyarakat, termasuk golongan pendidik dan pengkaji sejarah tanah air. Amat malang apabila UEC juga menjadi alat politik Pakatan Harapan untuk meraih sokongan kaum Cina. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia ingin menekankan bahawa isu UEC adalah isu pendidikan nasional, bukannya isu politik atau perkauman.

Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan pada ketika itu sedar bahawa pendidikan merupakan alat terbaik untuk menyatupadukan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa. Bagi tujuan perpaduan nasional, kerajaan mencadangkan penyatuan sistem pendidikan yang terdiri daripada pelbagai aliran.

Kerajaan Malaysia akan membiayai segala kos pendidikan sekolah-sekolah dan mengawal sukatan pelajaran agar mengikut standard yang sama. Namun, usaha ini ditolak segelintir masyarakat Cina hingga mereka membentuk Sekolah Persendirian Cina, di bawah Dong Zong.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpandangan adalah tidak adil kepada seluruh rakyat Malaysia yang lain, terutama berbangsa Cina yang melanjutkan pelajaran ke Sekolah Jenis Kebangsaan sekiranya kerajaan mengiktiraf dan memberi layanan sama rata kepada lepasan sijil UEC-SML seperti lulusan sijil pendidikan nasional, SPM dan STPM untuk kemasukan ke institusi pengajian awam.

Menteri Pendidikan masih mahu melakukan kajian terperinci, tetapi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, telah mendahului membuat pelbagai pengumuman satu pihak unilateral. Jelas bahawa Menteri Pendidikan kini dilihat tidak bermaya dalam menangani isu UEC apabila didesak oleh “abang besar”.

Dasar Pendidikan Kebangsaan kini dilihat telah diperkotak-katikkan apabila Sekolah Persendirian Cina yang menolak bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu, sebagai bahasa pengantar sukatan pelajaran, telah diiktiraf.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga mendesak Menteri Pendidikan untuk mengeluarkan kenyataan media, bukan berdolak-dalik mengelak soalan wartawan apabila ditanya isu besar sebegini. Implikasi kepada sistem pendidikan negara kita amat besar.

Jika diiktiraf, Malaysia bakal mempunyai dua sistem pendidikan kebangsaan yang mempunyai silibus pendidikan dan bahasa pengantar yang berbeza. Bagaimanakah perpaduan nasional diwujudkan apabila anak-anak kita dipisahkan melalui sistem pendidikan?

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
1 April 2019 – HARAKADAILY 1/4/2019

MENURUT Bank Negara Malaysia, dalam persekitaran ekonomi semasa, tahap dan bebanan kos sara hidup masih menjadi topik yang sering menimbulkan perbincangan hangat.

syahir2Memetik Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018 dan kaji selidik gaji yang diterbitkan oleh Persekutuan Majikan Malaysia, gaji permulaan (starting salary) graduan di Malaysia masih lagi pada tahap sederhana.

Namun selepas mengambil kira faktor inflasi (indikator kos sara hidup), gaji permulaan ‘sebenar’ (real starting salary) bagi kebanyakan siswazah telah menurun pada tahun 2018 berbanding tahun 2010:

- Lulusan diploma RM1,376 (2010: RM1,458)
- Lulusan ijazah RM1,983 (2010: RM1,993)
- Lulusan sarjana RM2,707 (2010: RM2,923)

Di samping itu, kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah juga mendapati 95% daripada pekerja muda berada dalam kategori pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran manakala 50% daripada pekerja yang membuat pekerjaan berkemahiran rendah secara manual mempunyai kelayakan yang lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh jenis pekerjaan sedemikian.

Cabaran:

Situasi kejatuhan gaji permulaan ‘sebenar’ menunjukkan ekonomi negara tidak mewujudkan jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk menyerap bilangan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan.

Oleh itu, walaupun berpendidikan tinggi, pekerja terpaksa menerima atau membuat pekerjaan yang lazimnya tidak memerlukan tahap pendidikan tinggi sedemikian.

Akibatnya, dengan bekalan siswazah yang lebih daripada mencukupi dan permintaan syarikat untuk siswazah yang tidak banyak berubah, gaji siswazah terus menghadapi tekanan menurun.

Cadangan Polisi:

Objektif ini akan dapat dicapai dengan mengambil langkah-langkah pembaharuan pasaran pekerja (labour market) yang menyeluruh, antaranya:

1. Menjana permintaan terhadap pekerja yang berkualiti (industri berkemahiran tinggi)
2. Mengurangkan ketidakpadanan tenaga kerja (IPT dan industri)
3. Mewujudkan pasaran pekerja yang kondusif (kerajaan dan majikan)
4. Meningkatkan keboleh-pekerjaan (employability) graduan (IPT dan kerajaan)
5. Meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan di kalangan graduan (mahasiswa)

Dalam langkah seterusnya untuk melonjakkan ekonomi bertunjangkan inovasi, penting untuk memastikan kebajikan tenaga kerja di Malaysia terpelihara dengan baik. Dengan demikian pekerja akan terus mempunyai motivasi untuk meningkatkan produktiviti mereka sekali gus mencipta nilai yang lebih besar dalam ekonomi negara.

Ringkasan oleh Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM – HARAKAHDAILY 1/4/2019

Sumber: Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2018; Adakah Pekerja Malaysia Dibayar Gaji Sewajarnya - Penilaian dari Aspek Produktiviti dan Kesaksamaan.

More Articles ...